Wednesday 4 November 2015

Anakku, Allah menjagamu

Pagi-pagi waktu dalam kereta mama riba Mus'ab, sambil mama bacakan ayat-ayat lazim seperti fatihah, al-ikhlas, falaq dan nas. Lepas tu mama hembuskan ke kepala Mus'ab, amalan ini diriwayatkan dalam hadis nabi tentang meminta perlindungan dari Allah ketika nak tidur. Tapi mama buat jugalah bila-bila teringat dan tak kira masa.

Bila baba belok masuk ke taman rumah makcik yang mengasuh Mus'ab, wajah kamu dah nampak stress, kerut-kerut kening dan diakhiri dengan tangisan kuat. Mama akan pesan, insyaAllah petang nanti mama ambil, mama kerja di office, mama itu dan ini, Mus'ab kuat, baik, anak soleh dan Allah akan jagan Mus'ab. Mus'ab mesti minum susu dan makan okay. 

Haaa begitulah suasana berperang dengan perasaan. Bila lepaskan dia dari dukungan, mama pura-pura tak sedih. Mama ada cara bagaimana nak atasi perasaan ini. Bukan mama gembira saat melepaskan kamu, bukan mama tak sayang atau suka tinggalkan Mus'ab dengan orang lain. Tapi mama kuatkan hati tau, nangis pon dalam hati, nak bersuara tak boleh, nanti baba bebel.

Macam mana cara mama kuatkan hati? Semoga boleh jadi perkongsian untuk ibu bekerjaya yang lain.

1. Yakinkan sepenuh hati bahawa Allah maha menjaga hambanya. Jaga kita semasa bekerja, jaga anak semasa ditinggalkan hatta jaga kita bersama walau ke mana saja. Jaga iman, keselamatan dan kesihatan. Jaga daripada perbuatan khianat dan aniaya org jahat. Hati kita hanya bersandar pada Allah. 

Memang terfikir segala negatif, tapi tepis cepat-cepat, istigfar dan terus doa kepada Allah. 

2. Ingat ada orang lain yang jauh lebih hebat ujiannya.

Bila mama hantar Mus'ab, dalam fikiran okay petang boleh ambil. Tapi ingat kawan mama kerja dengan syarikat cari gali minyak, kalau offshore berhari-hari, kena naik bot pergi laut, dari laut ke platform kena lompat macam tarzan, belum kira faktor cuaca. Dalam kondisi begitu, masih teruskan pam susu untuk buat stok dan nak bagi maintain susu badan terus terhasil. 

Kemudian mama ingat balik kawan mama yang doktor kena oncall. Tinggal anak mereka 36-48jam. Kemudian jumpa anak dalam keadaan mengantuk dan letih. Di tempat kerja mereka penuh dengan stres dan menuntut kesabaran yang tinggi. Mereka kena jaga anak orang lain, sedang anak mereka tidak dijaga. Tawakkal mereka kepada Allah sungguh tinggi ketika bertarung menyelamatkan pesakit, pada masa yang sama anak entah bagaimana.

Banyak lagi ibu bapa yang lain, hantar anak di pagi yang masih gelap, dan kemudian berjumpa anak di pon bila dah gelap.

Dalam pada itu, mereka masih giat dengan aktiviti dakwah dan tarbiyah pada hujung minggu sambil kilik anak ke sana ke mari.

Kita jauh beruntung Mus'ab, mama hantar kamu dalam jam 730 pagi dah panas terik, kemudian ambil petang jam 4, lepas tu kita boleh pergi minum petang, pergi main pantai atau paling koman pon mama bawa ke playground.Mus'ab paling suka main see saw dan kuda yang goyang-goyang tu.Mus'ab pon dah pandai turun slide sendiri, walapun slide tu macam tunnel gelap dan berputar-putar.

Bila balik rumah mama atau baba mandikan Mus'ab, mama sempat masak makanan untuk makan malam dan bekal kamu esok. Tapi tu kalau mama rajin, kalau malas, baba kata jom keluar. Sempat juga isyak mama dan baba bawa kamu ke masjid walaupun kamu tak masuk saf, dan hanya duduk dengan kakak-kakak student yang tak boleh solat. 

Semua itu nikmat masa yang Allah anugerahkan buat mama dan baba. Tak perlu kerja lebih masa, tak perlu outstation malah tak ada oncall !

Itu pun mama masih mengeluh kadang-kadang, letih, malas, dan kata tak cukup masa.

Oh, i take it for granted. Mama mohon maaf Mus'ab. Banyak khilaf mama dalam membesarkan dan mendidik Mus'ab.

Mama ingat masa kecil dulu, mama cukup jelous dengan kawan-kawan yang emak mereka tak kerja. Baju mereka digosok oleh mak mereka, ada bekal tersedia dan balik rumah terus jumpa mak mereka. Mama pula kena tunggu sitti balik kerja. Masa tu manalah tahu, itulah emak yang bertungkus-lumus menyara keluarga.

Semoga Allah jaga kita biar berjauhan, tapi kita dekat dalam doa. Yakinlah, Allah sentiasa jaga kita bila kita jaga Allah.


Ihfadzillah yahfazuka.

Mama

87027 Labuan