Tuesday, 22 December 2009

Yang lebih baik

Dr.G seorang pakar forensik adalah tetamu dalam rancangan Rachael Ray di NTV7. Dr.G membuat autopsi setiap hari. Beliau sangat gembira, bahagia dan teruja dengan tugasnya walaupun menerima mayat yang mengerikan setiap hari.

“saya gembira dan menghargai setiap hari yang saya lalui kerana setiap hari saya berpeluang untuk hidup, tidak seperti mayat yang saya terima, hari ini mereka mati, tetapi saya masih berpeluang untuk hidup, jadi mengapa saya harus berasa tidak gembira dan bahagia”

Hari-hari yang dilalui biarlah membawa perubahan positif seribu erti. Klise yang banyak apabila menjelang tahun baru, baru memasang azam baru. Mudah-mudahan praktikal juga seiring azam yang mulia.

Berubah bermula dari dalam ke luar, inside out. Elemen yang harus dirawat ialah akal yang jahil, hati yang keras dan nafsu yang liar.

Dakwah Rasulullah di mekah memfokuskan pegangan akidah. Tauhid yang kuat secara automatic mengubah rasa, fikiran dan tingkahlaku manusia. Transformasi, evolusi mahupun reformasi mesti berlandaskan tauhid, akidah yang sejahtera! Semua itu dapat memberi kekuatan pengetahuan, kemahuan dan kemampuan untuk berubah.

Mohonlah kepada Allah agar mengukuhkan langkah kita untuk berubah. Semoga menjadi insan berjiwa hamba.


Apa sahaja yang diberikan kepada kamu, maka itu adalah kenikmatan hidup duniawi dan perhiasannya yang sementara; sedang apa yang di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal. Maka apakah kamu tidak memahaminya?”

al-Qasas: 60



Amal Harun
Kg.Aman

Tuesday, 1 December 2009

Klimaks birokrasi..puncak kesabaran



Cik Salina bertanya: "apa kamu rasa setelah grad"

Aku menjawab: bersyukur terlepas dari segala kerenah birokrasi membosankan lagi melemahkan.

Terima kasih semua. Syukur kepada Allah kerana memberi kesabaran kepadaku..aku tak sangka sesabar itu berbaris adalah perkara yang sering dipelajari di universiti.

Sunday, 22 November 2009

Tak tercapai dek akal

Ribuan terima kasih kepada Dr.Sabariah dan Dr.Zaki kerana memberi peluang padaku untuk hadir dalam suatu konferens antarabangsa. Aku turut diberi kepercayaan membuat research proposal. Apa yang penting kat sini ialah:

1.aku hadir dan mendengar tapi 'ternganga', 70% tak faham dengan apa yang dibentangkan.

2.semakin manusia mengkaji, semakin banyak tak diketahui, semakin terasa hinanya diri.

3.dan akhirnya manusia akan menemui asas islam lalu mengagunggkan Tuhan secara tak sedar dan sedar.

Suatu ketika aku bertanya kepada kepada Dr.S soalan ini: "kenapa semua orang dok kalot-kalot buat master, phd bla bla...?"

Mungkin begini jawabnya:

1. Perkembangan dan kemajuan sesebuah masyarakat/ universiti adalah menerusi kajiaannya.
atau
2. Kajian itu penting untuk kemaslahatan ummatnya.
atau
3. Perkembangan ilmu sebagaimana yang dianalogikan oleh Allah dalam surah al-kahfi, ilmu-Nya takkan habis, dan ceteknya jangkauan pemikiran manusia.

Salam dari Vistana Bukit Jambul
merenung diri bilakah proceed study?

Tuesday, 22 September 2009

Salam Lebaran

foto: CCY di hadapan rumah tok

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar

Asma' Allah dilaungkan sejak 1 Syawal membesarkan Allah. Dengan penuh rasa syukur dan nikmat, aku dan keluarga dihimpunkan seadanya,walau tidak semua yang dapat pulang, ia tetap meriah penuh rasa bahagia.

26 Ramadhan tahun lalu aku di Labuan, mula menulis di blog ini, juga bersama kelahiran Aisyah Humaira', anak saudara kedua. Aisyah Humaira' itu sekarang sudah pandai mahu berjalan, manakala blog aku merangkak-rangkah dan rebah. Aduh!

'Eid Mubarak dan mohon kemaafan atas sebarang khilaf kerana aku juga hamba. Semoga sampai lagi ke Ramadhan berikutnya, Ameen.

nota: CCY ialah akronim bagi cucu-cucu Ya'acob

amal harun
kampung peace!

Monday, 7 September 2009

Kurma dan kemaafan di petang Ramadhan

Cerita benar yang bakal anda baca selepas ini bukan mahu mendedahkan identiti siapa-siapa jauh sekali menghukum siapa betul siapa salah. Ia hanya rasa terharu aku kepada arwah wan, ayah kepada mak aku. Terus kepada kisah sebenar petang semalam, ada lekaki 50-an datang dengan sebuah motosikal depan rumah memberi salam. Aku panggil ayah menemui lelaki ini. Dan ini dia dialog bersumberkan ayah aku.

“Ini saya nak cakap la sikit, tapi hal kisah lama dulu-dulu antara saya dengan arwah Haji Yaa’cob.” Kata Pak Tam (bukan nama sebenar) orang kuat UMNO suatu ketika dulu.

“Ya..ya” sahut ayah.

Pak Tam melanjutkan bicara “Dulu-dulu ni ahli parlimen YB xx (sudah bersara) amanahkan saya menyampaikan sumbangan buah kurma. Tapi ada 2 nama saya tak pi bagi termasuklah arwah Haji Yaa’cob, saya baru tau bila check diari lama”

“Saya tahu kurma ini tak senilai macam kurma dulu, tapi saya ganti balik yang dulu. Saya mohon maaf kepada seluruh keluarga Haji Yaa’cob atas perbuatan saya” sambung Pak Tam. Setakat itu sahaja yang ayah sampaikan kepadaku. Lalu kisah Pak Tam ayah sampaikan kepada keluarga kami yang lain termasuk tok, isteri wan.

Dan ini dia reaksi beberapa ahli keluarga.

“Aik? Dah 8 tahun lebih wan meninggal.” Makcik ABC mengomen pendek.

“hah dak tak tau bersalah, tak senang duduk la tu” aku yang menahan emosi.

Dan ini kata Pakcik XYZ yang memang reaktif sikit “Huh amal, dia tu aku tau la perangai dia, mujur dia bagi kat ayah hang, kalau kat aku, aku akan kata kat dia: hang pi tabur kurma tu atas kubur, baru paham”.

Manakala emakku yang sangat kenal Pak Tam sejak dulu berkata, “patut la dia kata nak jumpa dulu, ada hal penting nak cakap, Sekarang baru nak sedar, anak menantu segala PAS, dia saja UMNO, la ni zaman dah berubah baru nak nampak kebenaran, dulu tuduh macam-macam”

“ haish, sudah-sudah dia datang minta maaf mengaku salah pun dah bagus” aku memotong. Pasal kepartian pun jadi isu sejak bertahun dulu. Perpaduan ummat itu diutamakan. “bukankah Salahuddin Ayubi memberi kemaafan kepada Raja Reymond dan kuffar lain setelah Berjaya memasuki Baitul Maqdis?” aku mengingatkan emak.

“Hehe..” emak tersengih. Padahal aku juga mengaku sukarnya memberi maaf dan memecahkan sebiji ego biar hati mengaku memaafkan.

Tetapi aku pasti arwah wan seorang yang sangat pemaaf jauh sekali berdendam. Arwah wan disegani penduduk kampung, menjadi imam dan orang perantara, menjalin hubungan dengan masyarakat demi ukhuwah seakidah tanpa mengira politik kepartian. Tidak terkecuali menerima anugerah dan menimbul rasa iri yang lain, ini bukan tuduhan, tetapi beberapa kali terjadi. Dan ketika menulis ini aku menangis hiba mendoakan kesejahteraan wan yang sangat pemaaf, baik akhlaknya juga mendoakan kesatuan ummat melayu sekelilingku semoga bertemu padu di akidah yang satu.

Kisah petang ramadhan semalam benar-benar mengajar. Antara mengaku kesilapan melaksanakan amanah, menahan marah dan memberi kemaafan. Wahai Allah, ampunkan dosa kami, kami banyak salah!

“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik.” (Ali ‘Imran; 134-135)

Aku harus menjadi pemaaf!

Hulagu Khan

Cucu kepada Gengis Khan, ingin meneruskan cita-cita datuknya menguasai dunia. Pemimpin bangsa Monggol yang tidak tahu menulis dan membaca. Mereka hanya tahu berperang, membunuh dan memperkosa dan segala bentuk kezaliman.

Kota Baghdad yang tekenal dengan ketinggian ilmu para ilmuwan islam telah berjaya ditawan oleh tentera Monggol dengan begitu mudah hasil bantuan Umayiduddin al-Aqami, orang kanan khalifah. Kejatuhan ini menjadi pengajaran yang signifikan kepada sejarah islam akibat penyakit cinta dunia, gila kuasa, harta dan wanita. Selain itu, pergolakan dan suasana politik dalaman gagal ditangani oleh khalifah yang sangat menjaga harta dan keluarga serta mudah ditipu oleh orang kanannya sendiri.

Pemimpin yang terkena penyakit cinta dunia dan mengesampingkan syariat adalah pengkhianat ummat. Penyelewangan harta negara untuk kepentingan peribadi, menjalin hubungan dengan musuh demi menjaga kedudukan peribadi, dan mengesampingkan ulama’ pun dah ada zaman ‘abasiyyah.Adakah sejarah berulang kini melihat suasana politik yang penuh warna dan muslihat.

Kisah kejatuhan kota Baghdad ini telah kami lakonkan ketika mengikuti program bersama pelajar program persediaan luar negara. Watak antagonis telah diamanahkan kepada saya sebagai tentera Monggol. Saya melakonkan adegan jijik iaitu memberi arahan melempar buku-buku di perpustakaan ke dalam sungai sehingga menjadi jambatan. Kemidian kami menyuruh khalifah berbaring di atas permaidani, digulung, diikat hujungnya lalu dipijak-pijak sehingga khalifah mati.

Lakonan itu seperti siri komedi kerana pelakon dan penonton hanya ketawa sepanjang lakonan. Namun membaca sejarah Hulagu Khan cukup memanaskan hati. Inilah khabar hitam dari timur! Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Tuan Abdul Latip Talib kerana menghadiahkan novel sejarah Islam Hulagu Khan sebagai tanda persahabatan. Kehadiran Hulagu Khan melengkapkan siri novel sejarah islam di almari saya. Terima kasih tuan, dan tidak rugi semua orang membaca buku yang sangat menerik seperti ini.

Friday, 21 August 2009

Istimewa Ramadhan


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu siangnya engkau sibuk berzikir
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu. ..kepada- NYA Tuhan yang satu
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu
sholat yang dikerjakan.. .sungguh khusyuk lagi tawadhu'
tubuh dan qalbu....bersatu memperhamba diri
menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir..
tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu malammu engkau sibukkan dengan
bertarawih.. .berqiamullail. ..bertahajjud. ..
mengadu....merintih .. ..meminta belas kasih
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"

andai kau tahu ini Ramadhan terakhirâ€..
tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir..
tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ...lorong-lorong redha Ar-Rahman

Duhai Ilahi....
andai ini Ramadhan terakhir buat kami..
jadikanlah ia Ramadhan paling bererti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati kami
menyeru ke jalan menuju ridho serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

Namun...
tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha...bersedia ....meminta belas-NYA

telah dikirim ke yahoogroup..lalu saya mem'paste

kullu 'aam wa antum bikhair
amal harun =)

Thursday, 20 August 2009

Gula oh gula

“Amal, balik nanti tolong beli gula sebanyak yang boleh” sms daripada emak. Untuk mendapat kepastian saya hubungi mak. Dia kata mahu sedekah pada orang yang buat kenduri arwah dan pusat kempen pilihanraya.

Jadi sepanjang perjalanan dari Seberang Jaya ke rumah, saya akan berhenti di setiap kedai runcit. Kebanyakkan kedai tutup kerana waktu tengah hari dan hari Ahad. Saya hanya sempat singgah di dua buah kedai sahaja di kampong berhampiran. Ikuti dialog saya dan pakcik tuan kedai runcit:

“Pakcik, saya nak beli gula, sekilo atau 2 kilo”

“hang duk kat mana?” semacam menengking saya. Uih, garang betul!

“kampong xxx” kecuakan dan kehairanan.

“huh, tadak tadak” sambil menggawangkan tangan menyuruh saya keluar.

“takpa la, saya cari sampai sini sebab kedai lain tutup, terima kasih na” cuba meraih simpati sambil menahan geram.

Bila saya ke kedai lain, saya difahamkan bahawa gula sudah habis. Bukankah memberitahu dengan jelas begitu akan mudah difahami dan berterus terang gula tidak akan dijual kepada bukan penduduk kampung. Kedai runcit berhampiran rumah saya pula memang habis kerana tuan kedai sendiri mengaku menjual tanpa had. Akibatnya, setiap orang akan membeli sekurang-kurangnya sehingga 5 kilo dengan alas an menjelang musim perayaan dan krisis gula yang tidak cukup.

Tok saya pula akan sentiasa memesan supaya membeli gula. Tolonglah jangan menjadi cemas hanya kerana gula. Dan saya hanya mampu berkata;

“biarla, tiap-tiap hari minum air bubuh gula, lepas ni berenti la sat”

“satgi kalau orang mai, nak jamu ayaq tak buh gula?” tok cemas lagi.

“hehe bagi lagi ayaq kurang manis, kalau habis terus, bagi air masak, kata ja gula habis, orang pun paham”

Ironinya, menteri kesihatan asyik mengingatkan tentang bilangan korban pandemic influenza A H1N1 yang semakin meningkat khususnya di kalangan golongan berisiko tinggi seperti diabetis. Maka tiada guna berusaha mendapatkan berkilo-kilo gula padahal penggunaan di dapur yang tidak seberapa pada hari-hari sebelum isu gula timbul.

Situasi seperti ini kerap berlaku di kolej kediaman apabila mengalami gangguan bekalan air. Waktu tiada air, berduyun-duyun siswi turun ke tangki membawa 2 buah baldi yang penuh dengan pakaian kotor. Sedangkan masih banyak pakaian bersih dan masalah air hanya sekitar dua hari dan apabila air banyak, tidak pula yang mencuci baju.

Saya tidak pasti adakah situasi ini berpunca daripada tindakan segera menghadapi kecemasan atau kegagalan meletakkan prioriti. Jom jernihkan hati di Ramadhan ini, bersegera memohon keampunan Allah.

Wasaari’u ila maghfirah….

Friday, 24 July 2009

BUNTU

Saya sedang berkira-kira mahu menutup blog ini. Semakin hari semakin usang. Banyak ujian bila menulis di sini.

Thursday, 9 July 2009

Selamat Pengantin Baru


Majlis perkahwinan (4 Julai 2009) Norhidayah Suparman dan pasangan. Majlis turut diserikan dengan kehadiran rakan seIrshad; Naim, Afiq, Juan, Farhan, Farah, Nani, Qist, dan Nadiah. Lebih menyerikan majlis ialah kehadiran saya dan Intan yang agak terlambat. Kemudian ke rumah Raihan.
Saya pernah belajar dengan Hidayah semasa di 2 Ibnu Khaldun (kelas ranking akhir yang meriah) dan 4 Ibnu Khaldun ( majoriti penama-penama diatas di kelas ini kecuali Farhan dan Naim di tempat skema). Rasa macam baru sahaja meninggalkan Irshad, apa pun episod kehidupan mencari dewasa semakin mencabar.
Untuk Hidayah dan suaminya, tahniah! Baarakallahu lakuma wa jama' bainakuma fi khair.
Kredit foto: Nur Hanani

Monday, 29 June 2009

Bukan tawakkal sebiji mata

Usai menyelesaikan program diploma sekolah teknik tahun 1939M, saya berangkat ke Kairo untuk mencari pekerjaan. Menjadi kebiasaan kami untuk singgah di pejabat Ikhwan, lalu saya berjumpa dengan asy-syahid Hassan al-Banna.



"Saya telah lulus dan ke Kairo ingin mencari kerja." saya memberitahu beliau.



"Tidakkah terfikir olehmu untuk bekerja secara sukarela di sekolah teknik jurusan mekanik senjata?" beliau bertanya kemudian menyambung, "risalah dan misi kita mewajibkan untuk berkhidmat dan bekerja di bidang ini".



"Baiklah kalau demikian, namun saya ragu kerana doktor mengesahkan salah satu mataku rabun" jawab saya ragu-ragu.



"Tawakkallah kepada Allah, InsyaAllah kamu akan berjaya."tegas beliau.



"Bagaimana saya akan berjaya sedangkan salah satu mata saya rabun?" saya bertanya lagi.



"Maka, dari itulah saya katakan bertawakkallah kepada Allah.. kerana jika penglihatanmu sihat, pastilah kamu akan bertawakkal kepada matamu." jawab asy-Syahid Hassan al-Banna.



Nasihat itu benar-benar menyentak dan merasakan keimanan menuruni ke lubuk hati. Saya menuju ke Sekolah Teknik Senjata 'Abbasiah dengan penuh perasaan tawakkal kepada Allah. Saya optimis untuk lulus pemeriksaan dan berjaya.



Saya ingat lagi ketika perang dunia kedua meletus, kami diperintahkan ke medan perang. Saya dan 100 lagi pelatih dibawa ke lapangan tembak untuk memulakan latihan. Saya risau akan gagal kerana masalah penglihatan tetapi segera ingat akan nasihat asy-syahid, bertawakkalah kepada Allah. Saya menuju arena latihan menembak dengan penuh ketenangan dan kepercayaan diri walau hanya dengan sebelah mata. Akhirnya, Hussain Ahmad mengumumkan 'Abbas Hassan as-Sisi sebagai penembak terbaik.



Bertawakkal kepada Allah menjadi hakikat yang menolong saya dalam banyak kejadian dan peristiwa dalam hidupku. Sebuah keyakinan kukuh yang selalu menemaniku di setiap kesulitan yang menghadang. Saya mengingatinya dengan penuh kepercayaan yang akhirnya mengilhamkan harapan, ketenangan, kesabaran dan keteguhan.



Catatan 'Abbas as-Sisi dalam buku Biografi Dakwah Hassan al-Banna halaman 23.



Catatan ini benar-benar signifikan. Pada 5 Mei 2009, saya telah menduduki peperiksaan bagi kursus pengurusan pendidikan, suatu topik yang sukar melekat dalam kepala saya. Ia adalah kertas terakhir bagi semester akhir di tahun akhir. Saya cuba menjawab dengan baik dan yakin. Namun pada malamnya, seorang kawan dan kawan-kawan yang lain sedang membincangkan tentang satu soalan pengurusan tersebut. Barulah saya dapati bahawa ada satu soalan yang saya anggap senang dan dijawab dengan riang ria, rupanya salah dijawab dari A sampai Z. Esoknya saya berjumpa dengan pensyarah bertanyakan status soalan tersebut, beliau enggan mengulas dan meminta saya melupakan perkara lepas kemudian berkata,



"just forget it and enjoy your long vacation". Jawapan yang neutral dan lansung tidak menyedapkan jiwa saya yang gundah gulana.



Saya kemudiannya membuat kesimpulan bahawa telah berusaha dan kesalahan itu adalah kelalaian biasa di dewan peperiksaan. Saya berdoa dan berharap tidak perlu mengulang kertas tersebut memandangkan ia semester akhir. Sekiranya gagal pasti memalukan.



Akhirnya, keputusan keluar dan saya mendapat gred A bagi kertas tersebut. Alhamdulillah, terima kasih Allah yang selalu mengingatkan saya bahawa Dia Maha Segalanya. Maka sila lihat ali-imran ayat 173.



amal harun
rumah tok, kepala batas

Saturday, 27 June 2009

Jawatan Kosong;Hamba


Tidak terungkap satu perkataan
apabila Tuhan memberi nikmat
kasih sayang-Nya
menerusi kedua orang tua
kemudian bertemunya dua hati
mengangkat mithaqan ghaliza
lalu dianugerahkan si kecil
yang mengalun zikir
cinta Tuhan pada hamba

Tuhan, ini hamba, hamba, hamba
cuai dalam ibadah
lalai tika berdoa
sombong bila berjaya
lupa saat berduka
zalim, zalim, zalim
Dia maha, maha, maha
alunan nama-nama
sedang hamba, hamba, hamba
lupa, lupa, lupa dan derhaka

Malulah kiranya diri
mengaku sujud padaMu
mengungkap syahadatain itu
dengan lafaz kosong
dan cinta pura-pura
hinalah diri ini
bila mahu terlihat baik saja
di mata manusia yang hamba

Barangkali esok ajalku tiba
terimalah ampunku
dan izinkan jiwa itu kembali dengan tenang
kerana Tuhan itu hampir
daripada hablil warid
barangkali amalku ringan untuk meraih firdausi
rahmat dan kasih sayang itu jua
sering dipohon setitis cinta
dari hamba.

*maaf tidak tahu mencantum ayat, maka ia jadi begini dan agak klise
**foto: ihsan daripada luqmanaziz.fotopages



Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Islam) sesuai
fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah. Itulah agama yang lurus tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui. ar-Rum;30

Friday, 12 June 2009

A Thousand Splendid Suns

The novel is divided into four parts. The first part focuses exclusively on Mariam, the second and fourth parts focus on Laila, and the third part switches focus between Mariam and Laila with each chapter.

Mariam lives in a house with her mother. Jalil, her father, is a wealthy man who lives in town with three wives and several children. Because Mariam is his illegitimate daughter, she cannot live with them, but Jalil visits her every Thursday. On her fifteenth birthday, Mariam wants her father to take her to see Pinocchio at the movie theater. When he does not show up, she hikes into town and goes to his house. He refuses to see her, and she ends up sleeping on the porch. In the morning, Mariam returns home to find that her mother has hanged herself out of fear that her daughter has deserted her.


Mariam is then taken to live in her father's house. Jalil arranges for her to be married to Rasheed, a shoemaker from Kabul. In Kabul, Mariam quickly becomes pregnant, but the child miscarries, and Rasheed becomes abusive towards his young bride.

In the same neighborhood live a girl named Laila and a boy named Tariq, who are close friends, but careful of social boundaries. War comes to Afghanistan, and Kabul is bombarded by rocket attacks. Tariq's family decides to leave the city, and the emotional farewell between Laila and Tariq ends with them having sex. Laila's family also decides to leave Kabul, but as they are packing a rocket destroys the house and kills her parents. Laila is taken in by Rasheed and Mariam.

After recovering from her injuries, Laila discovers that she is pregnant with Tariq's child. She arranges to marry Rasheed, who is eager to have a young and attractive second wife. Laila, who has been told that Tariq is dead, gives birth to Aziza, a daughter. Rasheed is unhappy and suspicious, and he becomes more abusive. Mariam and Laila eventually become confidants. They plan to run away from Rasheed and leave Kabul, but they are caught at the bus station. Rasheed beats them and deprives them of water for several days, almost killing Aziza. Just because they were travelling without 'mahram'.

A few years later, Laila gives birth to Zalmai, Rasheed's son. The Taliban has risen to power, and there is a drought, and living conditions in Kabul become poor. Rasheed's workshop burns down, and he is forced to take jobs he is ill-suited for. The family sends Aziza to an orphanage. Then one day, Tariq appears outside the house. He and Laila are reunited, and their passions flare anew. When Rasheed returns home from work, Zalmai tells his father about the visitor. Rasheed starts to savagely beat Laila, so Mariam kills Rasheed with a shovel.


Laila and Tariq leave for Pakistan with the children. Mariam confesses to killing her husband and is executed. After the fall of the Taliban, Laila and Tariq return to Afghanistan. They stop in the village where Mariam was raised, and discover a package that Mariam's father left behind for her (trough Mullah Faizullah's son): a videotape of Pinocchio, a small pile of money and a letter. Laila reads the letter and discovers that Jalil regretted sending Mariam away. Laila and Tariq return to Kabul and fix up the orphanage, where Laila works as a teacher.


Huhu (a sad sound), a letter wrote by Jalil to Mariam is very touchy. A letter from father to daughter!


Mesti baca.

Monday, 8 June 2009

Gagal menulis

Beberapa kali saya cuba menaip kata demi kata, akhir sekali saya padam semuanya. Tiada apa yang mampu saya tulis dan kongsi buat seketika. Atau juga terlalu banyak sehingga kosong minda. itu tanda kurangnya membaca. Jika tidak sudah tentu tiada bunyi seperti ini; Manusia ialah apa yang dia fikir, dia fikir ialah apa yang dia baca.


Barangkali saya tidak pasti apa yang saya fikir atau gagal membuat tafsiran terhadap ujian kelapangan masa yang Allah beri.



foto disalin daripada ummuhani.com, sedang membaca travelog haji.

Thursday, 4 June 2009

Berhenti sekolah

"Eh, kau ni jangan datang sekolah la kalau nak susahkan cikgu dan pihak sekolah, nyusahkan mak bapak, baik kau berenti saja la."

Sering kali terdengar dialog di atas apabila guru ingin melampiaskan kemarahan dek kerana gagal menekan butang 'pause' tatkala berhadapan dengan salah laku pelajar. Namun saya sekadar mengandaikan ia hanya dituturkan oleh hanya segelintir guru yang semakin dibebani masalah pelajar, masalah dalaman, konflik di tempat kerja atau rumahtangga yang tersendiri. Apa yang pasti, saya memang mendengar dengan telinga sendiri keluhan seperti ini di hadapan pelajar.

Saya mendapat sms bahawa Ibrahim (memang nama sebenar) sudah berhenti sekolah setelah tamat PMR. Saya kecewa. Ia mungkin suatu kelegaan buat guru yang mengajar tingkatan empat, tetapi bagaimana pula nasib Ibrahim di luar sana?

Kakak Ibrahim pula mendapat keputusan SPM yang 'cukup makan' dan kini menyambung pengajian di tingkatan enam, semoga dia kekal bersemangat meneruskan pengajian.

"Kami tak nampak hidup kami kat sekolah la cikgu, kalau laut tu kami tau la apa yang kami dapat buat, menoreh ka, buat bata rumah ka"

Kelu, bagaimana perlu saya jawab. Saya berharap Ibrahim akan mendapat "homeschooling" dan belajar tentang hidup sambil menolong ibu bapanya di pasar 'tamu'. Bersyukur kerana Allah campakkan kesedaran dan lembutkan hati mahu ke sekolah dan mahu belajar, hatta diberi keizinan belajar peringkat ijazah lanjutan, Subhanallah.

Dan pada nikmat Tuhanmu hendaklah kamu menyebut-nyebutnya dengan bersyukur. ayat terakhir, surah ad-Dhuha



amal
kg aman

Sunday, 24 May 2009

3 Fiksyen Inspirasi

Saya telah berjanji dengan diri hampir sekian lama untuk membuat ulasan terhadap 3 buah buku ini. Fiksyen inspirasi yang menyuntik semangat dan kesedaran bahawa proses kejayaan bermula dari bawah dan ia ada di sepanjang jalan.

Walau bagaimanapun, saya tidak berani membuat ulasan lanjut, bimbang ulasan yang buruk akan menjejaskan persepsi terhadap buku yang sangat bagus. Dengan sistem penceritaan yang bersahaja, ia mampu mengekalkan minat pembaca.





Usaha keras, kecekalan dan kebergantungan terhadap Allah secara total menerusi watak di dalam kedua-dua novel adalah kunci kejayaan. Buku ini juga lebih banyak membawa pencerahan apabila saya turut membaca Silent Millionaire juga dalan versi Bahasa Malaysia; Jutawan Senyap.



3 buku gandingan mantap yang harus dibaca oleh orang muda!
Suburkan amalan membaca.

NOTA: Memandangkan saya berniat mahu meringankan muatan 'pengeposan' buku-buku dari Sabah ke Penang, jadi saya membekukan diri membeli buku, maka ketiga-tiga buku tersebut saya pinjam. heheee...Jutaan terima kasih kepada:

1. Ustaz Issraq, pensyarah bahasa arab saya: Chef
2. Intan Masyitah: Dari Kepala Batas ke N.H
3. Dr.Nurlyn: Silent Millionaire

Friday, 22 May 2009

Rindu Bau Pohon Karopole Utagha


Seperti yang saya harapkan setelah sekian lama menjadi pembaca saifulislam.com, Allah izinkan saya untuk hadir ke program tuan punya blog, Ustaz Hasrizal. Malah kehadiran ustaz ke tempat sendiri di Kepala Batas. Terima kasih ustaz atas kesudian menyempatkan diri ke Kepala Batas.

Mendengar buah bicara ber'loghat' peghok banyak mencetus rasa tidak bosan kerana rasa fitrah mengantuk tidak kunjung tiba biarpun di waktu optimum untuk lena, petang yang ditiup angin sepoi bahasa (retorik bahasa).

Saya cuba mengeneralisasikan dan mencari titik pertemuan Cabaran beragama Gen-Y, ATN dan cabaran rumahtangga muslim semasa, iaitu jawapan kepada persoalan tujuan penciptaan kita ke dunia. Analogi mudah, sebuah lampu yang dicipta bersama manual yang dibekalkan oleh pengilang, samalah manusia yang diciptakan dan tujuan penciptaannya terkandung dalam manual lengkap benama Al-Quran.

Saya yakin benar bahawa itulah persoalan penting yang harus dijawab kepada sekalian manusia terutama generasi-Y. Generasi why, why, why? Pernah saya utarakan persoalan ini suatu ketika dahulu, lahirku untuk apa.

Malah pendekatan segar malar hijau itu sangat perlu bagi mendepani generasi-Y seterusnya Z untuk menyedari hakikat penciptaan manusia ke dunia, perlunya beragama dan relevannya akhirat kepada manusia. Saya kira kemahiran dan pengetahuan ini harus ada khususnya buat ibu bapa dan golongan pendidik.

Saya juga ambil kesempatan mendapatkan tandatangan ustaz dan memohon maaf menulis sejenis lawak jenaka kosong di ruangan komen sebuah blog berkaitan tajuk buku ustaz. Anda boleh lihat di sini.

Saya mohon maaf ustaz dan terima kasih sudi datang ke Kepala Batas.

Untuk Pak Mursidi, Mas Dayat dan Nyonya Ainil, buah tangan untuk kalian, tapi maaflah, fotonya nga' cantik. Juga boleh tengok dengan membuat 1 klik di sini untuk yang sedikit lebih jelas.


Tapi Ustaz Hasrizal tersalah tulis tarikh, mungkin disebabkan serbuan para pembaca blog beliau di samping pelbagai soalan yang turut diajukan semasa beliau menurunkan tandatangan. Sepatutnya 23/05/09. Tak kisah, yang penting kerjasama! Terima kasih kepada penganjur: Surau al-Muttaqin Bandar Putra Bertam, ILP Kepala Batas dan Alianze College of Medical Sciences. Erti Hidup Pada Memberi.

amal harun
rumah tepi pohon karopole

Pengumuman untuk BAKAL GURU



PENGUMUMAN ini ditujukan khas buat bakal graduan pendidikan. Anda diminta mengisi semula permohonan temuduga guru sandaran terlatih keluaran IPTA.


Sila ambil perhatian bahawa tarikh tutup permohonan ialah pada 16 JUN 2009.


Klik di sini untuk mengisi permohonan. Sekian terima kasih. Semoga berjaya dan cepat dapat penempatan. InsyaAllah.


amal harun
kampung aman
kepala batas.

Sunday, 17 May 2009

Untuk cikgu-cikgi

Ini untuk mereka yang HT16. Saya lebih suka memberi gambaran jiwa seorang guru menerusi watak yang ditonjolkan oleh Prof.Sidek Baba dalam bukunya Seteguh Tekad. Proses pendidikan bukanlah memindahkan pengetahuan malah lebih dari itu. Mendidik bukan dengan mulut tapi dengan jiwa dan peribadi.


Khas buat bondaku, cikgu-cikgu SK Telok Air Tawar Butterworth, SK Pekan Kuala Penyu, SMKA Kota Kinabalu, IRSHAD, Kolej MARA Kulim, para pensyarah UMS, terima kasih, mereka ni sangat bagus mendidik walaupun ada yang sempoi macam DR.S, DR.Zaki (dulu cikgu saya di SMAKK), Prof Salleh dan DR.Ling, mendidik golongan pendidik!

Semoga Allah membalas jasa mereka. Kepada sesiapa saja yang bakal menyandang gelaran dan tanggungjawab sebagai cikgu, sila bersedia untuk dihantar ke mana sahaja hehee. InsyaAllah medan memberi itu luas, mudah-mudahan usaha para guru mendidik menjadi amalan yang tidak putus pahalanya.

"hendaklah kamu benar-benar menerangkan (isi kitab itu) kepada manusia dan
janganlah kamu menyembunyikannya..."Aali-Imran;187

Wednesday, 29 April 2009

Ayah siapa


1993
Ayah temankan ke majlis anugerah pelajar harapan Pulau Pinang, naik kereta kodok antik. Nostalgia naik kereta kodok merentas sawah ke Butterworth.

1998
Anak marah ayah.
"apa la ayah ni, bukan nak ambik orang, penat tau orang jalan kaki, mak, tolong marah ayah ni"

2002
Ayah tanya bilakah khidmat ayah diperlukan dalam hidup saya atau bilakah kehadiran ayah adalah signifikan?
Bila saya sakit, iaitu muntah 24 jam setelah kena drip di wad pemerhatian.

2005
Memandangkan mahu memprotes cadangan emak dan ayah yang mahu sayake Kolej MARA Kulim, maka saya memilih UMS. Kononnya membawa diri setelah membaca Stefa Isle yang melarikan diri ke UK.

2009
Ayah dah 60 tahun. Sori ayah, saya nak jadi anak yang baik. Ayah @ Daddy Cool!
'Eid Milad sa'id!

Semoga ayah sihat, rajin makan ubat.