Minggu lalu saya masuk pertandinga bowling di kolej. Saya tak berminat pun, tapi setelah diajak oleh rakan sepejabat, saya pun setuju, sebagai syarat melayakkan penyertaan mereka. Rupanya pertandingan adalah sebanyak 3 set.
Set pertama tak konsisten. Ah, saya main buang saja bola, kadang-kadang longkang. Set kedua mulai letih dan bosan. Apabila masuk set ketiga, kami mula lapar, sebab sudah tengah hari. Memandangkan banyak jatuhan pin, kami kembali bangkit bersemangat bermain. Saya guna bola saiz 11 dan 7. Memandangkan jika menggunakan bola saiz 11, pin akan jatuh dengan lebih banyak (berdasarkan perkiraan momentum dan inersia barangkali) bola biru saiz 11 tu menjadi kegemaran. Sekali, pernah saya cuba bola hitam budak di lorong sebelah. Ya Allah, berat bukan main. Set ketiga mencatatkan saya pemain terbaik dengan jatuhan pin melebihi seratus antara rakan sepasukan (padahal masih sedikit). Perasan!
Kami menjadi peserta terawal menghabiskan permainan. Tidak pernah fikir nak menang. Kemudian kami 'posing' dengan piala-piala yang sudah tentu bukan menjadi milik kami, masing-masing membuat andaian akan memenangi hamper-hamper besar. Tetapi, jauh lebih yakin bahawa kamilah kumpulan tercorot. Lepas makan tengah hari, kami datang semula untuk penyampaian hadiah. Kumpulan kami mendapat tempat kelima daripada enam kumpulan. Bukankah ia hebat?
Keesokan harinya, ahad, saya hanya terbaring, kepenatan mungkin. Petang pula keluar dengan rakan untuk usrah di tepi pantai. Sebelum balik, kami singgah makan ABC dan cucur pisang. Apabila malam, badan saya semakin sakit, makanan berat terakhir ialah nasi goreng semasa sarapan. Sehingga malam, dada saya terasa sempit dan sukar bernafas. Kepala saya sangat berat dan sakit. Perut saya memulas dan sakit. Sakit dada semakin menjadi di tengah malam. Saya rasa dada saya sangat sempit, dan mahu muntah. Hendak bangun pun tidak boleh, simpton ini hanya berlaku jika tekanan darah saya rendah. Saya hampir muntah dan masih tidak makan. Saya kemudian menghantar sms kepada rakan sepejabat untuk urusan penggantian kelas.
Sakit itu berterusan dan saya hanya bangun untuk subuh dan kembali terbaring. Otot dan sendi menjadi semakin sakit. Baru saya ingat, sakit-sakit seluruh badan itu kesan dari mengangkat objek berat. Sepanjang hari, saya hanya terbaring dan makan roti sekeping pada petangnya. Saya hampir menangis menelefon emak dan ayah. Kuatkan hati.
Selasa pagi, saya gagahkan diri ke kelas. Jam 7 pagi, saya pergi sarapan dengan Kak Shidah, dia belanja. Sebelum masuk kereta, saya muntah bersembur-sembur depan kedai. Mujur tiada yang nampak. Saya naik ke pejabat dan bagitahu Kak Amal, saya rasa saya MC lagi. Pelajar menunggu saya untuk tutorial. Augustine, pelajar saya datang dan sempat saya terangkan dia 1 sintesis. Saya lari ke bawah untuk ke hospital. Indra yang hantarkan.
Sebelum masuk kereta Indra, saya muntah sekali lagi dalam amaun yang banyak. Saya mula 'dehydrate'. Sampai di hospital, jabatan kecemasan kelihatan lengang, saya terus masuk dan jumpa MA. Sakit ringan yang tidak memerlukan seliaan doktor.
Saya diberi minum MMT 15 ml dan suntikan IV maxolon. Semua ni sudah biasa masuk dalam badan. Setelah menerima suntikan tersebut, saya jadi pening terhuyung-hayang dan sangat mengantuk. Ia sangat tidak selesa dan masih loya. MA di sana sangat relaks, mereka sempat bercerita tentang minyak rambut dan tukar kereta. Alhamdulillah, saya tidak perlu drip. Saya bimbang, jika drip saya akan dicucuk oleh jururawat pelatih yang sangat ramai di situ. Tahun lepas, habis tangan saya dicucuk dengan cuai oleh jururawat. Kesannya, doktor di Penang kata, salur darah saya mengalami 'thromboplebitis' (lupa sudah). Salur darah di tangan saya mengeras, membiru dan hijau dan hitam hari demi hari. Geli pun ada, menurut doktor, mujur tiada jangkitan. Tetapi saya kembali demam seminggu. Beberapa bulan, thrombophlebitis itu hilang.
Setelah menerima surat sakit, saya ke farmasi dan Indra hantar saya balik rumah. Sampai petang saya tidur dan agak lewat solat zohor. Alhamdulillah, saya tidak muntah lagi. Saya tidak makan apa-apa dan semakin hilang selera.
Hari rabu, saya kembali kerja dan masuk tutorial jam 7 pagi. Keadaan saya yang tidak makan menyebabkan saya sangat lemah, pelajar saya sangat diam, mungkin kasihan dengan keadaan saya, tetapi baguslah, dengan keadaan saya yang lemah, mereka selamat dari kena marah. Sebab mereka tidak siapkan tutorial. Saya hanya sarapan setengah biji roti canai. Amat menyeksakan untuk bertahan di pejabat dalam keadaan yang lemah.
Malam, saya semakin tidak senang duduk. Sukar bernafas dan sakit kepala. Tidur pun susah. Abang saya bawa saya ke tempat refleksologi untuk menggurut. Alhamdulillah, saya diurut oleh seorang wanita buta (akan saya ceritakan sesuatu di sini nanti). Selesai diurut, badan saya terasa lebih selesa sedikit. Itulah pertama kali diurut dalam hidup saya.
Sepanjang malam, saya tidak dapat tidur. Walaupun setelah menelefon ayah dan emak. Saya tanyakan apa doa hendak dibaca. Emak jadi risau dan dia kata tak tahu. Mak pesan agar baca quran, selawat dan doa. Sepanjang malam, saya tidak tidur, saya solat, baca quran dan membaca buku Kimia. Sebelah badan jadi lenguh.
Khamis dan jumaat, saya semakin baik. Alhamdulillah, dalam keadaan sakit yang tidak tahu punca tersebut, saya belajar suatu perkara; berserahlah kepada Allah. Saya cuba sibukkan diri dengan buku agar melupakan kesakitan. Saya paksa makan supaya tidak gastrik berterusan, Cuma ubat hanya diambil 2 hari saja. (tidak suka ubat).
Alhamdulillah, Ahad bertemu Ahad, dan saya kembali pulih dan kembali hadir untuk usrah tepi pantai. Alhamdulillah Alhamdulillah.
Sakit itu ingatan daripada Allah.
Amal Harun
Labuan
No comments:
Post a Comment
nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..