Friday 26 August 2011

Catatan Ramadhan 22: Harga Diri


Perjalanan dari Masjid PERDA menuju ke Sunway Carnival sesak. Trafik bergerak perlahan di semua arah. Inilah waktu kemuncak manusia kembali dari bekerja. Saya dan baby di dalam kereta mahu mengambil adik saya di Sunway. Saya buka radio IKIM. Rancangan Mukmin professional bersama Ustaz Pahrol.

Manusia tidak perlu bimbang jika tidak disayangi, tetapi bimbanglah jika tidak menyayangi. Ini perkara biasa yang sering ditemui dalam setiap peringkat kehidupan, sama ada dalam kalangan keluarga, rakan-rakan hatta dalam sebuah organisasi profesional sekalipun. Mudah menyayangi petanda seseorang memiliki harga diri yang tinggi.

Harga diri bukanlah ego. Harga diri adalah kebolehan menghargai diri, menganalisa dan mensyukuri. Gabungan 3 elemen ini penting agar kita sedar signifikasi penciptaan diri di alam ini. Contohnya, seorang wanita yang belum menikah, sering ditanya masyarakat atau keluarga di sekelilingnya; “bilakah kamu mahu menikah?” atau pertanyaan berbunyi “taknak kawin lagi ke?”

Berdasarkan situasi di atas, seseorang yang tidak menghargai diri akan sering menyalahkan persekitarannya, orang lain termasuk dirinya. “jangan sibuk tanya hal orang boleh tak? Suka hati la nak kawin ke tidak” sedikit membentak. Lantaran itu, ada yang mula merendah diri, mengatakan “ah, aku tidak cantik, siapalah mahukan aku”. Persepsi negatif seperti ini meruntuhkan harga diri seseorang sedikit demi sedikit.

Mengapa perlu sedar harga diri? Kerana dengan menghargai diri, baru kau sedar nikmat mensyukuri.

Lalu bagaimanakah seseorang tinggi harga dirinya jika yang ditanyakan soalan yang sama? Begini, lihatlah dengan perspektif yang luas lagi positif. Allah itu Maha Mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi, sehingga isi hati manusia sendiri. Manusia itu diciptakan dengan fitrah mahu berpasangan. Fikir sahaja, bahawa Allah telah menetapkan jodoh terbaik buatmu. Yakinlah bahawa masanya pasti tiba. Allah sengaja memberi waktu agar kau dapat memperbaiki diri, mempersiapkan diri menjadi isteri tinggi pekerti.

Lihat saja, berapa ramai manusia menyesali pernikahannya. Biar lambat asalkan tidak silap. Berdoalah dikurniakan seseorang yang betul. Berdoa itu tiket kejayaan seorang mukmin,tanda ketauhidan dan keimanan hamba kepada pencipta, berdoalah kerana tuhan itu hampir dengan urat nadi. Positiflah bahawa kita diberi masa memperbaiki diri dengan akhlak murni, berusaha hari demi hari. Kerana kita sering berpegang bahawa usaha itulah yang bakal dinilai esok hari bukan hasil akhir yang dihakimi.

Proses mempositifkan diri di atas sudah meliputi nilai menghargai diri, menganalisa diri dan mensyukuri nikmat yang diberi. Jangan gusar.

Mukmin profesional jelas dengan hala tujunya, Allah. Lalu, hargailah diri dengan bertakwa kepada Allah, memperbaiki akhlak sesama manusia dan itqan, yakni berintegriti, tekun dalam melaksanakan tugas.

Ayuh, mentransformasi diri menjadi mukmin profesional bermuala dengan Ramadhan.

No comments:

Post a Comment

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..