Thursday 1 December 2016

Mus'ab ke Aquaria

Selepas 4 hari kerja, jatuh sakit. Keguguran pada bulan ke-3, sedikit mencabar secara emosi dan fizikal. Seminggu di rumah mertua, berehat dan berurut. Semuanya baru, tempat kerja dan tempat tinggal baru. Lalu dengan selamba badaknya saya kata, marilah kita keluar. Nak pergi bermalam di resort mesti memakan belanja, sebab kami banyak pakai duit masa proses berpindah.

Jadi pergilah ke Aquaria KLCC tu, apa-apa tempat yang nature atau ada haiwan saja yang jadi pilihan. Tiket dewasa RM 90. Mahal kata baba, tapi tak mengapalah nak cuba.
Mus'ab tak ada pram, Hallford dia kami dah jual!

Mama sangat kedaratan melihat piranha.

Punyala besaq!

Semoga kamu belajarlah sedikit sebanyak, setiap makhluk yang Allah ciptakan ada tujuannya. Tahukah kamu mengapa kita diciptakan sebagai manusia?




Tiba-tiba dapat panggilan mak mertua, kantoi! Orang-orang tua kata masih dalam pantang, sila berehat di rumah.

Sekian, laporan 4 Jun 2016 hari tu.

Amal Harun
Kepala Batas

Saturday 26 November 2016

Surah Nuh dan Kami




Tugasan aku adalah hafazan surah Nuh. 2 bulan lebih ambil masa bagi proses mengingat dan mengulang ayat-ayat bagi surah Nuh. Di saat tulisan ini dicoret, ada lagi 2 ayat berbaki yang masih tersangkut-sangkut. 

Dek kerana tugasan, aku mewajibkan diri menghafal, juga ada lah dalam 30% sebagai inisiatif sukarela nak hafaz sendiri. Tapi bila sampai surah Nuh, terasa sangat teruja nak mulakan misi menghafaz. Surah itu istimewa sebab mengingatkan tafsir surah itu dibentang bersama rakan di Labuan di suatu ruang legar masjid, tapi tak lama kami gunakan ruang itu apabila pihak pengurusan masjid slow talk dari suami kawan saya, agar kami tak buat lagi diskusi di situ. Entahlah, mungkin pihak pengurusan khuatir akan ajaran yang dibawa tak menepati ajaran sebenar. Boleh saja untuk bertabayyun dan kami dedahkan apakah kandungan yang sering kami bincang dalam usrah. Ia meliputi hadith 40, tafsir fi zilaal dan sirah nabi dari buku raheeq makhtoum. Itu saja, pelaksanaannya, kami akan bergilir bentang bahan itu, semua akan baca, pada hari kejadian bentang, dan balik akan review sedikit dan membaca sumber lain bagi memantapkan kefahaman. Ah, ia bukan mudah untuk baca, study dan membuat pembentangan kerana rata-rata kami ialah suri rumah sepenuh masa yang amat sibuk, jurutera elektronik kompeni minyak dan gas, 2 orang doktor dan yang lain-lain. Masing-masing dalam hidupnya disibukkan dengan tugasan rutin, lalu kami duduk bersama dalam kumpulan kerana memiliki hasrat yang sama mendalami agama. Boleh saja baca sendiri-sendiri di rumah, namun potensi pembacaan tak sampai kepada objektif, maksudnya, sama ada tak baca lansung atau tengah study, anak berak, nak masak atau hadir meeting tergempar. Sekurang-kurangnya bila paksakan diri, seminggu sekali dalam tempoh 2 jam, dah dapat 1 hadis, ibrah dari sirah dan tafsir juzuk 30 dan 29. Berjuang juga nak hadir sebab mereka ni emak-emak yang pada weekend nak urus rumah, masak yang istimewa atau nak bersiar-siar bersama keluarga. Jadi bila pergi 2 jam tu kadang anak ditinggalkan pada suami di rumah, dan cepat-cepat habiskan sebab nak balik rumah bagi laluan pada suami nak solat jemaah di masjid. Pecutlah kereta selepas tamat. See, bukanlah ia dibuat sekadar nak berborak, tea-time atau girl's day out sangat.! 

Berbalik kepada surah Nuh yang atmosferanya mengembalikan aku kepada kenangan Labuan, ia juga mengimbau solat subuh yang dibaca imam di masjid Nabi di Madinah tahun lalu. Emosinya amat mencengkam di kala mengalunkan ayat suci itu. 

Apa lagi kalau dibaca tafsir dan kisah perjuangan nabi Nuh. Teramatlah menyedihkan dan menakutkan yakni bagi balasan orang yang kufur. 

Aku mencuba mengikut tips menghafaz ayat quran dari sebuak ebook percuma.  Kalau korang nak, aku boleh emailkan. Dari ebook tu dia gunakan konsep sikit-sikit. Jadi aku sasarkan matlamat 1 hari 1 ayat. Lama lah juga nak hafal sebab ada hari uzur, ada hari busy, ada hari keluar jalan-jalan. Susah sebenarnya nak disiplin dan istiqamah. 

Aku juga buat pertama kalinya membuat eksperimen dengan mengikut tips hafalan untuk memori jangka panjang dari seorang syeikh yang aku lupa namanya menerusi carian di youtube. Aku hanya taip how to memorise quran for long term memory.

Kaedahnya ialah melihat dan membaca ayat itu sebanyak 30 kali. InsyaAllah, akan ingat. Kerana dalam satu ayat al-quran, Allah kata, Allahlah yang meletakkan quran dalam hati. 

Jadi, aku ubah niat dari terpaksa hafal kepada niat memahami dan mengingati quran kerana Allah. Aku sejenis yang pemalas hafal sejak di bangku sekolah, dan banyak juga ayat hafazan wajib zaman sekolah yang aku terlupakan atau sengaja melupakan dengan tak mengulang-ulang. Ada satu hadis nabi yang menyuruh menjaga hafalan quran kerana ia mudah terlepas berbanding unta yang diikat tali. (Hadis ini aku pernah baca, tapi tak hafal).

Alhamdulillah, sehari 1 ayat selepas balik kerja dan solat asar, aku ulang baca 30 kali. Ada yang perlu lebih dari 30 kali, ada ayat yang mudah, 5 kali pon dah ingat, tapi tetap cukupkan 30kali. 

Kemudian malam, akan kuulang-ulang bacaan. Kadang ingat bacaan, tapi susunan pula tunggang langgang. Maklumlah sel otak tak berhubung, sel otak orang yang berumur 30tahun, yang dah lama tak perah otak. Syukurlah, suamiku dah hafal surah tu, dialah tukang semak dan betulkan, untuk certain ayat, dia bagi tips nak ingat, lebih kurang macam memahami makna, kenapa baris bawah dan sebagainya. Kiranya revise balik basic grammar arab dulu-dulu. Ada sebab kenapa sekejap baris bawah (kasrah) sekejap baris fathah. Terima kasih jugalah suatu ketika dulu bahasa arabku diajar ustazah Nor Azah dan ustazah Zahriyah. Susah juga bahasa arab, dan boleh tahan juga garangnya mereka. Namun manfaatnya besar dalam memahami dan mempelajari al-quran. 

Dan menjadi rutin menidurkan mus'ab aku mengulang-ulang ayat surah ini, mendengar Mp3 dari syeikh-syeikh yang diminati. Bila selalu ulang-ulang boleh juga tiru gaya bacaan syeikh. Tapi pastilah bacaanku tak merdu. 

Dalam pada proses mengulang baca 30 kali itu dan Mp3 yang dimainkan, rupanya tanpa kami (aku dan suami) sedari, Mus'ab mengingati. Bagaimana aku boleh lupa bahawa otak bayi dalam usia begini ialah sifatnya menyerap. Lesson, dont under estimate your kids.

Kami perasan apabila dia sedang bermain, lalu dia seperti berceloteh sendirian. Apabila diamati, dia sedang melantunkan ayat pertama surah Nuh.

 

Tidak ada yang diharapkan oleh emak dan ayah selain melihat anak mereka membesar dengan sihat dari aspek fizikal, mental mahupun rohani. Amat besar cabaran membesarkan anak hingga mereka mampu mandiri, solat tanpa disuruh dan akhlak mulia. Lebih besar cabaran itu, bila membesarkan anak zaman teknologi, zaman fitnah dan kerosakan nilai kemanusiaan. 

Semoga membesar menjadi manusia, berakhlak dan beriman.

Amal Harun
Kuala Klawang

Throwback Tawau

Hampir setahun baru nak tulis kisah perjalanan ke Tawau, akhirnya dapat jejak Tawau pada 24 Disember 2015. Kawan-kawan ramai yang asal Tawau masa zaman UMS. 

       Menjadikan walimah Naddy sebagai alasan ke Tawau. Masa di sana tak banyak jalan, hanya pi pasar beli periuk dan amplang sahaja. Sebab cuaca masa tu sangat panas, kami sewa kereta tapi tak habis pon minyak. Tak banyak pon tempat jalan-jalan. Nak pergi semporna, tapi kereta sewa tu kancil, bimbang tengah jalan kereta buat hal. Mungkin perjalanan ni agak bosan bagi suamiku, tapi amat seronok dirasakan bagi aku sebab dapat jumpa kawan lama, Sitti Fatimah. Dia kawan zaman belajar, selalu 4 flat di UMS. Grad kelas pertama dia ni, tak puas hati...sebab dia pick up hebat, lepas tu banyak tengok anime. Kiranya zaman belajar, hanya belajar, sakit kepala pon seronok juga. 

       Berikut ialah beberapa foto semasa perjalanan tahun lepas. Rindukan Sabah dan Labuan
                Ini Adnadia, dia cantik dan baik

          Nampak tak ada Mus'ab di situ?


Masa baru sampai airport Tawau

Sebelum ke Tawau, kami tidur di Tune hotel. Drive sendiri dan bagi kereta pada Muhammad al-rashid untuk dia jaga, sebab rumah dia memang dekat dengan airport Kota Kinabalu.

Sampai di Tawau, panas!

 Yang tengah tu Sitti Fatimah dan paling kanan, sazliana aka mumui, dia major Bio. Adnadia dan Fatimah majoring chemistry. Banyak sangatlah kenangan dengan kawan UMS. 

     Kalau tengok kelompok pelajar di UMS, akan nampak mereka dalam gang masing-masing, orang semenanjung dan borneo jarang bergaul,begitu juga dengan Cina dan India. Mungkin sebab saling tak kenal, wujud perasaan skeptikal. Mujurlah aku lama di Sabah sejak kecil, jadi masuk ja dengan siapa pon. Masih ada segelintir pada zaman ini yang pergi Sabah, nak bawa baldi dan Maggi. Atau ingat mereka bina rumah atas pokok. Kalau datang Sabah kau akan faham, mereka ni kaya, makan ikan segar, tak main la beli ikan di Giant. Rumah pon besar, halaman tak usah cerita. Mereka baik-baik saja.

       Mus'ab memang kerja perhatikan sekeliling saja, tak mahu makan.


Saturday 12 November 2016

Ikan Bakar Umbai Hampes

Inilah pertama kali dan terakhir aku ke kedai itu. Ia terletak di Umbai Melaka. Kerana aku sering nampak orang kata seafood di situ sedap.

Suamiku kata tak perlulah sampai ke sana, jalan jem. Tapi aku kata alang-alang sampai Melaka, kita mesti cuba. Lagipon hampir 5 bulan tak makan seafood sedap sejak berpindah dari galapagos.

Jalan keluar dari bandar Melaka agak sesak. Selepas 40minit baru tiba walaupun jarak 15km. Orang sangat ramai. Hampir sejam barulah makanan sampai. Yang tiba hanya siakap bakar yang mentah separuh. Itu saja yang kami makan dengan nasi putih.  Aku pesan juga sayur kailan ikan masin tetapi amatlah sedikit dan sejuk. Rasanya amat tidak lazat lagi tak sedap. 

Kami makan tanpa berkata apa. Aku reserve sebahagian nasi sebab tunggu sotong goreng tepung, sampai sudah sotong tu tak sampai. 

Masa bayar total RM 52 untuk 2 pinggan nasi, seekor siakap mentah sebelah dan kailan ikan masin yang boleh dicampak di selat melaka itu. Air fresh orange segelas dan limau ais. Semunya bernilai Rm52 dengan rasa masakan yang sungguh tidak sedap dan servis yang tahap sloth(binatang lembap dalam zootopia).

My 1st and last visit to Umbai Melaka.Anjung ikan bakar Labuan juga sedap, makan ikan bakar sambal saiz besar, sotong goreng tepung, ketam butter, kailan soa toram, nasi dan air 2 jag..semuanya dimakan oleh 4 orang dewasa yang lapar..ikan fresh bersama udara segar di malam hari..RM70 siap tapau bawak balik lauk sebab tak larat ratah.

Foto ini bukti kami sedang lapar dan menunggu lauk lain tiba huhuuu...rindu Labuan and the seafood!

Sunday 23 October 2016

Mus'ab Kini Part 2

Hari ini genap 2 tahun 5 bulan umur mus'ab. Mus'ab dah pandai banyak perkara dalam tempoh sebulan ini.

Perkembangan itu sangat menggembirakan malah terkejut juga ada. Sudah tentulah mama dan baba akan gembira sepanjang melihat mus'ab membesar dengan sihat.

Selepas raya haji, mama mula menghafal surah nuh. Mama apply teknik seorang syeikh di YouTube. Caranya ialah mengulang membaca ayat yang sama sebanyak 30kali. Hari berlalu demi hari. Mama gunakan konsep 1 hari 1 ayat. Lepas subuh atau lepas asar akan mula hafazan, kemudian akan mengulang hafazan tatkala menidurkan Mus'ab. Selain itu mama juga pasangkan bacaan syeikh al-Afasy dari smartphone saja. 

Surah Nuh amat menyedihkan jika dibaca dan dihayati tafsirannya. Ia mengisahkan tentang susah payah nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya. Di dalam surah ini, Nabi Nuh mengadu segalanya kepada Allah. Kaumnya menolak sampai ada yang menutup telinga dengan jari agar tak mendengar dakwah Nabi Nuh.Banyak lagi pengajaran lain dalam surah tu.

Bila mama baca, baba akan betulkan. Mama tak ingat, mama minta baba sambung. Contohnya bila sampai 1 ayat dah tak ingat, mama kata: lagi, lagi... Mus'ab akan request diulang lagi jika bacaan surah Nuh dah habis. Rutin itu berulang hinggalah mus'ab tertidur.

Tak sangka, mus'ab merakam semuanya. Suatu hari, mus'ab main. Mulutnya seperti biasa akan bercakap-cakap. Kadang dapat tahu apa yang mus'ab cakap, kadang tak faham. Cakap-cakap mus'ab itu kemudiannya disambung dengan bahagian pertama ayat pertama surah nuh. Inna arsalna..

Tak lama kemudian di hari lain, mus'ab main. Tiba-tiba mus'ab baca lagi: inna arslna nuhan dan begitulah hari-hari yang lain. Kadang disambungnya bahagian hujung. Dan akhirnya lengkap 1 ayat, sudah tentulah dalam versi pelat-pelat tak tahu makhrajnya di mana.

Benarlah otak bayi seperti span. Jika dihidang suatu yang buruk, yang meresap pon buruk, jika dihidang yang elok, resapanya juga suatu yang elok, jika diperah keluar pula suatu yang elok..begitulah analoginya. Untuk resap yang baik, hidanglah yang baik, begitulah sifirnya. 

Mama yang khilaf,
Amal Harun

Saturday 1 October 2016

Kejelekan



Jarang aku nak berasa jelek dengan orang, tapi ini tahap yang kau akan rasa naik menyampah lagi jelek bila hari-hari kau hadap benda yang sama, kemudian kau pesan pada diri kau agar bersabar, diam dan tampil dengan senyuman. 

Ya kau cuba sedaya upaya untuk diam dan sabar, natijahnya kau naik jelek dan meluat. 

Ada 5 kejelekan yang aku hadapi, tapi sekarang aku harus luahkan 2 sahaja di sini. Yang lain, aku cuba abaikan. Tak usahlah anda membacanya kerana ia sekadar luahan yang tak bermanfaat pada sesiapa yang membacanya kecuali diriku sendiri yang lega bila menghamburkan segala yang terbuku.

1. Masa
Budaya di galapagos ialah bertolak awal ke kelas 10 minit kerana kelas dan MP jauh. Di pilahdelphia tak jauh 5 minit boleh sampai. Jadi aku pon bertolak 5 minit awal, kadang 3 minit. 

Masalahnya orang yang dalam kelas aku nak masuk, tak sedar dia pula perlu keluar dan memberi laluan kelas selanjutnya menggunakan tempat itu. Dia mungkin larut dan asyik dalam pengajarannya. Baiklah aku maafkan. 

Oh ya! Prosedur juga dimaklumi agar cikgu perlu melepaskan 5 minit awal agar memberi ruang dan masa kepada pelajar untuk bergerak ke kelas lain. Ada yang nak panjat bilik tutorial tingkat 3, atau ke dewan kuliah atau ke makmal komputer yang jauhnya beribu batu. Jadi cikgu perlu untuk selesai kelas 5 minit awal sebelum masa berakhir.

Berbalik kepada kelas yang aku tiba on time, pukul 10 dah, cikgu yang di dalam masih belum keluar, lalu aku berdiri di depan pintu sebagai signal kelas itu akan digunakan. Pelajarku juga sedang berdiri menunggu masuk ke kelas. Malangnya signal kami tak difahami atau tak dilayan. Akibatnya, kami hilang hampir 10 minit. Masa itu kan emas? Sebab jumpa 2 kali saja seminggu, dalam tempoh 50 minit harus menerangkan pelbagai penerangan kepada pelajar yang amatlah lemah konsepnya, harus juga melayan pelbagai masalah dan harus juga menghabiskan silibus. Kalau tak ada kekangan, ambillah masa lajak 30 minit pon aku tak kisah, tetapi point utama ialah hormati masa orang lain, dan tepatilah masa kerana anda juga cikgu. 

Ada ketika di masa lain dan kelas lain, aku pergi dan terpacak depan kelas on time! Kelas yang berada di dalam, cikgunya lepaskn on time, ya aku hargai ketepatan masa mereka, namun lain pula yang menimpa, pelajar aku dari makmal komputer sering lambat tiba. Bila tanya kenapa lambat, bila habis kelas, dianggarkan keluar lambat 5 minit selepas masa dan berjalan jauh antara makmal komputer dengan makmal kimia. Aku tak marah pelajarku kerana mereka juga nampak berjalan terkocoh-kocoh. Mereka juga lelah tercungap-cungap mencari nafas dan meneguk air. Lalu aku pesan, beritahulah cikgu kamu agar  lepaskan awal 5 minit agar tiba on time di kelas berikutnya. Beritahulah dan ingatkan dia dengan sopan apabila masa tiba. Tapi insiden pelajar tiba lewat dan rupa dah macam mangsa kena ribut sering terjadi sehingga kini minggu ke 12. Lalu aku nyatakan rungutan ini kepada rakan senior dan ketuaku, namun mereka seakan masak dengan perkara ini kerana melibatkan cikgu dari subjek yang sama apabila aduan dibuat.

Semasa di galapagos, bila aku masuk kuliah, selama 3 minggu ada 2 kumpulan tutor lambat masuk ke kuliahku, mereka amat takut dengan cikgu mereka. Lalu aku kirimkan sms secara damai kepada cikgu mereka agar mohon dilepaskan 5 minit awal, kerana mereka tiba di dewan kuliah 15 minit selepas masa. 

Aku juga tidak selalu betul, kadangkala sering terjadi aku lepaskan melebihi masa 5 minit kerana terlupa, berlaku 2 kali, kemudian aku terima teguran dari rakan subjek matematik. Terus aku mohon maaf kerana aku memang tak sengaja terlajak. Masalah itu tak berlaku lagi. Ada juga pelajar ingatkan aku masa hampir tiba ke 5 minit akhir, mereka harus segera ke kuliah biologi, mereka takut lambat dan takut duduk di tangga. Ya, barulah ada give and take dan saling menghormati. Bukankah ini lebih harmoni? Semuanya terasa dirai?

Pernah bila aku dan pelajar berdiri menunggu di luar, lalu cikgu itu keluar sambil buat muka masam dan lansung tak pandang, itu aku tak kisah, tapi sila hormat masa orang. Dan kenapa nak buat macam tu, cikgu kan ada budi bahasanya. Paling koman kalau dah sedap lajak ambil masa orang yang menyebabkan orang berdiri tengah panas di koridor menunggu kau yang tak pandai hormat masa orang, bila keluar tu mohonlah maaf. Hanya perkataan maaf. Tapi ego mengatasi. Sudahlah kau lambat, papan putih kau guna tadi pon tak dipadam. Ahh, malu sekali. Tapi tak mengapa kerana aku cuba diam dan cuba padam sambil ingatkan diri, ini pahala. Ini pahala. Dan aku harus lebih bersyukur kerana punya pelajar yang tinggi 'common sense'nya kerana mereka tawarkan diri untuk tolong padam. 

Walaupun kau jadi pensyarah, janganlah kau rasa hebat, tak kisahlah hebat dari orang lain atau pelajar. Itu takabbur. Ya dalam quran yang aku tak pasti ayatnya di mana (aku tak macam zakir naik sebab pelupa) terdapat ayat yang mengingatkan manusia itu sering kali rasa dirinya hebat kerana merasakan itu adalah hasil usahanya. Aduhhh, insaflah kita semua tak sempurna, semua Allah bagi. 

2. Potong baris

Kalau pagi-pagi dan petang-petang waktu puncak, yakni sebelum punch kad, akan ada para cikgu berbaris untuk punch. Di galapagos lebih getir kerana thumb print. Getir kerana bila letak jari, kadang tak detect sedangkan masa dah nak dekat. Point ialah walau apa pon masa itu, bila nak thumb in atau punch in kad, akan berbaris ikut turn. Malangnya, semasa aku berbaris, dan di belakangku masih ada orang berbaris, tiba-tiba dipintas tatkala aku mengangkat tangan mengambil kad. Aku terkesima, kerana barisan orang nak punch adalah jelas. Bila orang itu dah punch kad, dia berlalu tanpa rasa bersalah melihat barisan. Tiada kata maaf darinya. Malu jika itu seorang cikgu. 

Dalam hati aku terkesan kerana itu agak 'rude' tapi aku pujuk diri bahawa aku sendiri yang lembap bila nak punch. Ya aku lembap. Padahal aku dah tahu lokasi di mana kad aku. Hanya dipintas ketika tanganku menyentuh kad. 

Bukan itu sahaja, tatkala membeli nasi kerabu sarapan pon berlaku. Hampir 10-15 minit kami berbaris, ada cikgu lelaki dan perempuan. Barisan ada 2 dan amat jelas itu adalah barisan giliran. Tak semena-mena seorang insan bertuah dari jauh melenggang kangkung tiba di kawasan perbarisan para cikgu membeli nasi kerabu, insan itu terus berkata "nasi dagang satu, makan!"...beberapa detik selepas itu, dia dapat nasi dagangnya tanpa perlu berbaris. Sedangkan dalam barisan nasi kerabu itu terdapat wanita mengandung yang berdiri lama lebih dari pemakan nasi dagang itu. Sensitivi tak tahu tercicir di mana atau memang tak ada. Pakcik pencedok tak bersalah sebab dia mana ingat turn siapa.

Ia mungkin remeh tapi sebagai seorang pendidik, akhlak mana ingin kau pakai. Ego barangkali yang menghalang dari turut sama berbaris.

Ia tak sama saat aku mengandung, Brian english memberi laluan kepadaku agar thumb in dahulu. Padahal tempoh berdiri tak sampai 5saat pon. Lagi pon boleh saja aku pergi ke mesin thumb print yang lain. Akhlak mulia yang terpamer dan sensitivitinya cukup aku sanjungi. Lihat, budi dan akhlak mulia sentiasa dikenang walau kebaikan itu dirasakan amat kecil. 

Friday 26 August 2016

Mus'ab Kini

Sejak di pilahdelphia ni, mama menjadi agak pemalas di rumah. Jarang masak, kalau masak pon biasa-biasa saja. Rindu rasa nak masak macam dulu-dulu, walaupun dulu pon tak rajin masak. Tapi paling koman pon ada nasi tomato atau nasi minyak. Kenapa malas? Salah satunya ialah saiz dapur kecil jika nak bandingkan dapur rumah di kml. Ahh malaslah sebenarnya, tak mahu beralasan lagi. Jarang juga makan di luar sebab tak ada kedai menarik dan sedap pon di sini, harga pon macam di galapagos juga.

Sejak balik sini, hampir setiap bulan mus'ab demam, atau selsema. Demam mus'ab tak tinggi sangat, hanya bagi pcm, 2 hari kemudian dah kembali sihat dan aktif. Cuma baru menjana berat, dah turun balik berat bila tak sihat. 

Mus'ab dah banyak bercakap, banyak menguasai kosa kata dan menyambung perkataan menjadi ayat. Sungguh berhati-hati dia menyambung kata.

Mus'ab juga pandai membalas ucapan pada mama. Contohnya mama alan kata "i love you mus'ab" lalu mus'ab membalas dengan berkata "i love you mama"...cair hati..

"Yeayy, mama brush teeth" then mus'ab replied "yeayy!! Mus'ab brush teeth".

Biasanya kami cakap melayu..contoh yang dizahirkan di sini bahasa inggeris hihii.

Suatu hari mama pakai t-shirt proton yang percuma tu..mus'ab boleh kata pada lambang proton "car!!" "Car atok"

Mama juga lihat Mus'ab dah pandai azan tapi bahasa apa pon tak tahu..

Ok, kecik macam tu pon mama terhibur.

Sekian, membesarlah dalam iman.

Thursday 28 July 2016

Keju

Tadi masa di dapur, saya sedang menaburkan keju di atas sherperd pie. Tiba-tiba baba Mus'ab kata "tu apa?"

"Cheese"

"Tu bukan keju, tu mozarella. Dia kata mozarella."

"Cheese ada banyak jenis" 

"Ooo, hard disk ada banyak jenis, HD md bla bla bla"

Nota: jangan expect org faham apa kita fhm

Saturday 2 July 2016

Ujian kecil bahagian 2

Doktor perempuan scan, dia kata dah tak ada apa, maksudnya, janin dah keluar. Tapi masih sakit dan masih terasa contraction.Doktor masukkan specculum kemudian scan lagi. Selepas tu saya dimasukkan ke wad hospital jelebu. 

Suami temankan ke bilik air dan tukar baju. Pakai uniform wad. Lepas tu baringlah di katil. Suami pergi belikan saya makanan, sebab tak makan dari siang. Hujan mula turun dengan lebat. Sakit contraction masih datang dan pergi makin kuat. Saya panggil nurse dan cakap saya nak terberak, dia kata baringlah, sakit ni biasa saja macam orang nak bersalin memang begitu. Dia tanya, tak pernah sakit bersalin ka? (Ya, tak pernah, masa Mus'ab lahir, sakitnya lepas bersalin).

Bila suami datang, saya minta dia temankan ke tandas, saya duduk di toilet bowl, tapi tak rasa nak berak pula. Nurse kata, baring saja nanti jatuh susah.

Saya pon bangun nak baring di katil, sambil dipapah suami. Saya rasa bila terlalu lama, rasa nak muntah. Saya pon uwekk....lalu terkeluarlah 2 ketulan besar yang disebut POC oleh para petugas kesihatan. Saya cakap pada suami, panggil nurse cepat, cakap ada janin. Suami pon lari.

Nurse datang dan sempat ambil POC menggunakan urine container. Dengan kadar segera, saya ditolak dengan kerusi roda ke bahagian kecemasan semula. Masa tu, baju saya basah kerana peluh, keadaan sangat lemah sampai nak bula mata pon tak dapat, peluh dan haus yang amat sangat...nak pitam pon ada. Syukur, ada nurse yang berikan saya segelas air kosong buat hilangkan haus.

Sekali lagi doktor scan dan masukkan speculum. Doktor hubungi pakar di hospital seremban, saya dirujuk ke sana. Malam itu saya ke seremban menaiki ambulan ditemani seorang nurse. Masa tu saya decide nak duduk, sebab tak sanggup nak baring dalam ambulan dengan suasana jalan bengkang-bengkok Jelebu-Seremban. Keadaan dalam ambulan melambung-lambung. 

Di seremban, saya minta air kepada seorang nurse, baik betul, dia siap suapkan.pakar scan sekali lagi dan masukkan speculum buat kali ke-4. Kali ni dia minta saya batuk-batuk untuk mengeluarkan baki. Dia scan lagi dan dia minta saya puasa sampai esok pagi.

Saya ditolak ke wad dalam jam 3 pagi. Saya tak dapat tidur. Saya terlelap dan akan terkejut setiap 10 minit kerana merasakan speculum dimasukkan ketika saya tidur. Trauma sangat masa tu.

Esoknya masih puasa dan doktor pakar yang sama scan. Masih dengan baju dan tudung dia yang sama. Dia kata ok tak perlu D&C. Tengah hari boleh balik rumah. Dia sendiri arahkan nurse untuk hantar sarapan ke katil. Pakar ni dengan patient memang sungguh lemah lembut, tapi dengan HO sangat garang. Dia boleh switch beberapa saat semasa sedang cakap dengan klien dan kemudian dengan HO. HO pula akan mendengar dengan tekun dan fokus sangat gaya mereka.

Tapi suhu badan tinggi pula tengah hari, pakar lain pulak round dan scan, lalu disuruh masuk ke OT. Jadi pasang balik branula. Kena tandatangan letter of consent. Cuaklah sangat kerana telah mempunya pengalaman di bilik bedah dan dibius. Cabaran sangat pada bahagian bius, nervous!!

Doktor bius kata kenapa heartbeat tinggi sangat. Sudah pastilah aku kata kerana takut dibius. Bila dah siap bius dia tanya balik, kali ni ok tak? Saya kata tentunya kali ni lebih baik, barulah doktor tu senyum balik. Ambil hati saja, padahal kecuakan sama saja. Selepas bius, diorang pon mulakan prosedur. Memang tak rasa apa la sebab bius, tapi seriau sangat macam masukkan speculum. Selepas 5 minit, doktor datang dan cakap dah siap. Kemudian dah boleh keluar.

Tapi keluar kali ini sendiri saja. Dulu ditolak keluar dari dewan bedah bersama troli Mus'ab. Tak mengapalah, belum rezeki lagi kali ini. 

Petang tu baru boleh tidur sekejap sebab tak boleh bergerak lepas operation. Ahad baru keluar. Rindu sangat nak balik rumah jumpa Mus'ab. Hanya dapat 1 minggu sahaja cuti. 

Sekian, 
Amal Harun
Pilahdelphia


Thursday 9 June 2016

Ujian kecil bahagian 1

Catatan ini mengikut kronologi.

Bermula pada awal april 2016, saya mula keletihan, malas nak memasak (sentiasa) dan sering tersinggung dengan suami (poyterlebih emosi)...inilah simptom mengandung saya barangkali. Ya memang inilah simptom mengandungkan Mus'ab masa lalu. Agar tidak berada dalam teka teki, saya pergi klinik untuk buat UPT, sebab malas sangat nak uji sendiri. Kononnya takut kecewa. Elok juga saya buat sebab nak pergi senamrobik, tetapi rasa tak sedap hati, nanti lasak sangat bahaya pula jika mengandung. 

Jadi saya pon pergi ke KK Membedai, saya pon memberi urin dan menunggu keputusan, dalam hati berdoa, berilah yang terbaik, saya terima apa saja ketentuan Allah, kemudian nama saya dipanggil dan dia cop positif! 

Syukur, segala puji dan kebesaran hanya untuk Allah, dialah yang sebaik-baik pemberi rezeki. Kandungan kedua ini ditunggu-tunggu walaupun hanya tinggal sebulan sahaja lagi Mus'ab 2 tahun, maklumlah, umur makin meningkat mungkin sekarang masa yang sesuai mengandung lagi.

Sepanjang trimester pertama ini, keletihan di awal pagi sangat ketara, loya tapi tidaklah sampai muntah-muntah. Boleh jaga exam akhir di kolej, memandu dan macam-macam lagi kecuali memasak ayam. Jadi, baba lah yang membuat sup ayam dan kari ayam untuk makanan baba, juga sebagai bekal Mus'ab di rumah pengasuh.

Dalam tempoh trimester pertama ni, kami dapat pindah, saya hanya kemas sikit-sikit, taklah buat kerja berat sangat. Sempat pergi rehlah bersama akhawat, balik kampung Penang dan ke bukit bendera sebanyak dua kali. Saja teman baba dan kali kedua teman kak linda, dia tak pernah naik.

23 mei isnin, habis cuti, dah mula semester baru dan mula melapor diri di KMNS. Jadi, bermulalah hidup baru di Kuala Pilah. Saya ikut temujanji buku pink, scan dan jumpa doktor. Jadi saya pon ke KK Kuala Pilah. Nurse suruh datang esok 24 Mei untuk buat MOGTT dan jumpa doktor sekali.

24 Mei selepas minum air gula, jumpa doktor. Saya terpaksa tidak hadir meeting unit Kimia. Ketua unit maklum dan mengumumkan berita saya mengandung di dalam mesyuarat, ramailah yang mengucapkan tahniah. 

Doktor scan mula-mula nampak fetus sekejap lepas tu dah tak nampak, heartbeat juga tak dapat dikesan. Doktor tanya macam-macam soalan yang menjurus kepada ciri-ciri fetus yang tak berkembang. Contohnya ada keluarga cacat ke? Pernah miscarriage ke? Ada keluar darah? Ada sakit perut dan pelbagai lagi. Doktor kata kalau keluar darah segera ke hospital walaupun darah tu sikit. Doktor bagi tarikh 2 minggu lagi iaitu pada 8 jun untuk scan semula.

Setiap doa selepas solat hanya pengharapan agar Allah aturkan yang baik-baik sahaja dalam kehidupan ini. Malam-malam saya menangis. Suasana kerja dan tempat tinggal baru mesti kena adapt cepat. 

27 mei, bangun solat subuh ada darah keluar, tak sakit pon. Saya pon solat subuh dan pergi kerja macam biasa. Selepas sarapan, hantar Mus'ab ke rumah pengasuh dan terus pergi ke hospital. Pegawai di jabatan kecemasan kata ramai orang, pergi klinik kesihatan saja.

Saya pon ke klinik dan jumpa doktor, doktor scan semula, namun tiada heartbeat lagi. Doktor buat VE dan masukkan speculum, dia kata di dalam masih banyak darah. OS close. Doktor bagi 2 pilihan, pergi ke hospital dan buat D&C atau tunggu 2 minggu untuk POC (product of conception) keluar secara semulajadi. Jika sakit atau pendarahan banyak segera ke hospital. Doktor scan, fetus pada minggu ini bersaiz 8minggu, tapi gestational age sekarang 12minggu.

"Doktor, saya pilih untuk tunggu 2minggu. nanti saya datang scan lagi. Mana tau ada heartbeat ?" Itulah soalan saya yang penuh berharap untuk terus mengandungkan adik Mus'ab.

"Ya insyaAllah, jika ada rezeki, mungkin baby akan develop, manalah tahu mata saya yang tak nampak" begitu sekali jawapan doktor ini, padahal dia sudah mungkin mengetahui yang saya memang keguguran. Dia sungguh menjaga hati saya atau tidak memaksa saya untuk cuci rahim. Padahal saya baca catatan di buku pink, no fetal heartbeat seen, missed miscarriage!

Keadaan saya ketika itu sungguh lemah, tak tahan air mata, tapi saya tahan lalu bertanya doktor "so lepas ni saya kena pergi kerja balik lah?" Dalam hati dah tak mampu fokus balik ke pejabat.

"Saya bagi mc sehari" kata doktor. Saya bangun mengucapkan terima kasih dan senyum pada nurse dalam bilik itu, tapi dia membalas dengan wajah sedih. Dalam hati saya begitu tidak senang, mereka begitu yakin yang saya miscarriage, padahal saya tak sedar, pengalaman dan ilmu merrka lebih luas.

Saya balik rumah, dan sesekali menangis sebab sedih. Tak mengapalah kata saya dalam hati. Semoga saya sabar. Belakang saya mula sakit, makin lama makin kuat tapi saya sendirian di rumah. Daah mula keluar sikit demi sikit. Saya dah yakin, sahlah keguguran. Jadi saya tak solat zohor. Sesekali saya tertidur menahan 'back pain' umpama 'period pain' sampailah petang, mus'ab dan baba balik rumah. 

Memandangkan itu petang jumaat, kami balik kampung baba di jelebu. Sakit makin kuat selepas maghrib dan isyak. Sakit itu datang dan pergi. Sekejap sakit, sekejap hilang sakit sampaikan rasa boleh main badminton ketika itu. Saya tak selera nak makan apa pon. 

Lama-lama sakit makin kuat sampai tak boleh buat apa-apa, terasa darah makin banyak. Saya dan suami ke hospital jelebu. 

Syukur ada doktor perempuan.

Bersambung. 




Wednesday 8 June 2016

Pindah

2016, 26 April tarikh yang diharap belum berlaku, kerana kami belum bersedia meninggalkan Labuan. Kami hanya 'main-main' mengisi borang dengan harapan tahun kelima memohon baru berjaya. 2016 adalah percubaan kali kedua dan kami berjaya.

Pada mulanya, kami jangkakan tiada peruntukan kontena, kami nekad jika berjaya pindah, tolak sahaja perpindahan itu dan terus tinggal di Labuan. Namun, perancangan Allah lebih baik, kami ditempatkan di kolej yang sama, kolej yang dipohon dan peruntukan kontena juga disediakan. Tiada pilihan, kami harus terima. Sudah masanya kami berpindah.

Saat mendapat berita perpindahan, air mata saya menderu-deru nangis, sedih sebenarnya sebab Mus'ab bakal berpisah dengan pengasuhnya. Manakan dapat mencari pengganti seperti dia, menjaga seperti anak sendiri. Kami dapat rasakan keikhlasan dia mengasuh anak kami. Mus'ab susah nak makan, minum susu dari cawan, tak mahu botol tapi semua berjaya dipujuk oleh pengasuh mus'ab yang satu ini. Banyak mus'ab belajar dari dia, kami tak sangka mus'ab akan begitu cekap mengira satu hingga sepuluh begitu juga one to ten. Banyak lagi kosa kata dan tabiat baik yang mus'ab terima selama dia bersama pengasuh. Bukan itu sahaja, pengasuh mus'ab juga sediakan lauk makan malam atau kuih untuk kami bila kami datang menjemput mus'ab. Apa yang mus'ab buat dilaporkan, malah banyak tips dan petua dia kongsikan.  



Tibalah hari terakhir berpisah dengan pengasuh, semua barang-barang mus'ab dipulangkan. Bila balik susun barang-barang mus'ab seperti lebihan diapers, bantal, selimut, tilam, dan buaian...sekali lagi mama nangis. Sudah tentu pengasuh mus'ab merasa kosong melihat ruang bermain mus'ab tiada lagi toys, buku, tilam dan buaian mus'ab. Semoga Allah merahmati beliau, semoga dengan kebaikan dan kekosongan itu, Allah rezekikan cahaya mata untuk makcik Zila mus'ab yang seorang ini.  Bila kami keluar makan, Mus'ab kelihatan manja sangat dengan zila dan suami. Akan rindukah mereka pada Mus'ab nanti?

Kami juga akan sangat merindukan Labuan, sebab di Labuan ada ramai sepupu Mus'ab. Ada Abdullah, Aisyah, Umar dan Muhammad. Kalau pergi rumah sepupu, memang susah Mus'ab nak balik. Banyak benda dan kawan-kawan boleh main.





Labuan juga adalah bumi kami menabur bakti dalam gerakan islam. Semoga bumi Labuan terus subur dengan dakwah islam. Paling penting ialah akan istiqamah kah kami meneruskan perjuangan di tempat baru yang lebih mencabar?

Baba pernah berkata, "Mus'ab, lepas ni dah tak ada pantai-pantai lagi ya?". Sukarnya menelan kenyataan baba itu, memang kegemaran mama dan Mus'ab ialah ke pantai. Tempat yang tak pernah kami rasa bosan, pantai Labuan yang tenang dan bersih. 




Pergi ke Labuan suatu ketika dulu pengorbanan, meninggalkan Labuan kini juga suatu pengorbanan. Moga ke manapun kita pergi, kita sentiasa dipelihara Allah, dipimpin Allah dan dipertemukan dengan orang-orang yang baik-baik. 


Wednesday 6 April 2016

PDT 4

Akhirnya inilah minggu P&P yang terakhir untuk semester ini dan terakhir sepanjang pengajian pelajar PDT semester 4. Saya tiada perasaan apa-apa, sedih atau suka, sebab sekarang lebih teringatkan waktu cuti yang ditunggu-tunggu. Lagipun sudah biasa pelajar datang dan pergi tahun demi tahun, gaya yang sama, sikap terhadap pelajaran makin berubah generasi demi generasi  dan kualiti pelajar. Maksudnya cabaran cikgu makin bertambah.

Kepada pelajar-pelajar saya yang sudah tidak menghadirkan diri 2 minggu terakhir ini diucapkan selamat maju jaya. hihii..tak mengapalah, tiada guna memaksa, kalian dah dewasa, boleh berfikir apa yang terbaik buat hidup kalian.

Saya sedikit pun tidak pernah membandingkan kualiti akademik pelajar PDT dan PST. Kalau dibanding pasti boleh menjejaskan semangat dan prestasi mereka. Namun dari segi sikap dan disiplin haruslah dibandingkan. Kerana saya percaya sikap dan disiplin adalah faktor terbesar untuk berjaya. Biarpun kelayakan kemasukan ke program matrikulasi berbeza, tetapi pelajar PDT harus merasa jauh lebih beruntung kerana mempelajari kandungan yang sama tetapi dalam tempoh yang lebih panjang. Ini bukanlah suatu kerugian, malah suatu peluang yang yang lebih baik untuk memperbaiki diri dari segi akademik.

Apa guna membandingkan akademik kamu kerana Allah mengurniakan kepintaran akal yang berbeza. 

Sekian, catatan tahun lepas (2016) ketika mengajar PDT di kolej lama. Sedih dan kecewa kerana masalah ponteng yang berleluasa.

Wednesday 23 March 2016

Pendidikan sekarang

Masa belajar dahulu, sebagai pelajar pendidikan, kami dihujani pelbagai teori. Apa beza setiap teori pon sesungguhnya saya masih tidak faham. Pensyarah akan kata, siapa audien kamu? Teori apa kamu guna? Kenapa ajar begini?

Berpegang kepada teori dan model-model pendidikan sepatutnya menjadi makanan ruji kepada para pelajar pendidikan dan para guru. Tetapi, waktu masih bergelar pelajar dahulu, memang tak pernah nak menghayati semua ini. Paling belajar yang pulun sangat pun ialah subjek-subjek yang major atau minor. Subjek-subjek pendidikan adalah amat sukar....sebab kena banyak membaca dan pada waktu itu kami masih jauh dari lapangan sebenar. Pendek kata malas membaca dan mengkaji.

Sekarang sudah 7 tahun mengajar....tiba-tiba rasa sungguh 'season'. Lemau. Ditambah dengan cabaran dan kualiti pelajar sekarang. Zaman berubah menyebabkan cara belajar pelajar kini berubah. Generasi Z. Cara mengurus pelajar juga berubah.

Hanya satu saja teori yang boleh diingat sekarang ialah VAK. Teori zaman tok kadok yang masih relevan. Secara praktikal, masih tak menghayati dan tak buat pon. Main belasah saja masuk kelas. Lebih kepada exam oriented.

Begitulah saya dicorakkan dalam sistem pendidikan arus perdana sejak bergelar pelajar sekolah kebangsaan hinggalah ke universiti awam, dan sehingga kembali berkhidmat di institusi pendidikan awam.

Namun jika mengikut arus, kecemerlangan itu diukur oleh kebolehan merangkul A. Fungsi guru pula ialah penyampai knowledge. Itulah kekhilafan saya selama ini?

Tapi musykil juga, pembelajaran abad ke-21 sendiri tidak dihayati oleh golongan pengurusan pendidikan. Guru dianggap gagal jika keputusan pelajar tidak cemerlang. Pembelajaran abad-21 yang kementerian pelajaran jelaskan dah bagus, guru-guru juga harus berjuang bersungguh-sungguh mengamalkan, namun pihak pengurusan juga mestilah seia sekata memperjuangkan hasrat ini.



Maksudnya, jika keputusan pencapaian lemah, janganlah membuat kesimpulan umum yang begitu mudah bahawa guru gagal mengajar pelajarnya. Guru itu fungsinya ialah mengajar pelajar agar bijak mendapat A dalam semua subjek...itukah yang diinginkan? Guru akan membuat apa saja, menyuap segala-galanya agar pelajar cemerlang dalam peperiksaan!

Saya suka berkongsi tulisan seorang ustaz pemikir dan pejuang pendidikan, beliau menyatakan guru seperti berikut:

"guru adalah murabbi yang memimpin learning process. Bukannya menjadi mangsa ISO, laporan demi laporan, memuaskan hati pihak atasan, dan meninggalkan core utama kepada pendidikan iaitu learning"

. - See more at: http://saifulislam.com/2015/11/sistem-pendidikan-mendepani-fitnah-dajjal/#comment-94325



Sesungguhnya, di akhir semester ini, pelajar saya sudah hilang semangatnya, mereka mahukan perkara yang seronok berbentuk hiburan dan menyenangkan lagi pantas. Hakikatnya untuk mengusai kemahiran menyelasaikan masalah dan kemahiran berfikir, ia harus didasari dengan pengetahuan asas, apatah lagi kimia organik, harus dimulakan secara asas yang mungkin.

Kerana kami mengikut arus perdana, mencapai KPI dan dan bersaing mengikut pencapaian kecemerlangan pelajar. Hatta meletakkan ranking setiap guru. Dari 1 sisi bagus, tetapi dalam banyak sisi, guru pula akan bersaing melahirkan pelajar pandai A banyak, namun natijahnya pelajar kurang kemahiran berfikir dan rendah daya usahanya. Apa jadi bagi guru di ranking terbawah? Makan gaji butakah? Kihkihkih...

Sudah tentu kami harus melahirkan pelajar cemerlang yang harus berjaya menempatkan diri di kursus hebat di universiti ternama...namun pelajar yang tidak berjaya bukan bermakna gagal, tetapi mempunyai minat dan kecenderungan yang berbeza selain faktor-faktor Gen Z.

Jika benar kecemerlangan pelajar adalah cerminan kecemerlangan sistem pendidikan, kecemerlangan pengurusan pendidikan dan kecemerlangan para pendidik, buatlah eksperimen, dengan mengeluarkan pelajar SBP dan masukkan pelajar sekolah harian biasa, adakah sekolah yang sama, guru yang sama dapat mencemerlangkan pelajar tersebut sama dengan pelajar sebenar SBP?

Usah mendabik dada pada kemerlangan peperiksaan pelajar saja. Insaflah pendidikan kita masih banyak ketempangannya di sana sini. Kita semua bertanggungjawab, sama ada guru dan bukan guru. Tanggungjawab kita ialah mendidik diri dan masyarakat.

Didikan itu haruslah berdasarkan kepada perkara tersebut:

1. Sistem kepercayaan (akidah)

2. Sistem pemerhatian dan Sistem Fikir

3. Sistem Nilai

InsyaAllah jika pendidikan kita berteraskan kepada 3 elemen di atas dengan penuh iltizam dan bersih dari campur tangan kepentingan politik, maka akan lahir generasi 'sihat'. Tak adalah kes ponteng, zina di kalangan pelajar universiti atau golongan terpelajar yang pecah amanah.


Nota: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, tanpa mendedahkan identiti mana-mana individu mahupun institusi tertentu.

Amal Harun
Labuan.