Showing posts with label travelog amal:satu pencarian;. Show all posts
Showing posts with label travelog amal:satu pencarian;. Show all posts

Sunday, 1 September 2013

Post Wedding

Disebabkan selalu menerima didikan dari Tuan Syed Nasir (SN), guru fotografi saya, maka saya jadi terinspirasi. Menambah lagi rasa teruja ialah melihat hasil tangannya kepada beberapa rakan lain di kolej. Diam-diam saya berazam mahu digambar oleh beliau jika saya sudah menikah nanti.

2010, saya menyertai misi fotografi pasca nikah rakan serumah. Saya memujuk Nadhirah untuk beraksi di hadapan lensa gang fotografi KML. Kami berkumpul dan saya lihat mereka saling berebut mendapatkan shot terbaik dari pelbagai sudut. Siapakah yang mendapat picture of the day!

Ketika itu saya hanya memerhati, jarang saya memetik shutter. Dira dan Jef (suami dira) digambar oleh Syed Nasir menggunakan lensa panjang macam dalam national geographic, Ramdanshah selaku OTAI 50mm, Manjuzri yang terkenal dengan gambar dramatik, tidak kurang hebatnya Husaini, Wak Nan, Zul black dan saya sebagai pembawa beg lensa mereka. Lokasinya biasa-biasa tetapi kelihatan luar biasa menerusi lensa kamera.

Alhamdulillah, sekarang 2013. Nah, selepas 3 tahun ikuti sesi photoshoot saya dan suami setelah hampir 2 bulan mendirikan bait muslim. Gambar dirakamkan hanyalah oleh Syed Nasir kerana hampir semuanya pindah tinggal lagi ramdan dan waknan yang sibuk.
1 September.....memperkenalkan suami saya Muaz.

tak tahu saya nak posing, hentam saja berborak. 

tudung dan veil, main pakai siap sendiri saja. Veil buatan sendiri, hiasan beading dan pearl oleh Dianah Athirah.
saya nak bawakan tema keriangan, SN kata bolehlah sebab saya kuat gelak, 
Ini pula posing gaya skema, saya punya idea. Diharap saya nampak slim!

Baiklah, itu saja. yang lain menjadi tatapan peribadi ketika hari tua atau salah seorang kami dijemput Ilahi. Semoga Allah memberkati pernikahan kami dan kekal sehingga ke jannah. Sesungguhnya inilah jodoh, macam mana kita ikhtiar dan doa, Allah telah menetapkan masa, insan dan tempat yang terbaik. Semua dalam rahsia Allah, yang penting kita berusaha.

p/s: 1. sedang mengumpul duit untuk membuat photobook sendiri.
      2. siapa ambil dan manipulate gambar di sini tanpa izin, aku tak halalkan.

Amal Harun
WP Labuan

Tuesday, 4 June 2013

Shout it Out

My dear Guests,

Please check the invitations one last time and make sure that there are no errors on the information.Come at  the right time date and venue heheee. Will upload the map and card soon.

Saturday, 16 June 2012

Muliakan Walinya


Wah! Catchy kan entri kali ini? Tiba-tiba rasa nak kongsikan satu insiden ketika saya keluar makan. Mula-mula malas nak tulis, tetapi setelah difikirkan, ada baiknya ditulis di sini. Mungkin jadi kebaikan, mungkin jadi kenangan. Jadi, marilah kita ikuti insiden yang berlaku sebenarnya. Errr…kena baca sampai sampai habis, kalau tak yakin dapat baca habis baik berhenti jangan buang masa baca catatan saya yang biasa-biasa, baca quran lagi bagus.

Suatu tengah hari, saya dan kawan berhenti makan di sebuah warung, rasanya harus dirahsiakan warung tersebut, sebab kalau cerita warung tu, mesti dah tahu, maklumlah, Labuan ada berapa saja kedai makan yang sedap dan sering dikunjungi.

Saya tiba bersama seorang rakan. Kami pesan makanan dan menunggu sambil bersembang. Sudah tentu butir perbincangan berkisarkan kelas yang kami lalui sepanjang minggu pertama bersama pelajar baru. Saya berpaling ke belakang sebab nak tengok kereta saya di tepi jalan, sebab saya tidak kunci dan rasanya terdapat barang berharga. Ini contoh tawakkal buta. Kiranya di akhir kisah, kereta saya selamat dan tiada sebarang kecurian. Cuma sekejap-sekejap saya berpaling melihat kereta.

Tetapi ada sesuatu yang kurang enak hendak diperkatakan di sini. Ada 2 orang anggota tentera udara beruniform di sebelah meja. Bukanlah sebelah sangat, err…lebih tepat dikatakan selang semeja dan belakang sedikit, ya, begitulah koordinat meja saya dan anggota TUDM tersebut. Apa yang saya perasan, dia kerap memandang kawan saja, bukanlah saya nak pandang dia, tapi terpandang setiap kali nak pandang kereta saya. Gerak hati saya mengatakan pandangan beliau lain daripada pandangan antara orang-orang yang saling tidak mengenali. Wah, memanjangkan pendetailan  situasi di tempat kejadian.

Kawan saya makan macam biasa, takkan pula saya nak kata begini kepada dia “eh, orang kat sana tu asik pandang hang”. Semacam su’u dzan (sangka buruk) pula. Tak lama, setelah 2 orang anggota TUDM itu pergi, tauke kedai datang dan berkata macam ni (ayat memang original macam ni):

“ni saya nak sampaikan hajat orang, dia minta bagi ni” sambil dia menghulur secebis kertas tertera nama dan nombor telefon.

“eh, saya dah kawin dan ada anak satu” terus saja kawan saya memberitahu pembawa ‘hajat’ yang kelihatan terkejut. Dia pon berlalu pergi sambil menegaskan dia hanyalah tukang ‘sampai’.

“takkan lah dia tak perasan hang pernah bawak anak datang sini, kan hari tu kita datang?” saya bertanya.

“dia tak perasan aku kot, aku datang ja dengan laki aku hari tu, ermmmm tak perasan la tu” kawan saya membalas sambil terus makan.

Kemudian kami terus menikmati makanan kami, sambil kawan saya mula mengeluarkan pengalaman berkaitan taktik yang sama pernah berlaku pada masa lalu. Barulah saya tahu, teknik seperti itu memang benar berlaku, ingatkan dalam tv saja hehee.

Selesai makan, saya menuju kaunter bayaran, saya dimaklumkan makanan kami sudah dibayar. Aduh, tekak saya jadi sempit, bukan apa, rasa tak selesa sebab dibayar oleh orang yang tak dikenali, lepas tu macam mana nak berterima kasih? Apa pun, semoga Allah balas kemurahan hati beliau yang membelanja makan tengah hari kami di situ.

“awak mesej dia, cakap terima kasih, saya dah ada anak satu” kata tuan kedai ketika kami menuju pulang.

Itulah insiden yang terjadi. Mungkin insiden biasa bagi orang lain, tapi itu pengalaman pertama saya, bukan pula saya yang kena ‘tackle’. Apapun, Alhamdulillah bersyukur sangat saya tak terlibat. 

Secara peribadinya,saya sangat memohon doa berlindung daripada gangguan sebegitu rupa. Walaupun saya tak tahu kesucian dan keikhlasan niat lelaki itu, saya tetap tidak bersetuju dengan caranya. Mungkin dia baik, tetapi cara tak kena. Pada saya, kalau benar dia bijak, menjungjung tinggi agama dan kemuliaan seorang wanita, dia tidak akan melakukan begitu. Jumpalah wali si perempuan, atau gunakan medium yang lebih terpelihara jauh dari fitnah. Contohnya orang tengah yang amanah menjaga rahsia.

Pandangan saya kelihatan terlalu idealistik, ortodok atau melulu. Entah, tak tahu bagaimana mahu dijelaskan, tetapi hakikatnya jelas, mahu menjaga agama dan menutup ruang fitnah serta godaan syaitan.  Saya juga jelas, jika awal permulaan baik, insyaAllah prosesnya juga akan baik dan natijahnya suatu hari nanti adalah baitul muslim yang baik serta zuriat soleh lagi musleh.

Hekeleh, kecoh je saya ni, bukan dia nak kat saya pon kan? Perasan! Heheh bukan begitu, janganlah salah faham.

“Eh Amal, aku bagi nombor hang kat dia ya, hang kan single lagi?” kata kawan saya.

“Oi, jangan la, walaupun aku single tapi aku tak mau, ni bukan caranya, lagipun sedikit sebanyak kita dah boleh nilai dia” saya membalas, wah bukan main lagi manusia mahu menilai manusia lain, hehe tapi saya tidak terlepas daripada menilai manusia lain menerusi akal yang sedikit cetek. Tapi penilaian ini demi menjaga kemuliaan dan kehormatan.

Kalau dilihat saya sudah hilang peluang. “Okeh, kalau hang tak nak, aku bagi kawan kita yang single lagi”
“bagilah..” saya membalas dan fokus kepada pemanduan. Ah, tak rugi kalau kita jelas dengan matlamat.
Lagipun, jika bertukar nombor telefon, akan berlaku siri ‘sms’ yang berlarutan. Saya rasa hadith nabi ini sangat ‘familiar’, mari kita hayati;

Rasulullah berkata “Janganlah seseorang lelaki duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya, maka sesungguhnya orang ketiga bersama-sama mereka ialah syaitan kecuali bersama mereka seorang mahram.” Riwayat Ahmad.

Allah ingin menguji sejauh mana lelaki dan perempuan yang mengambil keputusan menikah, tetapi masih menjaga adab-adab sebelum halal hubungan, contohnya ketika berkawan sebelum bertunang atau menikah. Jauh atau dekat pasangan itu, tetap ada ujian dan perangkap disediakan syaitan. Paling penting jagalah batas dan kesucian perhubungan sebelum menikah.

Semasa makan, kawan saya banyak menceritakan kisahnya. Banyak pengajaran.

“Aku tak kisah aku kawin lambat, mana yang ada sekarang dah ditetapkan terbaik untuk aku setakat ini. Aku sentiasa doa, janganlah Allah uji aku dengan ujian berhubung dengan lelaki ajnabi sebelum menikah. Kalau kawan-kawan lelaki biasa tak melibatkan hati dan perasaan macam kawan-kawan sekolah kecil-kecil dulu ok la. Takla nampak geletekan syaitan. “ itu pandangan dan hasrat hati kecil aku selama ini. Allah saja yang mendengarnya.

‘Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’ Yusuf 12:53.

Banyak juga antara kawan saya yang lama berkawan untuk berkenalan sebelum menikah, tak faham saya kenapa tak jadi kawin pula. Kalau saya terima ja (pandai-pandai saja).  Macam-macam hal, perempuan dah tentu malu nak cakap lebih-lebih, nanti dikata over excited, perigi cari timba atau merendahkan ego segala bagai. Ataupun, lelaki ni ‘slow motion’ yang menampakkan dia tak bersungguh. Padahal lelaki tu ok dan perempuan tu ok. Haha..siapa suruh kamu ‘complicated’ atau kompleks.

Kepada lelaki soleh


Rasanya, kalau lelaki nak tunjukkan kesungguhan, keikhlasan serta kebijaksanaannya memuliakan agama, maka dia takkan usik anak dara dengan sms atau ayat atau email atau hadiah sebagai indicator atau medium. Mudahkan proses yakni terus istikharah dan berurusanlah dengan ibu bapanya. Itukan terjamin dan terpelihara, jika negative tidak mengapa, itukan inisiatif yang bakal Allah ganjari dengan lebih banyak kemuliaan lantaran kesabaran. Jika positif pula, haruslah disyukuri dan segerakan peminangan dan pernikahan. InsyaAllah, semoga Allah memelihara.

Inilah ‘think win-win’ yang diutarakan Stephen Covey dalam buku 7 Habits of Highly effective Person. Berjaya melamar atau ditolak adalah sebuah kejayaan, kejayaan mengatasi perangkap nafsu dan syaitan atau dan kejayaan memilih suatu yang halal. Mudah bukan? (susah la kot bagi lelaki nak convince dengan keluarga dia dan keluarga perempuan), tapi kan benda baik mestilah harus dilalui kesusahan.
Baiklah, itu sajalah yang nak saya tulis terbuku dalam kepala saya selama ini. Ia adalah berdasarkan penceritaan dari kawan-kawan tentang kisah pertemuan atau percintaan mereka, bukan saya nak ambil tahu,cuma ambil ibrah. Kuncinya fikir secara positif dan optimis.

Sesungguhnya, menangis bersedihlah para syaitan ketika lafaz sakinah itu dilafazkan. Setelah ijab kabul semua pasti halal dan berpahala. Semuanya pada sebuah ikatan perjanjian berat mitsaqan ghalizha. Kepada yang sudah kawin teruskan pelihara keluarga anda di jalan Allah, dan kepada yang belum berjaga-jaga, permulaan yang baik insyaAllah, natijah dan pengakhiran yang baik.

Jika ingin merasai kebahagiaan rumahtangga pilihlah calon kerana agamanya.  InsyaAllah akan beruntung dan ia merupakan syurga yang didekatkan.

Amal Harun
W.P Labuan




Tuesday, 1 November 2011

Kembara Palestin Day 1: Keputusan Berani

Abang saya menghantar ke terminal sesudah selesai solat Jumaat.Jalan raya sesak. Sudah 2 kali saya mandi hari ini, panas sungguh. Tadi menjaga peperiksaan, panasnya tidak tertahan. Peluh mencurah. Saya minum hampir 1.5 liter sepanjang 2 jam menjaga peperiksaan. Bagaimana rasa agaknya pelajar yang menjawab, sudahlah panas, soalan susah atau senang?

Saya kerja separuh hari, Saya maklumkan ketua unit saya. Petang ini saya sepatutnya menghadiri mesyuarat unit Kimia, pada masa yang sama perlu menghadiri kursus penulisan asas berita. Nampaknya, kedua-dua agenda terusbut digantikan dengan agenda ke Kota Kinabalu. Sabtu juga terpaksa saya pontengkan diri menghadiri hari keluarga jabatan Sains. Ahad pula saya gagal hadir ke majlis hari lahir Alya, puteri sulong kak Amal Hayati, salah seorang rakan pensyarah kimia.

Semua keputusan drastik (kering hati) ini dibuat demi menghadiri TOT. Beginilah resam hidup di Galapagos, saya tidak mampu untuk memenuhi semua perkara, maka kemahiran membuat keputusan dan kekuatan mengahadapi risiko yang bakal dilalui harus ada.

Tentu anda tertanya susah sangatkah? Jika saya menunggu waktu habis pejabat, laut mulai bergelora, sudah tentu bot sudah tiada. Kalau ada, cubalah kalian naik, mengharungi samudra dengan bot laju (juga dikenali flying coffin) apabila ombak besar. Sudah tentu masa 15 minit menjadi 45 minit, lautan sekeliling dirasakan seperti tsunami dan paling tepat seperti naik roller coaster. Jika sampai di darat, rasakan kemabukan.

Ketika saya  menaiki bot laju, 5 minit pertama lancar, 10 minit melambung-lambung, ombak yang dilanggar menghempas bot, dan naik ke atas. Air laut jatuh menimpa seoarang lelaki di sebelah saya. Pembantu pemandu bot memang basah kuyup. Jika perempuan mengandung naik, dikhabarkan akan mengalami risiko keguguran, sebab sangat melambung-lambung.

Dalam keadaan sebegitu rupa di dalam bot, sudah tentu hanya ingat mati. Risiko amat tinggi. Walaupun dibekalkan jaket keselamatan. Jaket ini pon belum pernah diuji kebolehpercayaannya.Saya redha andai ini cara saya mati. Mudah-mudahan ia kesudahan yang baik, kerana niat yang baik. Saya mula loya-loya. Bertahan Amal, kau harus kuat, Allah menguji tetapkah kau di jalan ini?
tiket bot laju, tidak mahu kenderaan lain, kerana mahu memendekkan masa melalui jalan laut, pesawat memang sangat mahal.

nak pakai terlalu panas, tak pakai, takut apa-apa terjadi.

Alhamdulillah, sampai di Menumbok, saya cari Kak Iza, rakan serumah ketika saya praktikal tahun 2008. Kak Iza dengan seorang wanita. Saya hanya senyum dan menghulur salam, sambil otak ligat mencari siapakah beliau. Ia agak familiar tetapi ahhh tolonglahh memori!

"apa khabar, Amal? masih ingat saya?" sudah ditanya pula.

"alhamdulillah sihat, ya ingat. Balaik Labuan kak?" saya tahu dia ialah Cikgu Azimah, senior saya di UMS dan turut mengajar di sekolah yang saya praktikal juga.

Cuma agak lambat namanya sampai ke ingatan saya. Cikgu Azimah meminta diri dan kami pula bergerak menuju Kota Kinabalu.

Ya Allah, berkati perjalanan ini. Sampaikan kami dengan selamat.

Jalan-jalan hutan, semak-samun, kampung-kampung dilalui sambil mengimbau nostalgia zaman kecil. Setiap kilometer atau kampung atau tempat yang dilalui, takkan pernah lupa nama dan insiden di sana.

Amal Harun
Bahagian Pedalaman Bawah Sabah

Sunday, 2 October 2011

Studio Muallaf di Labuan

Alhamdulillah. Segala puji hanya milik Allah. Saya menerima panggilan daripada ustaz yang meminta saya menemani seorang tetamu muallaf. Panggilan itu diterima ketika saya sibuk di dalam makmal. Saya hanya mengatakan ya menerima pelawaan ustaz tanpa mengetahui sebarang maklumat terperinci untuk apa.

Sekian hari saya sibuk di pejabat dan menguruskan jamuan rumah terbuka mentee peringkat kolej, sampai malam. Dan pada malamnya, saya menunggu tetamu muallag yang ustaz nyatakan. Saya lansung tidak mengetahui apa yang terjadi. Ketika kereta ustaz dan kereta saya tiba di hadapan rumah tetamu, saya amat terkejut bahawa tetamu yang dimaksudkan adalah Xifu Naser, komposer terkenal hadir bersama Robby Zaid Tandang dan Leia Justin, ahli Studio Muallaf. Sangat terkesima!

Saya amat meminati Studio Muallaf di saluran 114 TV Alhijrah. Hampir setiap minggu saya menonton dan jika gagal saya menonton siaran ulangan. Setiap kali menonton, hati saya berdoa agar suatu hari nanti saya bertemu dengan mereka. Allah itu maha mendengar lagi maha mengetahui. Saya terkesima.

Mereka bukanlah selebriti yang dibanggakan kerana populariti tetapi jiwa daie. Saya amat bertuah kerana hampir dua hari membantu ustaz menguruskan kehadiran mereka. Tetamu yang membawa rahmat. Perkongsian dan cerita-cerita santai tetapi amat memberi makna mendalam. Demi Allah, saya terharu, inilah penyatuan kerana akidah  yang 1!

Apabila membuka pintu kereta, Xifu Naser, Robby dan Leia sudah berdiri di hadapan di hadapan dan senyum kepada saya. Wah ini bukan di TV! Dek kerana teruja saya menegur.

"Assalamualaikum, wah excitednya, saya ada add Studio Muallaf dan kamu semua dalam facebook!"

Disusuli pelbagai soalan dari Xifu dan Robby, Leia tersenyum manis! Ustaz kata; takpe-takpe, naik atas dulu, nanti cerita lagi.

Di rumah tetamu, ustaz bawa seorang lagi saudara baru, sambil berborak dengan ahli Studio Muallaf. Suasana sama seperti set studio, duduk-duduk di sofa dan bersila di bawah sambil makan kacang. Wah, tiba-tiba saja kan!

Terumbu Warisan, Labuan, dari kiri; Tracy, Ustazah Azizah, Leia, Xifu, Robby Zaid dan Tuan Haji Hamid.