Tuesday 22 October 2013

Catatan untuk anak

Sayang, ketika ini mama di atas feri menuju ke Menumbok. Mama tulis supaya mama kuat mental dan fizikal untuk habiskan pengajian semester ini. Mama tulis juga agar menjadi tatapan kamu jika mama sudah tiada. Semoga kamu kuat untuk menuntut ilmu dan berada dalam tarbiyyah.

Sehari sebelum iduladha, mama sangat letih dan tertekan, mama ingat ini disebabkan mama rajin belajar dan bersengkang mata siapkan tugasan dan proposal kajian. Mama loya, oh ini semua biasa kalau mama stress. Tetapi simptom ini berlarutan, sampai baba kamu marah mama sebab tak mahu berjumpa doktor atau membuat ujian hCG di rumah. Dia tinggalkan mama sebab hendak melapah lembu, mama sedih kerana dia marah mama.

Esoknya, mama ke klinik desa sengaja mencuba, mama takut negatif, nanti kecewa. Mama disuruh memberi urin kemudian sejenis pita macam penunjuk pH dicelup. Jururawat tu kata ini positif!

Mama sangat terkejut lalu mengucap alhamdulillah, bersyukur. Allah anugerahkan kamu dalam hidup mama! 

Kamu akan jadi cucu pertama wan dan atuk di Jelebu, manakala cucu ke-6 sitti dan tok ayah. Baba kamu sangat gembira, mama kena sahkan di makmal klinik kesihatan lagi. Jika itu positif baru kami percaya. 

Mama memandu ke klinik dan berikan urin lagi. Dalam perjalanan mama sentiasa berselawat dan berdoa agar positif. Dia cop positif dan pengesahan ujian makmal ditandatangani oleh pegawai makmal. Barulah mama yakin. Mama lebih gembira dan syukur. Selepas memberitahu baba kamu, mama kirimkan gambar ujian positif kepada makcik Nadhirah. Dia juga sangat gembira. Mama doakan makcik Nadhirah juga akan mengandung tak lama lagi, barulah kamu ada kawan.

Kamu sangat baru, tok ayah pesan agar mama bertenang dan tidak stress, tidak buat kerja berat dan rehat yang cukup. Sitti juga teruja nak datang labuan sebab dapat lawat kamu dan sepupu-sepupu kamu yang lain. 

Mama dipesan agar tak harus lasak. Mama pon tak tahu kerja mana yang dirasakan berat. Perjalanan mama ke Kota Kinabalu sangat meletihkan. Mama senyiasa doa kamu kuat. Semoga Allah bagi kekuatan kepada kita. Paling mama terharu ialah mama belum muntah. Mama sangat takut muntah sebab kalau mama muntah sekali, ia akan berterusan sampai 24jam berikutnya dan akan mengalami hidrasi yang teruk. Akibatnya, mama akan kena drip air. Inilah kekuasaan dan kehebatan Allah. Dulu jika mama muntah, mama selalu terfikir tak mahu mengandung sebab takut alahan muntah yang selalu mama alami kerana gastrik. Subhanallah!

Kamu juga harus kuat macam mama di rahim sitti dahulu. Sitti mengandungkan mama semasa sitti di maktab perguruan. Jika ke mana- mana, berjalan kaki. Semua kawan- kawan sitti mengatakan anak dalam perut sitti tu akan datang menjadi cikgu. Ia doa yang makbul, anak yang keluar itu ialah mama yang menjadi cikgu kimia hihii. Tok ayah juga kata mama keluar sebelum tiba klinik. Mama lahir dalam kereta pada malam yang esoknya sitti kamu akan melaporkan diri buat kali pertama di sekolah.

Sayang, feri sudah hampir tiba di daratan Sabah. Sebentar lagi kita akan melalui jalan darat hampir 2 jam di bahgian pedalaman bawah Sabah, inilah jalan yang mama sering lalu sejak mama kecil. Isk isk tak sangka kamu pun nak lalu kawasan pesisir pantai tu.

Mama sentiasa doa agar pengalaman pertama ini banyak mendidik jiwa kita menjadi hamba Allah. Mama sendiri risau bagaimana mendidik anak dalam keadaan dunia sekarang. Terlalu banyak kefasadan dalam negara kita. Semua ini kerana rosaknya sistem nilai keimanan. 

Allahu Akbar
Kuatkan iman kami

Amal Harun
Menumbok