Tuesday 22 September 2009

Salam Lebaran

foto: CCY di hadapan rumah tok

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar

Asma' Allah dilaungkan sejak 1 Syawal membesarkan Allah. Dengan penuh rasa syukur dan nikmat, aku dan keluarga dihimpunkan seadanya,walau tidak semua yang dapat pulang, ia tetap meriah penuh rasa bahagia.

26 Ramadhan tahun lalu aku di Labuan, mula menulis di blog ini, juga bersama kelahiran Aisyah Humaira', anak saudara kedua. Aisyah Humaira' itu sekarang sudah pandai mahu berjalan, manakala blog aku merangkak-rangkah dan rebah. Aduh!

'Eid Mubarak dan mohon kemaafan atas sebarang khilaf kerana aku juga hamba. Semoga sampai lagi ke Ramadhan berikutnya, Ameen.

nota: CCY ialah akronim bagi cucu-cucu Ya'acob

amal harun
kampung peace!

Monday 7 September 2009

Kurma dan kemaafan di petang Ramadhan

Cerita benar yang bakal anda baca selepas ini bukan mahu mendedahkan identiti siapa-siapa jauh sekali menghukum siapa betul siapa salah. Ia hanya rasa terharu aku kepada arwah wan, ayah kepada mak aku. Terus kepada kisah sebenar petang semalam, ada lekaki 50-an datang dengan sebuah motosikal depan rumah memberi salam. Aku panggil ayah menemui lelaki ini. Dan ini dia dialog bersumberkan ayah aku.

“Ini saya nak cakap la sikit, tapi hal kisah lama dulu-dulu antara saya dengan arwah Haji Yaa’cob.” Kata Pak Tam (bukan nama sebenar) orang kuat UMNO suatu ketika dulu.

“Ya..ya” sahut ayah.

Pak Tam melanjutkan bicara “Dulu-dulu ni ahli parlimen YB xx (sudah bersara) amanahkan saya menyampaikan sumbangan buah kurma. Tapi ada 2 nama saya tak pi bagi termasuklah arwah Haji Yaa’cob, saya baru tau bila check diari lama”

“Saya tahu kurma ini tak senilai macam kurma dulu, tapi saya ganti balik yang dulu. Saya mohon maaf kepada seluruh keluarga Haji Yaa’cob atas perbuatan saya” sambung Pak Tam. Setakat itu sahaja yang ayah sampaikan kepadaku. Lalu kisah Pak Tam ayah sampaikan kepada keluarga kami yang lain termasuk tok, isteri wan.

Dan ini dia reaksi beberapa ahli keluarga.

“Aik? Dah 8 tahun lebih wan meninggal.” Makcik ABC mengomen pendek.

“hah dak tak tau bersalah, tak senang duduk la tu” aku yang menahan emosi.

Dan ini kata Pakcik XYZ yang memang reaktif sikit “Huh amal, dia tu aku tau la perangai dia, mujur dia bagi kat ayah hang, kalau kat aku, aku akan kata kat dia: hang pi tabur kurma tu atas kubur, baru paham”.

Manakala emakku yang sangat kenal Pak Tam sejak dulu berkata, “patut la dia kata nak jumpa dulu, ada hal penting nak cakap, Sekarang baru nak sedar, anak menantu segala PAS, dia saja UMNO, la ni zaman dah berubah baru nak nampak kebenaran, dulu tuduh macam-macam”

“ haish, sudah-sudah dia datang minta maaf mengaku salah pun dah bagus” aku memotong. Pasal kepartian pun jadi isu sejak bertahun dulu. Perpaduan ummat itu diutamakan. “bukankah Salahuddin Ayubi memberi kemaafan kepada Raja Reymond dan kuffar lain setelah Berjaya memasuki Baitul Maqdis?” aku mengingatkan emak.

“Hehe..” emak tersengih. Padahal aku juga mengaku sukarnya memberi maaf dan memecahkan sebiji ego biar hati mengaku memaafkan.

Tetapi aku pasti arwah wan seorang yang sangat pemaaf jauh sekali berdendam. Arwah wan disegani penduduk kampung, menjadi imam dan orang perantara, menjalin hubungan dengan masyarakat demi ukhuwah seakidah tanpa mengira politik kepartian. Tidak terkecuali menerima anugerah dan menimbul rasa iri yang lain, ini bukan tuduhan, tetapi beberapa kali terjadi. Dan ketika menulis ini aku menangis hiba mendoakan kesejahteraan wan yang sangat pemaaf, baik akhlaknya juga mendoakan kesatuan ummat melayu sekelilingku semoga bertemu padu di akidah yang satu.

Kisah petang ramadhan semalam benar-benar mengajar. Antara mengaku kesilapan melaksanakan amanah, menahan marah dan memberi kemaafan. Wahai Allah, ampunkan dosa kami, kami banyak salah!

“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik.” (Ali ‘Imran; 134-135)

Aku harus menjadi pemaaf!

Hulagu Khan

Cucu kepada Gengis Khan, ingin meneruskan cita-cita datuknya menguasai dunia. Pemimpin bangsa Monggol yang tidak tahu menulis dan membaca. Mereka hanya tahu berperang, membunuh dan memperkosa dan segala bentuk kezaliman.

Kota Baghdad yang tekenal dengan ketinggian ilmu para ilmuwan islam telah berjaya ditawan oleh tentera Monggol dengan begitu mudah hasil bantuan Umayiduddin al-Aqami, orang kanan khalifah. Kejatuhan ini menjadi pengajaran yang signifikan kepada sejarah islam akibat penyakit cinta dunia, gila kuasa, harta dan wanita. Selain itu, pergolakan dan suasana politik dalaman gagal ditangani oleh khalifah yang sangat menjaga harta dan keluarga serta mudah ditipu oleh orang kanannya sendiri.

Pemimpin yang terkena penyakit cinta dunia dan mengesampingkan syariat adalah pengkhianat ummat. Penyelewangan harta negara untuk kepentingan peribadi, menjalin hubungan dengan musuh demi menjaga kedudukan peribadi, dan mengesampingkan ulama’ pun dah ada zaman ‘abasiyyah.Adakah sejarah berulang kini melihat suasana politik yang penuh warna dan muslihat.

Kisah kejatuhan kota Baghdad ini telah kami lakonkan ketika mengikuti program bersama pelajar program persediaan luar negara. Watak antagonis telah diamanahkan kepada saya sebagai tentera Monggol. Saya melakonkan adegan jijik iaitu memberi arahan melempar buku-buku di perpustakaan ke dalam sungai sehingga menjadi jambatan. Kemidian kami menyuruh khalifah berbaring di atas permaidani, digulung, diikat hujungnya lalu dipijak-pijak sehingga khalifah mati.

Lakonan itu seperti siri komedi kerana pelakon dan penonton hanya ketawa sepanjang lakonan. Namun membaca sejarah Hulagu Khan cukup memanaskan hati. Inilah khabar hitam dari timur! Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Tuan Abdul Latip Talib kerana menghadiahkan novel sejarah Islam Hulagu Khan sebagai tanda persahabatan. Kehadiran Hulagu Khan melengkapkan siri novel sejarah islam di almari saya. Terima kasih tuan, dan tidak rugi semua orang membaca buku yang sangat menerik seperti ini.