Thursday 29 January 2009

Bila saya menulis

(foto daripada yahoo; sila potong kuku)




Ketika ini saya menulis di dalam perpustakaan, setelah tamat sesi perbincangan tugasan dengan rakan-rakan. Saya membuka blog saya, wah terdapat aplikasi baru yang ditambah. Saya boleh mengesan sedikit pembaca blog saya hehee...



Akhir-akhir ini terlalu banyak yang mahu saya tulis, tetapi tidak disiarkan, saya fikir ia seperti sampah barangkali. Niat mula menurun kembali apabila lambakan tugasan, tetapi kembali semangat mahu berkongsi. My ups and down.



Saya tidak tahu nilai tulisan saya, yang penting ia mendatangkan kepuasan kepada saya. Saya menulis untuk diri, sebagai pengajaran dan peringatan untuk saya sendiri. Saya tidak mampu menasihati orang dalam situasi diri saya yang entah ke mana. Bonus jika ia turut dikongsi oleh pembaca lain, mencambah idea ke arah pengoslahan diri.



Terima kasih saya tujukan kepada yang klik url blog saya. Antaranya rakan saya, naqibah yang setia memantau dan gang QC. Tidak kurang kepada 'silent reader' seperti Maknjang, sepupu, adik dan abang saya. Kini saya berjaya mengesan kehadiran Maknjang hehehe (yang Petaling Jaya tu).



Suka hati saya menulis
Yang penting saya enjoy
Bertanggungjawab saya menulis
Itu prinsip supaya tak 'loy'



My favourite word; 'loy'



amal harun
Perpustakaan Universiti
Aras 1, Bahagian Jurnal
88999 Kota Kinabalu.


Tuesday 27 January 2009

Daerah Keinsafan Bahagian 1

Semasa di peringkat sekolah, kehidupan saya sungguh mudah, saya hanya menghadapi masalah kesihatan dan semuanya itu tidak lama, saya sentiasa disokong oleh kedua ibu bapa dan para guru di sekolah. Saya gembira, segala yang saya impikan saya dapat.

Saya main-main mengisi borang, ke matrikulasi atau UIA. Saya juga memohon JPA, ijazah luar negara. Saya memilih pergigian Australia. Saya menghadiri temuduga dan main-main semasa menjawab. Pendek kata saya memang tidak serius, saya hanya fikir bersuka-suka.

Semasa di peringkat matrikulasi, saya menghadapi masalah dalaman diri. Saya belajar bersungguh-sungguh, namun hasilnya biasa-biasa sahaja. Saya sungguh kecewa, teramat sangat. Kata cikgu Matematik saya, gaya belajar di peringkat ini lain. Saya tidak putus asa. Apabila keputusan keluar semester 1, saya sangat terkejut dengan keputusan yang saya perolehi. Pointer yang biasa-biasa jika dibandingkan dengan rakan yang lain.

Saya sedih, saya hubungi emak, saya sebak tidak dapat bercakap. Mak bertanya, adakah dia perlu datang berjumpa saya, namun ayah kata biarkan sahaja, biarkan saya mengambil masa dan dan belajar menerima ujian. Saya menangis semahu-mahunya. Ke kelas dengan mata yang sembap, bercakap dengan orang pun tidak. Saya teruskan pengajian macam biasa. Kawan saya kata OK, tapi saya tidak menerimanya, ia terlalu rendah untuk saya.
Engkaulah sahaja (ya Allah) yang kami sembah, dan
kepada engkaulah sahaja kami mohon perlindungan.
al-fatihah, ayat 5

Saya tenangkan hati di surau, solat berjemaah, sunat rawatib, mendengar tazkirah dan study bersama sahabat lain, mereka sungguh cemerlang. Antaranya lini yang kini mengambil perubatan di USM, dia banyak memberi keyakinan kepada saya. Saya lihat kawan saya yang lain, pointer mereka jauh lebih rendah berbanding saya, mereka menangis ketika berdoa selesai solat. Saya katakan pada diri, bahawa kegagalan ini tarbiyyah paling baik buat saya, selama ini saya lupa Allah, saya yakin usaha sayalah yang menentukan kecemerlangan saya dalam akademik. Rupanya Allah sayang saya, dia mahu saya belajar sesuatu yang lebih bernilai. Peristiwa biasa yang terlalu signifikan dalam hidup.
Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dalam perjuangan bersusah
payah. surah al-balad, ayat 4

Friday 23 January 2009

Malam Bersamamu Palestin


'Wake up call' untuk semua muslim. Pengunduran sedikit Zionist belum bermakna isu ini selesai. Teruskan dengan usaha kita, boikot, qunut nazilah, infaq dan lain-lain.

Saya mengajak anda yang berada di sekitar Kota Kinabalu untuk hadir ke Malam Bersamamu Palestin.

Tarikh: 24 Januari 2009
Masa: 8 malam
Tempat: Dewan Saadah, Wisma Muis, Kota Kinabalu.


Motivasikan diri anda dengan hadis berikut;

“Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama-sama kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya. Mereka tetap dalam keadaan demikian.” Maka para sahabat bertanya,”Dimanakah mereka?” Jawab Rasulullah.” Di Baitul Maqdis dan sekitarnya” ~ Riwayat Bukhari ~

Thursday 22 January 2009

Kisah malam itu..kenangan terindah

Saya dan beberapa sahabat mengadakan liqa’ (perjumpaan) di masjid selepas solat maghrib, kemudian di sambung lagi sesudah solat isyak(7.37pm). Kemudian ia berlanjutan sehingga menghampiri jam 11 malam apabila lampu masjid akan dipadam di aras tertentu. Sarat dengan pengisian kami redah sesi diskusi. Masing-masing sudah tentu kepenatan, almaklum ada yang baru balik kelas, hospital dan kerja. Tidak kurang juga yang sakit kepala kerana terlalu banyak mesyuarat, yang lapar tak sempat makan dan yang keletihan tanpa rehat. Dalam kepala saya, habis liqa’ ini saya mahu makan dan tidur.

Selesai, E dan Mariam seperti mahu keluar, Kak Lin mahu menghantar Arina, Jannah, Hazirah dan Nadrah dan terus pulang ke RK. Dia kelihatan seperti tidak sihat dan terlalu letih. Saya pula terjumpa dengan Akma di tingkat satu masjid, mereka ada qiam. Saya singgah dan bersembang panjang dengan Akma. Hampir 12 tengah malam, saya meminta diri untuk pulang. Atifah meminta saya menghantar beliau pulang.

Saya hantar Atifah, kami sama kolej. Dalam perjalan mendaki perbukitan kolej kediaman A, ada kereta berhenti di tengah jalan, di kawasan berkecerunan tinggi dan lampu kecemasan dinyalakan. Saya perlahankan motosikal, kereta itu ada 5 wanita yang sedang diuji. Saya hantar Atifah dan teragak-agak kembali kepada 5 wanita tabah itu.

“Kenapa ni?” saya terkesima, saya kenal mereka. Saya ‘confuse’ dan hairan.

“Kereta habis minyak” kata Kak Lin selamba. Saya lihat orang lain, mereka ketawakan saya.

Hampir satu jam mereka menunggu, saya dikhabarkan E dan Mariam yang keluar sedang berusaha mencari minyak. Mereka menaiki moto Hazirah. Malangnya, stesen minyak terdekat kehabisan minyak, dan akhirnya mereka sampai di KK (punya la jauh). Mereka mencari pula ATM (ada unsur kelakar dan sedih). Setelah duit dikorek-korek, maka beli la minyak. Hujan mula turun dengan lebatnya. Saya dapat bayangkan bagaimana pencari minyak (cari gali) ini meredah hujan membawa minyak kereta.

Jam 1 pagi, kami masih menanti, memuhasabah diri, dan hujan makin lebat, risau pula E dan Mariam. Akhirnya E dan Mariam tiba. Cabaran seterusnya ialah proses memindah minyak ke tangki. Cepat-cepat buka ‘boot’ mencari botol sebagai corong turas, kemudian mencari pisau. Lengkap, entah dari mana Allah campakkan pisau dalam kereta Kak Lin. Suasana kecoh menceritakan pengalaman diselangi gelak golek. Semua basah lencun.

“Best la jadi camni, sekali-sekala” frasa ini dipersetujui semua orang termasuk saya. Memang syok! Thank you Allah, tahniah KA.

Jam 2 pagi, Arina, Kak Lin, Jannah dan Nadrah berkampung di bilik saya. Saya dan Wahida (roommate yang best) memasak mi berperisa ayam (sure gempak) dan teh-O panas . Semua orang makan sambil khusyuk mendengar pengalaman mistik Arina kecuali saya buat-buat tak dengar. Wahida paling berminat. Selepas makan, kami tidur!

Allah jua yang mempersatu hati kami!
amal harun
88999 Kota Kinabalu

Wednesday 21 January 2009

Bila kawan tanya pasal usrah.

Saya ber'ym' dengan rakan sekuliah saya di suatu petang. Kami hanya jumpa di kelas, namun tidak banyak bicara. Kolej kediaman kami jauh.
"Amal, datang la sini,buat usrah, bagi nasihat kat kami (merujuk kepada beberapa orang)" kata kawan saya itu.
"Errrr" saya teragak-agak, saya takut. Saya cadangkan bahawa kawan saya iaitu kawan mereka juga lebih layak, lebih bagus, saya tidak pandai. Tapi saya juga mahu berkongsi, saya tidak tahu bagaimana.
2 tahun lalu semasa selesai solat maghrib di masjid universiti, saya duduk menyelak mushaf. Seorang kakak memperkenalkan diri, pelajar tahun akhir sedang saya di tahun 2. Saya memang tidak mengenali dia. Dia terus mencurah perasaan dan bagaimana dia boleh berada di masjid. Rumusan; dia mahu cari ketenangan setelah putus cinta. Dia 'suruh' saya bagi nasihat. Saya terkedu; lalu saya kongsi dengan ayat ini; Zukhruf; 67. Saya tidak pasti kerana ayat itu yang kebetulan saya jumpa.
Setahun lalu, seorang adik tahun 1, datang berjumpa saya. Situasi 'sebijik' macam di atas. Dia minta nombor telefon saya dan nombor bilik saya, sekali lagi saya terkedu. Dia minta nasihat juga, kami saling tidak mengenali tetapi dia kerap datang ke bilik saya untuk meminta bacaan 'islami'. Tidak lama, kami semakin sibuk dan 'lost contact'.
Saya takut dengan situasi di atas. Saya tidak pandai bercakap. Saya tambah takut bila baca ayat ini;

"Dan ingatlah, ketika Allah mengambiljanji dari orang-orang
yang diberi kitab (iaitu) "Hendaklah kamu benar-benar menerangkannya
(isi kitab itu) kepada manusia dan janganlah kamu menyembunyikannya"
.
Lalu mereka melemparkan (janji itu) ke belakang punggung mereka dan
menjualkannya dengan harga yang murah. Maka itu seburuk-buruk jual-beli yang
mereka lakukan." Aali Imran;187.

Buat mereka, saya doakan kita semua dalam peliharaan Allah, semoga Allah tunjukkan hidayah kepada kita. Motivasi dakwah untuk diri saya dan kawan-kawan, hadith riwayat Bukhari dan Muslim ini;
Siapa dikehendaki Allah baginya kebaikan, akan diberi kefahaman dalam ad-deen.
nota:
  1. kalau berminat pasal usrah sila klik di sini.
  2. maafkan saya, text arab untuk hadith tidak dapat saya sediakan, saya tidak pandai menaip font arab.
amal harun
88999 Kota Kinabalu.

Sajak saya; Garam

Semasa di tingkatan 5, cikgu Bahasa Melayu saya meminta kami pelajar 5 Ibnu Khaldun mencipta 2 buah sajak. Kemudian sajak itu di'compile'kan, maka ia menjadi antologi sajak kami sekelas. Saya simpan, ia memang nostalgia.
Sajak pertama saya ciplak dari lirik nasyid, kemudian sajak kedua saya reka semasa belajar Kimia. Tajuknya garam. Semasa di tingkatan 4 saya benci kimia, kemudian saya mula sukakan kimia perlahan-lahan. Banyak perkataan kimia berasal daripada bahasa arab. Sebab tu ada yang dimulakan dengan 'alif lam ma'rifah' . Contohnya; alkane, alkene, alkali dan banyak lagi. Tak percaya ka?
Ini sajak saya, saya izinkan kalau anda berasa hendak tergelak atau ketawa atau tersengih.
Garam (tafsiran pelbagai definisi)

Tatkala menjengah makmal
Namamu menerobosi ruang fikirku
Kekerasanmu membuatku tabah
Di sebalik itu kau larut bersama air
Menyaksikan kesudianmu bermusyawarah
Terhasil apabila dua bahan berpadu
Mempamerkan kebahagiaan dirimu

Andai dipanaskan ke takat infiniti
Dirimu tak lebur dimamah mentari*
Dan jauh di sudut hatiku
Kaulah lambang ketegaran
Yang Agung
Yang dicipta Al-Qahhar
Buat iktibar sekalian penghuni alam.

Karya dhaif, amal harun 5ik 2003

*menunjukkan bahawa terdapat salah faham konsep kimia, cuba anda nyatakan
anda juga boleh menyatakan garam yang saya maksudkan pada setiap bait.

Saturday 17 January 2009

Kalian; jangan tambah kekacauan


Tahniah kepada pimpinan saf mahasiswa yang berusaha menyampaikan maklumat isu Palestin, walaupun ia dipandang dingin sesetengah golongan. Itu lebih baik daripada kalian terus duduk diam sahaja. Kepedulian kalian terhadap Palestin sangat dihargai, teruskan usaha.


Mereka berusaha mengadakan majlis penenerangan tentang isu Palestin, tayangan video dan kutipan derma untuk saudara di Palestin. Mereka bergerak dari setiap kolej kediaman saban malam. Saya pasti masih ramai yang tidak sedar apa yang berlaku di Palestin, ia bukan baru tetapi sudah 60 tahun.


Mereka juga melancarkan kempen boikot. Saya menyaksikan dari kolej perhimpunan aman selepas solat jumaat di hadapan masjid universiti. Tahniah muslimin alert, perlu tingkatkan lagi usaha.


Selesai kuliah, saya dan Wahida menunggang motosikal menyusuri jalan pulang yang dihiasi dengan kain rentang, buat mahasiswa menurunkan tandatangan sebagi tanda mengecam kekejaman Israel. Kami memberhentikan motosikal untuk membaca, bukan membaca kain rentang, tetapi notis yang dikeluarkan setelah kain direntangkan. Notis itu dikeluarkan oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa berbunyi "LARANGAN KERAS MENULIS KATA-KATA KESAT". Memang saya dapat baca beberapa hari lalu, banyak kata-kata kesat ditulis seperti f*** ISRAEL dan banyak lagi. Sungguh ia mengaibkan, malah saya fikir Ehud Barak hanya ketawa melihat kain itu.


Banyak lagi boleh kita lakukan untuk menzahirkan kepedulian dan kecaman terhadap laknatullah itu. Adalah lebih baik mahasiswa dan Majlis Perwakilan Pelajar duduk belajar bersungguh-sungguh dan mengkaji sejarah terhadap isu ini (1917-1948), maka benarlah kalam Allah berbunyi;


"Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa sebahagian dari setiap golongan di antara mereka tidak pergi untuk memperdalam pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga dirinya" At-Taubah;122.


Jadi apakah sumbangan kita? Saya sering diingatkan agar menjadikan diri sebagai tambahan kepada kekuatan ummat Islam, bukan menyumbang kepada kekacauan.


"Jika mereka berangkat bersamamu nescaya mereka tidak akan menambah (kekuatan)mu, malah hanya akan membuat kekacauan dan mereka tentu bergegas maju ke depan di celah-celah barisanmu untuk mengadakan kekacauan (di barisanmu); sedang di antara kamu ada orang-orang yang sangat suka mendengarkan (perkataan) mereka. Allah mengetahui orang-orang yang zalim." At-Taubah;47.


Yakinlah pada janji Allah wahai diri.

amal harun
kolej kediaman a

Friday 16 January 2009

Terima Kasih Kawan Saya


Saya sibuk di perpustakaan, perbincangan tugasan. Satu panggilan dan sms tidak saya sedar. Isyarat getaran menyatakan panggilan sekali lagi, Irsha kawan saya.


"Amal, kau kat mana? Pukul 12 datang Kopitiam Alamesra, wajib datang" suara Irsha memberi amaran.


"Er, tengah ada discussion ni....paksa-paksa pulak, tunggu jap" saya sedikit hairan.


Beria-ia ajak makan. Mentang-mentang bendahari universiti tahan biasiswa, dia mungkin terlalu bermurah hati mahu belanja saya makan. Saya selesaikan perbincangan cepat-cepat, kebetulan memang dekat nak habis. Saya terus bergegas ke Alamesra (copy of Alamanda) depan 1Borneo (copy of 1Utama).


Jojina juga ada, masih tidak terkejut, kemudian Shakir pula sampai. Kemudian kek sampai. Kek itu ada nama ala-ala nama saya atau sepupu saya (amar). Kemudian mereka bergambar. Ooo rupanya meraikan hari tua saya. Terima kasih, buat susah-susah kamu saja. Kemudian ayam besar sampai. Kami makan. Diet hamba Allah seorang itu rosak setelah menelan makanan berkalori tinggi.


Kemudian mereka memberi saya hadiah. Objek itu dalam kelas; amphibia dan order; anura. Mujur ia bukan sebenar, saya fobia. Terima kasih banyak-banyak. Saya harap tidak akan berlaku lagi, saya tidak mahu orang tahu saya tua kononnya, tetapi saya memang sukar mengingat tarikh lahir kawan-kawan.


Kepada Jojina (7 Feb), sahabat baik yang saya kenal semenjak kami berada di darjah 2, tidak pernah lost contact walaupun berjauhan dan akhirnya ditemukan di universiti ini. Kini Jojina di Sekolah Perubatan. Dia sahabat baik saya, bijak sekali. Saya masih ingat dia hadiahkan saya key-chain tertulis 'teguhkan azam, miliki kejayaan' sempena hari lahir saya di darjah enam. Dia sangat skema kerana bertanya saya bagaimana hendak ponteng program walaupun dia di Matrikulasi Labuan dan saya di Kolej MARA Kulim.


Irsha (3March), saya kenal dia semasa di tahun satu pengajian, akhir 2005. Saya takut mahu berkenalan dengan dia walaupun kami satu kelas bahasa arab. Semasa saya tinggal di Kingfisher kerana ditugaskan menjaga Along dan Tam (kucing makcik, pakcik dan Marwan), saya naik basikal, meronda-ronda. Kebetulan Irsha tinggal di kolej kediaman Kingfisher, dia ajak saya makan 'nasi air' di rumah dia. Saya pun pergi tanpa segan silu, mulai hari itu, saya ke Kingfisher untuk menikmati nasi air, sandwich dan tomyam.


Shakir (31 Disember 1987; paling muda) pula saya tidak perasan bila saya berkawan baik dengan dia. Seingat saya, saya takut dengan dia kerana memiliki mata merah, macam garang. Tetapi saya confuse apabila dia memberi jawapan bocor semasa kami menghadiri temuduga biasiswa. Maknanya dia tidak garang. Dia ada tulang tangan yang unik. Menurut Makcik Leha, Shakir memiliki ciri interpersonal yang baik, PR yang baik.


Aiza, Baizura, Noni, Adi dan Dila terima kasih juga. Mereka hadiahkan saya seekor beruang coklat, Ursus arctos semasa umur saya 21. Mereka sangat akrab, berkawan sejak di Kolej MARA sehingga ke Indah Permai. Wah, antara kalian siapa akan kawin dulu?


Wahida, rakan sebilik saya tahun ini. Kami kerap masak. Saya kagum dengan dia, dia rajin belajar dan gigih berusaha. Pertama kali dia menyapa saya semasa minggu orientasi 2005. Dia khabarkan dia major Biologi dan berasal dari Pulau Pinang. Memang, saya tidak pandai untuk memulakan perkenalan atau persahabatan, terima kasih kawan.


Chew Lup Hong, saya kenal kerana kebetulan banyak kelas kami yang sama semenjak tahun satu. Dia pemurah nota, info terkini daripada pensyarah, dan macam-macam lagi. Maafkan saya kerana tidak menyertai jemputan makan tengah hari bersama Aiza, Baizura, Afza dan Noni. Saya juga minta maaf kerana menolak jemputan belanja saya makan malam, kerana saya seorang perempuan. Selain beruang coklat, saya terima Cygnus olor, seekor angsa kristal sebagai key-chain.


Kesimpulan; hadiah yang saya terima bertema haiwan (animalia). Saya tidak mahu apa-apa hadiah lagi, saya hanya mahu kalian sebagai sahabat saya. Juga buat sahabat lain, dan ibu bapa saya, setiap hari saya terima hadiah daripada mereka, iaitu doa mereka.


Saya doakan kawan-kawan saya berjaya dunia dan akhirat, semoga Allah pelihara kalian dan ditetapkan iman. Jom alert isu Palestin!


amalharun

88999 Kota Kinabalu.

Thursday 15 January 2009

Pemergian bukan suatu kehilangan

Pada 12 Januari lalu saya dikejutkan dengan panggilan telefon adik saya, Kausar yang mengkhabarkan pemergian maksu saya. Hari ini 15 Januari, saya terima sms pula menyatakan pemergian nenek kepada sepupu saya, iaitu emak kepada Paknjang saya.


Mereka baru saja kembali dari Kepala Batas ke Shah Alam pagi tadi. Kemudian dikhabarkan pula berita kematian nenek pada waktu petang. Takziah. Yasmin, Nukman, Ammar dan Ain Tasnim. Kehilangan 2 insan yang terlalu signifikan.


Benarlah, semuanya Allah telah susun cantik. Perpisahan ini sementara, semoga bertemu di sana.


"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada dalm syurga dan kenikmatan" at-Tur;17.


Takziah untuk maknjang, paknjang dan CCH.

Kami sentiasa doakan dia


Beberapa malam yang lepas saya menerima panggilan dari satu nombor yang tidak saya kenali. Saya jawab.



“Assalamualaikum, amal?” suara itu menyapa saya. Jelas, itu orang yang dikenali.

“Waalaikumussalam..” kedengaran kurang jelas.

“Hey Amal, hang kat mana? Balik tak rumah tok” suara itu lagi.

“Kat KK la, mana lagi. Tak dapat balik la.” Baru saya perasan itu abang saya, Faiz. Anak kedua emak dan ayah saya.
Kami bercakap tidak lama, saya bertanya apa kerja dia, bila dia mahu pulang ke rumah. Begitu juga soalan dia kepada saya, bila habis belajar, bila mahu balik rumah, komputer saya ada masalah atau tidak dan di mana saya format laptop saya. Sudah lama kami tidak berjumpa. Di akhir perbualan, saya ingatkan dia, sentiasa jaga solat. Semua orang rindukan dia. Kami mengucap salam, kemudian talian diputuskan.

Air mata saya jatuh lagi.

Saya sedih dan gembira. Saya doakan dia dalam jagaan Allah, semoga Allah kurniakan hidayah kepada kami, dan melembutkan hati kami. Saya tahu semua orang berdoa untuk abang saya yang satu ini. Hampir setiap malam saya terlihat emak saya bersolat di akhir malam, dia juga ingatkan saya, sentiasa berusaha, jangan malas atau putus asa.

Kalau kita sayang keluarga kita, kita akan ajak mereka bersama melakukan amal makruf dan meninggalkan yang mungkar.Semoga kita sekeluarga ditemukan di sana nanti. Sebagaimana yang telah Allah pesan dan diingatkan oleh naqibah saya:


“Dan orang-orang yang beriman, beserta anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan mereka dengan anak cucu mereka (di dalam syurga), dan Kami tidak mengurangi sedikit pun pahala amal kebajikan mereka . Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya” At-Tur;21.
*foto semasa eidulfitri 1988, dari kiri; Hafez;8, Amal;2 dan Faiz;6

amal harun
88999 Kota Kinabalu

Gaza dan Fosforus Itu


Rabu ,14/01/2009 - Dr Hussein Ashour, pengarah hospital Al Shifa berkata yang sejumlah mayat telah tiba di hospital itu dengan kesan terbakar dan terputus yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini sambil mengesahkan Israel menggunakan senjata yang dilarang di seluruh dunia terhadap orang awam di Semenanjung Gaza.

Dr Ashour menambah penjelasan dari segi perubatan untuk kes-kes seumpama ini bererti Israel menggunakan senjata yang canggih manakala para doktor Norway yang membantu mangsa Palestin berkata mereka telah melihat kes-kes seumpama ini semasa perang AS ke atas Iraq dahulu.

Human Rights Watch dalam satu kenyataan telah mendedahkan bahawa para penyelidiknya kelmarin melihat beberapa letupan fosforus putih di Gaza yang dilepaskan daripada artileri Israel di bandar Gaza dan ke Jabaliya.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/penterjemah : hijjaz79
Beberapa hari ini dada saya sesak mendengar berita ini di mana-mana. Saya cuba mencari kekuatan untuk menyumbangkan sesuatu membantu saudara saya.

Tuesday 13 January 2009

Al-Fatihah; Almarhumah Suraya Ya'acob Al-haj



Lebih kurang 8.30 malam, 12 Januari 2009 saya lihat ada missed callled daripada abang saya. Saya tidak sedar kerana berada dalam kuliah YM Raja Ismail. Ia disusuli dengan panggilan seterusnya oleh adik saya Kausar. Saya jawab. Adik saya bagitau maksu saya telah kembali ke rahmatullah. Antara dengar dan tidak kerana suasana kelas yang agak bising, saya tenang., saya tulis nota pada Sitti Fatimah sebelah di belakang saya berbunyi "maksu saya sudah meninggal'. Kemudian sekali lagi saya mengesahkan berita itu dengan abang saya di Labuan, Hafez.

Maka benarlah kalam suci Allah, sesuatu yang dijanjikan buat hambaNya.

Semua yang ada di muka bumi ini akan fana.” (QS. Ar-Rahman: 36)

“Setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami kematian.”(QS. Ali ‘Imran: 185)

“Sesungguhnya engkau—wahai Rasul—akan mati. Dan sesungguhnya mereka pun akan mati.” (QS. Az-Zumar: 30)

“Dan kami tidak menjadikan orang-orang yang sebelum kamu itu hidup kekal. Apakah jika kamu mati mereka itu hidup kekal?” (QS. Al-Anbiya’: 34)

Selesai kelas, saya balik ke kolej, solat isyak dan membuat persiapan. Saya bertanya pendapat ayah dan pakngah, adakah saya perlu pulang. Ayah kata tak perlu, pakngah kata terpulang pada saya.

Saya mahu pulang, saya mahu bertemu dengan tok, insan yang terlalu dekat dengan maksu. Saya ke lapangan terbang ditemani 3 rakan. Saya serahkan pada takdir sama ada dapat pulang atau tidak. Ada penerbangan Airasia jam 7 pagi terus ke Penang dan 6.05 pagi ke Kuala Lumpur. Pejabat juga tutup. Kaunter penjualan tiket tutup dan dibuka jam 8 pagi esoknya. Saya cuba secara online, pembelian hanya dapat dibuat dalam masa 48 jam sebelum penerbangan. Maka saya redha, saya doakan dari jauh. Semoga Allah tempatkan arwah maksu di kalangan orang yang soleh dan semoga Allah kurniakan ketenangan dan kesabaran buat tok saya.

4 Januari 2009, hari terakhir saya bertemu cuya sebelum kembali ke Kota Kinabalu. Cuya baring di katil, leka dengan majalah dan bukunya semasa lambaian terakhir saya. Saya ucapkan selamat tinggal untuk tok yang menjaga cuya. Saya salam dan cium tangan tok. Saya peluk tok. Air mata kami tumpah. Saya beri nasihat kepada tok, tok senyum dan berkata;

"Amal, esok musafir balik Sabah. Sentiasa doakan cuya selamat..."

InsyaAllah, itu pasti saya lakukan. Darah cuya dan tok adalah darah yang mengalir dalam tubuh saya. Saya melangkah berat meninggalkan tok dan cuya di Hospital Kepala Batas. penuh pengharapan terhadap al-Khaliq. Tok, tabahnya dia.

Maksu saya (kami panggil cuya) mengalami mental retardation semenjak lahir. Kelihatan seperti normal, tidak tahu bercakap dan mengurus diri. Disebabkan hanya berkomunikasi melalui bahasa isyarat, ia menyukarkan proses interaksi dan bekerjasama dengan doktor. Arwah maksu saya didiagnos mengalami jangkitan pada urinary tract sejak 2006, seterusnya menyebabkan beberapa komplikasi lain. 33 tahun tok menjaga dengan penuh kasih sayang, seingat saya tok takkan pernah berenggang dengan maksu. Segalanya tok yang uruskan, makan, pakai, tidur, sakit demam, semuanya dan ia takkan sama bila kami menjaganya. Layanan tok tetap 1st class buat anaknya meskipun insan kurang upaya.

Pemergiannya pasti dirasai. Semoga cuya tenang dalam pemeliharaan Allah.

Al-fatihah.

*kredit foto daripada abang saya. foto semasa eidul adha 1929H dan perhimpunan keluarga 2008

Sunday 11 January 2009

Pantun misteri

Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa saya dirikan
Kalau sungguh bagai dikata
Jiwa raga saya serahkan.


Usah tertipu, pantun diatas sering dilihat sebagai sebuah pantun jiwang. Sila hayati kembali. Setelah menghadiri suatu pertemuan yang pada asalnya membincangkan isu Palestin, saya tertarik dengan sebuah pantun yang diselitkan oleh kak lin.

Pantun jihad. Maaf saya tidak pandai sejarah. Kalau kalian tahu, sebalik tabir pantun di atas sila khabarkan ya?

amalharun
kolej kediaman a
88999 kota kinabalu

Saturday 10 January 2009

Biasiswa; Demonstrasi atau Diplomasi

"Bila duit nak masuk"
"Eh Amal, cek la CIMB duit dah masuk belum"
"Scholar da masuk belum????, aku dah kering sangat ni"
Ini adalah beberapa rungutan aku dan rakan-rakan di awal semester ini. Alahai, tiada sudah duit kami (dalam nada sedih versi sabah). Ambil perhatian, entri ini perlu dibaca dengan penuh perasaan dan kewarasan. Ia mungkin beremosi, marah, sedih dan semuanya bercampur-baur.
Biasiswa kami belum dibayar melalui pihak bendahari universiti. Kami difahamkan oleh Bahagian Biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia bahawa pihak mereka telah membayar biasiswa tersebut kepada universiti. Ia telah dibayar pada 1 Disember 2008 lagi. Hingga kini akaun kami masih sepi.
Kami masih belum menerimanya sehingga kini. Rakan di universiti lain yang menerima biasiswa yang sama sudah menerima awal lagi.
Melalui penyata kewangan pelajar, yuran pengajian semester ini telahpun dibayar. Satu lagi bukti biasiswa kami sudah masuk. Namun akaun di bank masih sunyi. Baki tinggal baki.
Inisiatif berjumpa pihak bendahari universiti diambil. Menurut kerani pak turut itu, kalau bernasib baik minggu ini, kalau tidak Februari. Minggu ini sudah berlalu. Kami terus menunggu.
Penghujung 2006 adalah kemasukan biasiswa kami yang pertama. Semester tersebut kami tidak dibayar lagi oleh PTPTN. Kami menanti dan terus menanti penuh harap kerana rakan di universiti lain telah lama menikmati biasiswa mereka. Tempoh penantian memang terlalu lama. Lantas bersama rakan-rakan, kami bermusyawarah.
Selesai kuliah di suatu petang, kami naik ke bahagian bendahari universiti beramai-ramai dan memenuhi kaunter bendahari. Kami mendesak tidak mahu lagi berurusan dengan kerani dan meminta untuk bertemu bos mereka sendiri. Kerani tersebut masuk berjumpa dengan bosnya, kemudian keluar dan meminta kami menandatangani sesuatu, pengesahan senarai penerima biasiswa. Kami akur dan beberapa hari selepas itu poket kami berisi, tak perlu ikat perut lagi. Jelas mereka bekerja setelah kami berdemonstrasi, bukan semasa kami berdiplomasi.
Masalah yang sama menimpa semester ini. Setiap semester. Kononnya mereka mengambil masa mengurus kemasukan wang pelajar lain dahulu. Hakikatnya pelajar lain juga menerima nasib yang sama. Kelewatan pembayaran memang disengajakan. Ia adalah konspirasi!
Wahai bendahari universiti, sudah lama kami menanti, perlukah kami berdemonstrasi?
amalharun
88999 Kota Kinabalu

Friday 9 January 2009

Amal's Anxiety Disorder

Hari-hari yang aku lalui di Bumi Di Bawah Bayu ini penuh ketenangan. Tenang itu aku raih setelah mengenal tarbiyyah, Alhamdulillah mungkin belum benar tenang, tetapi sedikit sebanyak aku cuba belajar menghargai nikmat hidayah Allah dan ketenanganNya. Namun tenang itu jangan pula ditempatkan di 'comfort zone'. Sungguh, ia ujian berat sehingga melupakan kegetiran hidup rakyat Palestin.

Mengharungi baki hari di kampus memerlukan aku menghadiri kelas. Usai solat asar, bergegas aku ke dewan kuliah. Ramainya umat manusia sehingga dewan itu dipenuhi, padat dan melimpah ruah ke luar dewan. Aku berjaya dalam pertempuran memasuki dewan kuliah agar tidak tergolong dalam kuantiti melimpah ruah itu.

Pensyarah datang. Kelas ini lebih kurang macam kemahiran berbahasa dalam pendidikan. Maka setelah memberi sedikit taklimat berkaitan kursus, pensyarah turut menyentuh sedikit isu pengucapan umum yang menggunakan kemahiran berbahasa.

"Ada baiknya saya memanggil anda ke depan", kata pensyarah.

Setelah berkira-kira memanggil 'mangsa', seorang pelajar memutuskan bahawa nama pelajar yang perlu ke depan mesti bermula dengan huruf A. Pensyarah setuju. Sesungguhnya, hati, jantung dan minda orang-orang yang namanya bermula dengan huruf A dilanda kerisauan yang amat dasyat. Hormon adrenalin semakin bertindak aktif. Tekanan darah dan degupan jantung pasti meningkat. Ia sungguh dramatik. Di luar hujan semakin lebat, kilat sabung-menyabung.

"Kalau macam tu Amal" pensyarah merujuk kepada senarai nama pelajar di komputer.

"Mana Amal? Mai sini" Beliau mencari.

"Oh, saya di sini" jawab hatiku yang mengalami kegusaran tahap melampau.

Aku langkah penuh kesopanan dan berlagak macho naik ke pentas, menghalakan microphone.

"Ok sekarang kita dengar taklimat sekolah kluster daripada unit amal" kata pensyarah, dewan 'sardin' (Osteithyes, bonny fishes) itu gamat (baca; sea cucumber berkeluarga Echinodermata).

Aku diberi satu minit, kemudian 20 saat, kemudian aku bercakap.

Bermula dengan lafaz basmalah dan ucapan salam. Aku perkenalkan diri dan nombor matrik.

"Eh, sapa tanya?" pensyarah menyatakan ketidak puasan hatinya.

Haha, pedulilah, penyakit aku datang, aku tak peduli, aku cakap.

"Buat pengatahuan semua, ***** (nama pensyarahku) ialah penyelia saya semasa menjalani latihan mengajar di SMK ****."

"La, sapa tanya hang" beliau mencelah lagi.

Aku tak peduli, aku teruskan.

"Memandangkan saya sangat nervous, saya tidak dapat memberi taklimat sekolah kluster, sekian terima kasih" aku turun pentas. Aku benci microphone!

Seisi warga dewan yang 'sardin' itu memberi tepukan. Hatiku berbunga, kemudian kusut sekali. Ada baiknya aku cakap tentang rejim zionis, tapi lidah kelu dan badan macam terkena Geiger Muller (kononnya).

"Hampeh" ini yang aku dengar dari pensyarah. Ikan 'sardin' ketawa lagi.

Mulai hari ini, aku akan sediakan satu teks di kepala (cephalus) supaya Anxiety disorder tidak menyerang. Juga sebuah doa dan selawat bagi meredakan tindakan adrenalin ke atas tubuh.

Aku pernah muntah setiap kali ketenangan itu digugat gara-gara penyakit ini. Aku khabarkan kepada mak, dan sms dari beberapa orang 'ikan sardin' membuat aku 'blur' sendiri.

Akan aku prtingkatkan kemahiran berbahasa dan pengucapan umum. Tolong, ceritakan bagaimana?

amalharun
88999 Kota Kinabalu

Wednesday 7 January 2009

Aku curi masuk

Hari ini pergi ke kelas Prof. Dr Vincent Pang, kelas Penilaian Dalam Pendidikan. Kelas ini akan mengajar kami membuat soalan ujian, memeriksa dan memberi markah, kemudian membuat analisis pencapaian. Suasana kelas sesak, hampir keseluruhan pelajar pendidikan tahun akhir mengisi kelas.



Kemudian, cepat-cepat berlari menuju pejabat, kena daftar manual untuk subjek ini walaupun telah daftar secara online. Kemudian lari lagi mencari pensyarah subjek Multimedia. Oh tidak kesampaian. Tidak sempat aku daftar lab, semunya penuh!



Aku ke Pusat Bahasa menghantar buah tangan, lalu memecut motosikal ke perpustakaan. Membuat semakan nota daripada pensyarah, kemudian memuat turun, malang tiada 'thumb drive' pula. Hishhhh.



Cepat bertemu sahabatku Ainil setelah lama tidak berjumpa. Oh tidak, Anis juga ada. Kami berpelukan dan bersalaman dan berlucuan. Lama benar terpisah dengan golongan Biotech ini. Mereka kembali ke UMS bagi meneruskan pengajian di peringkat sarjana. Tahniah.



Sesi taklimat Research Merhodology bermula, AKU CURI MASUK menyertai Ainil di auditorium perpustakaan. Taklimat di sampaikan oleh P.M Dr. Abdul Hamid, selalu aku panggil dia 'cikmid'. Penerangan menarik sekali pasal 'literure review'.



Sesi petang ialah Experimental Design daripada mantan pensyarah aku yang pernah ajar Genetik, Mikrobiologi dan Zoologi. Aku difahamkan oleh cikmid dia sangat handal dalam bidang statistik dan parasitologi.



Ohhhhh, aku tidak dapat mencuri masuk lagi. Ada kuliah Educational Management yang wajib aku hadir. Kelas dikendalikan oleh Dr.Ling yang begitu 'motherly'.



Hujan turun lebat, moto dan helmet basah, mujur satu saja helmet yang basah teruk, lagi satu selamat. Habis kelas aku berlari ke pejabat lagi mendaftarkan kursus PJK, ia kuliah, kalau macam di sekolah dulu, PJK mesti sangat best!



Beberapa rakan memaklumkan borang 'posting' dah keluar. Malangnya kerani belum mahu bagi. Dia kata esok pagi. Negeri mana aku nak kerja?? Aduh, aku tidak suka kerana perlu membuat pilihan.



Aku redah hujan, menaiki moto pada kelajuan sederhana. Basah kuyup. Sampai bilik aku pengsan sekejap.



Aku puasa, wahtu hampir tiba. Sungguh, aku lupa menyebabkan lambat aku beli makanan, lambat 'bersungkai' kerana ramai pula di kaunter pembayaran. Waktu solat di Sabah 1 jam lebih awal dengan waktu di Penang.



Malam, aku belajar ilmu baru. Adik aku bertanya penjodoh bilangan bagi cendawan. Setangkai? Sekuntum? Sebatang? Aku 'google', jawapannya ialah sekaki cendawan.



Esok aku mahu curi masuk dan mendengar taklimat pascasiswazah lagi. Haruskah aku. Tajuk esok pasal Statistik dalam penyelidikan. Haruskah aku curi masuk lagi?

amalharun
88999 Kota Kinabalu

Monday 5 January 2009

Dedikasi Di Hari Lahir

Dedikasi buat permata hatiku mak, mak, mak dan ayah.Ketahuilah lahir daripada kemuliaan zuriat kalian berdua membuatkanku terasa bagaikan insan paling bertuah di dunia. Redhailah diriku menjadi puterimu. (ayat pinjam)

Terima kasih emak dan ayah. Prinsip aku, jangan tumpahkan air mata mak. Apakan daya, ia tumpah jua. Memang mak seorang yang pemurah dengan air mata dan ayah macho berlagak selamba.



Sekalung doa kesejahteraan buat mak yang mengandungkan aku dalam suasana kekalutan hidup, di samping menjalani latihan mengajar. Latihan itu seperti yang aku lalui di Kuala Penyu tahun lalu. Bezanya mak mengandungkan sewaktu praktikal, menyebabkan sedikit sebanyak kandungan mak dipengaruhi oleh aktiviti mak waktu itu. Alahai, mak kata dia main tenis juga. Mujur bakal sekarier dengan mak, jika tidak pasti kini aku menyusul seperti Rafael Nadal atau Agassi heheee.

Ayah pula setia di kala senang dan susahku. Ayah temankan aku untuk menerima anugerah pelajar harapan Pulau Pinang pada 1993. Dia juga setia menjadi jururawat apabila aku diserang 'sindrom muntah 24 jam'.

Semilir angin di pagi ini, aku kembali ke Kota Kinabalu. Ayah mengiringi ke lapangan terbang. Mujur mak tidak bersama kerana ke sekolah, jika tidak banjir lagi.


Lalu apakah hadiah terindah musim ini? Tiada lain mampu ku balasi, selain doa untuk kalian setiap hari. Kalam suci surah Luqman;14 dan al-Isra'; 24 untuk direnungi.

Terima kasih permata hati, sejuta apresiasi di hari jadi.

23 kuntum daisy di tahun ini. (big numbers)
amalharun
13200 Kepala Batas

Sunday 4 January 2009

Nostalgia Antologi Puisi Kami dan Sajak Cikgu Kepada Kami



Hari-hari terakhir sebelum kembali ke Kota Kinabalu, sempat aku membelek-belek buku zaman sekolah dahulu kala. Buku latihan, buku teks mahupun rujukan, dan buku kerja yang terdapat tanda semakan dan tanda tangan guru mengajar beserta tarikh cikgu memeriksa latihan aku. Ada juga pembetulan cikgu, tanda betul dan pangkah, komen cikgu dan ulasannya 'sila baiki tulisan'. Ia sungguh nostalgia!

Beberapa hari yang lepas bertemu dengan Ustazah Zuraini, ustazah Bahasa Arab tingkatan 3 di sebuah kedai buku. Ustazah 'maintain' muda nampaknya. Terharu, ustazah masih ingat namaku. Hari yang sama juga bertemu Cikgu Azizah di Hospital Kepala Batas. Beliau guru Bahasa Malaysia sewaktu di tingkatan 3. Kedua-dua pendidik ini sungguh aku kagumi, mendidik penuh kasih sayang dan penuh keikhlasan. Serius aku cakap, aku pun tak sampai seikhlas hati macam mereka. Syabas guru-guruku walau di mana anda berada. Hanya Allah membalas jasa kalian wahai cikgu. Aku selongkar lagi, folio kerja kursus berhabuk pula yang dijumpai. Cari lagi, sebuah antologi puisi kreatif yang aku jumpa. Tajuknya "Antologi Puisi Kreatif" karya pelajar-pelajar 5 Ibnu Khaldun 2003. Baru teringat, cikgu minta kami tulis dua buah sajak tulis tangan atau bertaip, sajak itu mesti temanya guru atau ibu, dan satu sajak lagi bertema bebas. Boleh disertakan nama sebenar atau samaran. Kata-kata cikgu melekat lagi dalam kepala. Kata cikgu ia sebagai kenangan untuk cikgu dan kami warga 5 Ibnu Khaldun. Jadi, cikgu 'compile'kan kemudian aku minta untuk disimpan satu salinan. Kini aku selak kembali lembaran antologi itu, mengingatkan kepada rakan sepengajian SMKA Al-Irshad batch SPM 2003.

Di dalamnya terdapat ucapan penghargaan Cikgu Roshidah. Ucapannya begini;

"Saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pelajar-pelajar 5IK kerana sudi menghasilkan puisi masing-masing untuk dimuatkan dalam antologi ini sebagai kenangan kepada saya. Penghasilan antologi ini menjadi bukti penghormatan mereka kepada saya dan semua guru SMKA Al-Irshad yang telah mendidik mereka selama ini.

Saya berharap ada di kalangan pelajar 5IK yang akan menjadi penyair, penyajak, novelis dan lain-lain. Semoga bakat dan kebolehan mereka dapat dimanfaatkan untuk agama, bangsa dan negara.

Cikgu bangga menjadi guru anda"

Serba sedikit ucapan dan doa cikgu Roshidah buat pelajarnya. Halaman berikutnya memuatkan sebuah puisi cikgu Roshidah untuk kami.

Permata Hati

Sayangku
Kau banyak membakar jiwaku
Menjadi pendidik dedikasi, prihatin
Menjadi guru yang disenangi, diperlukan

Sayangku
Kau umpama permata yang menyinar impian
Kau umpama permata yang menyuluh harapanku
Kau umpama permata yang menerangi hidupku

Sayangku
Jangan kau hancurkan impian ini
Jangan musnahkan harapan ini
Jangan malapkan hidup ini
Sayangku
Dirimu segalanya bagiku Nukilan; Pn. Roshidah khas untuk 5IK 2003
InsyaALLAH, andai diizinkan, akan kusiarkan sajak nukilan hati dan imaginasiku semasa di tingkatan lima dahulu. Kalian nantikan ya!


Buat adik bongsuku Roudhoh aka 'baby', selamat kembali ke sekolah 2009. Hayati zaman sekolah yang indah itu. Bersyukur kerana dapat kembali ke alam pengajian meneruskan perjuangan, dan nun jauh di sana usah lupa saudara KITA.

Welcome back to school, hulurkan tangan, ringankan beban!

amalharun
13200 Kepala Batas

Saturday 3 January 2009

Tugas Kita



Sabtu ,03/01/2009 -Ulama' terkenal Islam , Sheikh Yousef Al-Qaradawi telah menegaskan Jumaat lalu bahawa ummah Muslim dari Maghribi ke Indonesia berkewajipan mempertahankan Semenanjung Gaza, dan melindungi tanah Islam daripada pihak musuh.
"Menyokong penduduk Palestin di Gaza adalah satu kewajipan agama pada setiap individu Islam dan tiada siapa dikecualikan daripada tugas tersebut " ujar Qaradawi dalam satu ceramah beliau sebelum perhimpunan besar-besaran di Qatar, Doha.
Beliau turut menegaskan umat Islam perlu bersedia berkorban harta benda dan apa sahaja yang bernilai demi membantu saudara mara kita di Gaza.
Note: sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/ penterjemah : gunx
diambil daripada www.palestinkini.info
nasihatkan aku
amalharun
13200 Kepala Batas

Air Mata Gaza





Wahai Allah, kurniakan kami kesabaran. Tetapkan hati kami di jalan ini.


Tak mampu berkata apa, hanya doa peneman jiwa. Janji Allah buat mereka.


kredit foto daripada; palestinkini.info

Friday 2 January 2009

Si Pelarian Dakwah



1430 Hijrah menjelang seiring dengan 2009. Usia juga bertambah, namun iman, kualiti ibadah, hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia dan usaha dalam dakwah bagaimana? Dakwah?


Dulu, ia ialah 'taboo word' dalam hidup aku. Perkataan itu sudah cukup menggambarkan tahap keberatan dan kesusahan tatkala berada di dalamnya. Maka tidak hairanlah ada slogan 'Dakwah Bukan Untuk Orang Manja'. Kadang-kadang, naik sakit hati aku dengan slogan ini, tentulah terasa, kerana aku menggigit cili itu.
Dibesarkan dalam suasana Islami menyebabkan aku melatah apabila di tempat atau situasi tidak Islami. Islami itu bagaimana? Pada perkiraanku, Islami ialah pada menyertai majlis ilmu dan mempraktikkannya. Lalu, asalkan ada majlis ilmu, aku sertai. Begitu juga untuk turut serta menyertai rakan-rakan berprogram. Aduh, Islamku selama ini di mana? Dan akhirnya, aku mendapati Islam itu hanya ingin menjadi baik akhlak, sebab itu dihantar ke sekolah agama. Islam itu hanya untuk supaya solat, puasa, zakat dan lain-lain. Amalan ritual. Ia warisan.
Konflik, konflik. Oooo..kalau Islam itu hanya pada amalan ritual dan ulangan, kenapa kena belajar seerah, belajar Quran dan tajwid, hadith dan usul fiqh, bahasa arabnya, nahunya, balaghahnya??? Belum lagi bab air, dalam Islam belajar macam-macam jenis air. Ish, susahnya! Aku membentak sendiri. Kenapa kena belajar semua ni, pelik aku, ada pula sampai luar negara. Semakin aku bingung.

Kemudian aku cipta pandangan macam ni pula: lahir, besar, mati. Mengucap, sembahyang, puasa, zakat, haji, ok, dah siap. Makan, minum dan kerja. Mati, tak payah belajar lain-lain. Ini macam robot.
Kalau pergi sekolah agama confirm 'baik'?

"Eleh, hipokrit saja, kemarin aku nampak dia pakai tudung punya la labuh, hari ni aku nampak pakai jeans ketat, tudung pun takdak?" " Apa pasai??????"

Inilah monolog mencari pencerahan. Rupanya aku mangsa sekularisme. Ilmu itu terpecah-pecah dan terpisah-pisah pula. Aku sangka aku telah belajar agama dan menjadi insan bertaqwa seperti yang dikata, aku salah rupanya.

Lalu aku temui ad-deen yang syumul itu. Islam bukan sekadar belajar solat atau sah batal puasa atau pembahagian air semata. Islam itu semuanya. Benarlah Islam bukan pada 'I' huruf besar, tapi sepatutnya 'i' huruf kecil. (Diskusi lanjutan kalau tak faham part 'i' huruf besar dan kecil.
Jadi, engineering, medic, kimia, fizik, landscape, ekonomi sampailah ke pedagogi pendidikan juga dalam ruang lingkup Islam. Rupanya aku buta selama ini.

Apa kena mengena dengan dakwah? Apa yang aku melalut sampai ke sini. Owh, aku cuma mahu kongsikan bahawa dulu aku lari dan lari dari dakwah, sehingga aku tak sanggup menyebutnya. Tapi, larian itu sia-sia. Kerana dakwah itu adalah halatuju bagi setiap muslim, menjadi bekal dan modal bertemu Penciptanya. Do in Da'wah!

Ya Allah, kurniakan hidayah-Mu, dan jangan pesongkan hati kami setelah Engkau beri petunjuk.
amalharun
13200 Kepala Batas