Friday 18 March 2011

Hujan Asid di Hati Cikgu


Saya ulang kisah jerung seperti artikel sebelum ini di setiap kelas yang saya masuk. Sebagai hiburan di samping mengambil ibrah dan membentuk fikrah. Semakin hari saya gembira mengajar Kimia, gembira melihat kesungguhan para pelajar. Syabas.

Namun kadang-kadang emosi melebihi tahap sabar. Saya melayan mereka para remaja yang kian meningkat dewasa umpama adik-adik saya sendiri. Dengan harapan kami kian mesra dan proses penyampaian ilmu lebih mudah, terhibur dan tanpa hijab. Percaturan saya mulai salah bagi segelintir pelajar yang mengambil kesempatan tidak membuat tugasan dan mulai ponteng dengan bermacam alasan yang harus dibakulsampahkan.

"Untuk berjaya, awak perlu usaha, salah satu caranya ialah menyiapkan latihan tutorial, barulah awak tahu kelemahan diri. Jangan berani datang ke kelas tanpa membuat tugasan atau dalam keadaan tidak bersedia dan terpaksa. Tidak menyiapkan tutorial adalah kesalahan besar bagi saya dan tanda kamu tidak berminat belajar." begitulah pesanan saya pada hari pertama saya masuk ke kelas mereka.

Alhamdulillah, mereka akur dan faham di samping menunjukkan minat. Tugasan dihantar, peta minda dan latihan tambahan disempurnakan secara optimum. Saya gembira.

"Usah sedih jika hasil yang kamu peroleh tidak setimpal dengan usaha yang awak laburkan, kerana Tuhan melihat usaha awak, bukan hasil di akhir." pesanan yang sering diulang. Kelak suatu hari, Tuhan pasti membalas degan sesuatu yang lebih baik, optimislah.

Tetapi panas tidak sampai ke petang, hujan di tengah hari....

"Afiq (bukan nama sebenar), tolong selesaikan solan nombor 6." saya meminta.

Dia melengahkan.

"Buat ke tidak?" saya tanya.

"Buat..tapi.." jawabnya. Beberapa hari sebelum itu, dia mula menunjukkan kemalasan dan sikap beralasan yang saya benci untuk sekian lama.

Saya rampas kertas, jelas dia tidak buat dan tiada inisiatif untuk dia bertanya saya atau mana-mana pensyarah. Saya mulai tidak dapat mengawal rasa marah dan kecewa.

Dengan nada persis menjerit, "Do it now!". Sabar itu sudah tiada. Seisi kelas diam, beberapa pelajar lain memanggil saya untuk bertanya soalan. Suara dan badan saya bergetar menahan marah.

Dan saya sempat melihat Afiq (bukan nama sebenar) ke depan kelas, mengambil 'marker pen' dan menulis sistesis Grignard Reagent sambil mengalir air matanya.

Bersambung.

Amal Harun

2 comments:

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..