Monday 8 August 2011

Catatan Ramadhan 4: Ar Rahim

Segala puji bagi Allah, selesai memberi salam solat sunat tahiyyatul masjid di IOFC, saya terpandang sosok di hadapan saya, terlalu amat kuat rasa menyatakan itulah beliau. Insan yang terlalu akrab dan dekat di hati saya dengan hanya perkenalan 2-3 malam.

Ramadhan tahun lalu, 2010, sangat terakhir kami berpelukan ketika malam 27, esoknya saya mahu balik ke Penang melalui Kota Kinabalu, dia memeluk erat, mengucap kata selamat dan mendoakan saya. Saya kaget dengan setiap pelakuannya.

Imam melaungkan iqamah untuk solat isyak, "Amal, datang ke sini". Ya, itulah suara beliau yang kembali menyapa saya. Kenapa saya tidak menegur beliau terlebih dahulu? Ah, malu.

Terpampang ruang kosong di hadapan saya dan terus melangkah ke depan memenuhi saf, berdiri di sebelah beliau, lebih dahulu bertanyakan khabar saya, dan seperti biasa memeluk saya. Ibu tua yang terlalu menganggap saya anaknya. Saya tidak dapat membayangkan, malam yang sebelumnya saya sentiasa mencari-cari, tetapi tiada kelibatnya. Kini saya sudah di sebelahnya.

Selesai solat isyak dan selesai doa, dia pantas ber[aling ke arah saya dan berkata "apa khabar sayang? Lama tidak jumpa"

"Alhamdulillah, makcik sihat?" saya membalas dalam keadaan masih terkesima.

Hampir keseluruhan isi tazkirah tidak dapat saya dengar kerana menjawab pertanyaan bertalu-talu makcik Zaiton. Juga tidak henti-henti dia menasihatkan saya itu ini. Setelah Ramadhan tahun lalu, makcik Zaiton ada menghubungi saya ketika saya bermain squasy. Dia meminta pendapat tentang pendidikan anak lelakinya, yang kebetulan, katanya nama saya dan nama anak lelakinya hampir sama, dan kebetulan lagi katanya, muka saya dan anak perempuannya sama. Walhal, dia baru memperkenalkan dengan anak perempuan di sebelahnya yang kini sedang menuntut di universiti, muka kami tidak sama pon!

Saya terfikir, saat saya merindukan emak di rumah, dia ada di sisi menasihati tanpa henti. Beginikah sifat kasih sayang Allah, yang telah dipinjamkan melalui para ibu di dunia. Mulianya para wanita bergelar ibu, merekalah kesayangan dan keagunganpara anak. Beruntunglah yang bergelar ibu.

Renung kembali, apakah yang dilakukan ibu kita saat ini? (emak saya bersolat, dia mendapat cuti hari ini, kebetulan saya juga bercuti di Penang). Dan kepada mereka yang ibunya telah pergi, mereka akan sentiasa beruntung, kerana doa anak-anak yang soleh mengiringi walau tiada jasad di sisi.

Salam kasih sayang, Ramadhan yang membahagiakan.

Amal Harun
Kepala Batas

No comments:

Post a Comment

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..