Thursday 9 June 2016

Ujian kecil bahagian 1

Catatan ini mengikut kronologi.

Bermula pada awal april 2016, saya mula keletihan, malas nak memasak (sentiasa) dan sering tersinggung dengan suami (poyterlebih emosi)...inilah simptom mengandung saya barangkali. Ya memang inilah simptom mengandungkan Mus'ab masa lalu. Agar tidak berada dalam teka teki, saya pergi klinik untuk buat UPT, sebab malas sangat nak uji sendiri. Kononnya takut kecewa. Elok juga saya buat sebab nak pergi senamrobik, tetapi rasa tak sedap hati, nanti lasak sangat bahaya pula jika mengandung. 

Jadi saya pon pergi ke KK Membedai, saya pon memberi urin dan menunggu keputusan, dalam hati berdoa, berilah yang terbaik, saya terima apa saja ketentuan Allah, kemudian nama saya dipanggil dan dia cop positif! 

Syukur, segala puji dan kebesaran hanya untuk Allah, dialah yang sebaik-baik pemberi rezeki. Kandungan kedua ini ditunggu-tunggu walaupun hanya tinggal sebulan sahaja lagi Mus'ab 2 tahun, maklumlah, umur makin meningkat mungkin sekarang masa yang sesuai mengandung lagi.

Sepanjang trimester pertama ini, keletihan di awal pagi sangat ketara, loya tapi tidaklah sampai muntah-muntah. Boleh jaga exam akhir di kolej, memandu dan macam-macam lagi kecuali memasak ayam. Jadi, baba lah yang membuat sup ayam dan kari ayam untuk makanan baba, juga sebagai bekal Mus'ab di rumah pengasuh.

Dalam tempoh trimester pertama ni, kami dapat pindah, saya hanya kemas sikit-sikit, taklah buat kerja berat sangat. Sempat pergi rehlah bersama akhawat, balik kampung Penang dan ke bukit bendera sebanyak dua kali. Saja teman baba dan kali kedua teman kak linda, dia tak pernah naik.

23 mei isnin, habis cuti, dah mula semester baru dan mula melapor diri di KMNS. Jadi, bermulalah hidup baru di Kuala Pilah. Saya ikut temujanji buku pink, scan dan jumpa doktor. Jadi saya pon ke KK Kuala Pilah. Nurse suruh datang esok 24 Mei untuk buat MOGTT dan jumpa doktor sekali.

24 Mei selepas minum air gula, jumpa doktor. Saya terpaksa tidak hadir meeting unit Kimia. Ketua unit maklum dan mengumumkan berita saya mengandung di dalam mesyuarat, ramailah yang mengucapkan tahniah. 

Doktor scan mula-mula nampak fetus sekejap lepas tu dah tak nampak, heartbeat juga tak dapat dikesan. Doktor tanya macam-macam soalan yang menjurus kepada ciri-ciri fetus yang tak berkembang. Contohnya ada keluarga cacat ke? Pernah miscarriage ke? Ada keluar darah? Ada sakit perut dan pelbagai lagi. Doktor kata kalau keluar darah segera ke hospital walaupun darah tu sikit. Doktor bagi tarikh 2 minggu lagi iaitu pada 8 jun untuk scan semula.

Setiap doa selepas solat hanya pengharapan agar Allah aturkan yang baik-baik sahaja dalam kehidupan ini. Malam-malam saya menangis. Suasana kerja dan tempat tinggal baru mesti kena adapt cepat. 

27 mei, bangun solat subuh ada darah keluar, tak sakit pon. Saya pon solat subuh dan pergi kerja macam biasa. Selepas sarapan, hantar Mus'ab ke rumah pengasuh dan terus pergi ke hospital. Pegawai di jabatan kecemasan kata ramai orang, pergi klinik kesihatan saja.

Saya pon ke klinik dan jumpa doktor, doktor scan semula, namun tiada heartbeat lagi. Doktor buat VE dan masukkan speculum, dia kata di dalam masih banyak darah. OS close. Doktor bagi 2 pilihan, pergi ke hospital dan buat D&C atau tunggu 2 minggu untuk POC (product of conception) keluar secara semulajadi. Jika sakit atau pendarahan banyak segera ke hospital. Doktor scan, fetus pada minggu ini bersaiz 8minggu, tapi gestational age sekarang 12minggu.

"Doktor, saya pilih untuk tunggu 2minggu. nanti saya datang scan lagi. Mana tau ada heartbeat ?" Itulah soalan saya yang penuh berharap untuk terus mengandungkan adik Mus'ab.

"Ya insyaAllah, jika ada rezeki, mungkin baby akan develop, manalah tahu mata saya yang tak nampak" begitu sekali jawapan doktor ini, padahal dia sudah mungkin mengetahui yang saya memang keguguran. Dia sungguh menjaga hati saya atau tidak memaksa saya untuk cuci rahim. Padahal saya baca catatan di buku pink, no fetal heartbeat seen, missed miscarriage!

Keadaan saya ketika itu sungguh lemah, tak tahan air mata, tapi saya tahan lalu bertanya doktor "so lepas ni saya kena pergi kerja balik lah?" Dalam hati dah tak mampu fokus balik ke pejabat.

"Saya bagi mc sehari" kata doktor. Saya bangun mengucapkan terima kasih dan senyum pada nurse dalam bilik itu, tapi dia membalas dengan wajah sedih. Dalam hati saya begitu tidak senang, mereka begitu yakin yang saya miscarriage, padahal saya tak sedar, pengalaman dan ilmu merrka lebih luas.

Saya balik rumah, dan sesekali menangis sebab sedih. Tak mengapalah kata saya dalam hati. Semoga saya sabar. Belakang saya mula sakit, makin lama makin kuat tapi saya sendirian di rumah. Daah mula keluar sikit demi sikit. Saya dah yakin, sahlah keguguran. Jadi saya tak solat zohor. Sesekali saya tertidur menahan 'back pain' umpama 'period pain' sampailah petang, mus'ab dan baba balik rumah. 

Memandangkan itu petang jumaat, kami balik kampung baba di jelebu. Sakit makin kuat selepas maghrib dan isyak. Sakit itu datang dan pergi. Sekejap sakit, sekejap hilang sakit sampaikan rasa boleh main badminton ketika itu. Saya tak selera nak makan apa pon. 

Lama-lama sakit makin kuat sampai tak boleh buat apa-apa, terasa darah makin banyak. Saya dan suami ke hospital jelebu. 

Syukur ada doktor perempuan.

Bersambung. 




Wednesday 8 June 2016

Pindah

2016, 26 April tarikh yang diharap belum berlaku, kerana kami belum bersedia meninggalkan Labuan. Kami hanya 'main-main' mengisi borang dengan harapan tahun kelima memohon baru berjaya. 2016 adalah percubaan kali kedua dan kami berjaya.

Pada mulanya, kami jangkakan tiada peruntukan kontena, kami nekad jika berjaya pindah, tolak sahaja perpindahan itu dan terus tinggal di Labuan. Namun, perancangan Allah lebih baik, kami ditempatkan di kolej yang sama, kolej yang dipohon dan peruntukan kontena juga disediakan. Tiada pilihan, kami harus terima. Sudah masanya kami berpindah.

Saat mendapat berita perpindahan, air mata saya menderu-deru nangis, sedih sebenarnya sebab Mus'ab bakal berpisah dengan pengasuhnya. Manakan dapat mencari pengganti seperti dia, menjaga seperti anak sendiri. Kami dapat rasakan keikhlasan dia mengasuh anak kami. Mus'ab susah nak makan, minum susu dari cawan, tak mahu botol tapi semua berjaya dipujuk oleh pengasuh mus'ab yang satu ini. Banyak mus'ab belajar dari dia, kami tak sangka mus'ab akan begitu cekap mengira satu hingga sepuluh begitu juga one to ten. Banyak lagi kosa kata dan tabiat baik yang mus'ab terima selama dia bersama pengasuh. Bukan itu sahaja, pengasuh mus'ab juga sediakan lauk makan malam atau kuih untuk kami bila kami datang menjemput mus'ab. Apa yang mus'ab buat dilaporkan, malah banyak tips dan petua dia kongsikan.  



Tibalah hari terakhir berpisah dengan pengasuh, semua barang-barang mus'ab dipulangkan. Bila balik susun barang-barang mus'ab seperti lebihan diapers, bantal, selimut, tilam, dan buaian...sekali lagi mama nangis. Sudah tentu pengasuh mus'ab merasa kosong melihat ruang bermain mus'ab tiada lagi toys, buku, tilam dan buaian mus'ab. Semoga Allah merahmati beliau, semoga dengan kebaikan dan kekosongan itu, Allah rezekikan cahaya mata untuk makcik Zila mus'ab yang seorang ini.  Bila kami keluar makan, Mus'ab kelihatan manja sangat dengan zila dan suami. Akan rindukah mereka pada Mus'ab nanti?

Kami juga akan sangat merindukan Labuan, sebab di Labuan ada ramai sepupu Mus'ab. Ada Abdullah, Aisyah, Umar dan Muhammad. Kalau pergi rumah sepupu, memang susah Mus'ab nak balik. Banyak benda dan kawan-kawan boleh main.





Labuan juga adalah bumi kami menabur bakti dalam gerakan islam. Semoga bumi Labuan terus subur dengan dakwah islam. Paling penting ialah akan istiqamah kah kami meneruskan perjuangan di tempat baru yang lebih mencabar?

Baba pernah berkata, "Mus'ab, lepas ni dah tak ada pantai-pantai lagi ya?". Sukarnya menelan kenyataan baba itu, memang kegemaran mama dan Mus'ab ialah ke pantai. Tempat yang tak pernah kami rasa bosan, pantai Labuan yang tenang dan bersih. 




Pergi ke Labuan suatu ketika dulu pengorbanan, meninggalkan Labuan kini juga suatu pengorbanan. Moga ke manapun kita pergi, kita sentiasa dipelihara Allah, dipimpin Allah dan dipertemukan dengan orang-orang yang baik-baik.