Tugasan aku adalah hafazan surah Nuh. 2 bulan lebih ambil masa bagi proses mengingat dan mengulang ayat-ayat bagi surah Nuh. Di saat tulisan ini dicoret, ada lagi 2 ayat berbaki yang masih tersangkut-sangkut.
Dek kerana tugasan, aku mewajibkan diri menghafal, juga ada lah dalam 30% sebagai inisiatif sukarela nak hafaz sendiri. Tapi bila sampai surah Nuh, terasa sangat teruja nak mulakan misi menghafaz. Surah itu istimewa sebab mengingatkan tafsir surah itu dibentang bersama rakan di Labuan di suatu ruang legar masjid, tapi tak lama kami gunakan ruang itu apabila pihak pengurusan masjid slow talk dari suami kawan saya, agar kami tak buat lagi diskusi di situ. Entahlah, mungkin pihak pengurusan khuatir akan ajaran yang dibawa tak menepati ajaran sebenar. Boleh saja untuk bertabayyun dan kami dedahkan apakah kandungan yang sering kami bincang dalam usrah. Ia meliputi hadith 40, tafsir fi zilaal dan sirah nabi dari buku raheeq makhtoum. Itu saja, pelaksanaannya, kami akan bergilir bentang bahan itu, semua akan baca, pada hari kejadian bentang, dan balik akan review sedikit dan membaca sumber lain bagi memantapkan kefahaman. Ah, ia bukan mudah untuk baca, study dan membuat pembentangan kerana rata-rata kami ialah suri rumah sepenuh masa yang amat sibuk, jurutera elektronik kompeni minyak dan gas, 2 orang doktor dan yang lain-lain. Masing-masing dalam hidupnya disibukkan dengan tugasan rutin, lalu kami duduk bersama dalam kumpulan kerana memiliki hasrat yang sama mendalami agama. Boleh saja baca sendiri-sendiri di rumah, namun potensi pembacaan tak sampai kepada objektif, maksudnya, sama ada tak baca lansung atau tengah study, anak berak, nak masak atau hadir meeting tergempar. Sekurang-kurangnya bila paksakan diri, seminggu sekali dalam tempoh 2 jam, dah dapat 1 hadis, ibrah dari sirah dan tafsir juzuk 30 dan 29. Berjuang juga nak hadir sebab mereka ni emak-emak yang pada weekend nak urus rumah, masak yang istimewa atau nak bersiar-siar bersama keluarga. Jadi bila pergi 2 jam tu kadang anak ditinggalkan pada suami di rumah, dan cepat-cepat habiskan sebab nak balik rumah bagi laluan pada suami nak solat jemaah di masjid. Pecutlah kereta selepas tamat. See, bukanlah ia dibuat sekadar nak berborak, tea-time atau girl's day out sangat.!
Berbalik kepada surah Nuh yang atmosferanya mengembalikan aku kepada kenangan Labuan, ia juga mengimbau solat subuh yang dibaca imam di masjid Nabi di Madinah tahun lalu. Emosinya amat mencengkam di kala mengalunkan ayat suci itu.
Apa lagi kalau dibaca tafsir dan kisah perjuangan nabi Nuh. Teramatlah menyedihkan dan menakutkan yakni bagi balasan orang yang kufur.
Aku mencuba mengikut tips menghafaz ayat quran dari sebuak ebook percuma. Kalau korang nak, aku boleh emailkan. Dari ebook tu dia gunakan konsep sikit-sikit. Jadi aku sasarkan matlamat 1 hari 1 ayat. Lama lah juga nak hafal sebab ada hari uzur, ada hari busy, ada hari keluar jalan-jalan. Susah sebenarnya nak disiplin dan istiqamah.
Aku juga buat pertama kalinya membuat eksperimen dengan mengikut tips hafalan untuk memori jangka panjang dari seorang syeikh yang aku lupa namanya menerusi carian di youtube. Aku hanya taip how to memorise quran for long term memory.
Kaedahnya ialah melihat dan membaca ayat itu sebanyak 30 kali. InsyaAllah, akan ingat. Kerana dalam satu ayat al-quran, Allah kata, Allahlah yang meletakkan quran dalam hati.
Jadi, aku ubah niat dari terpaksa hafal kepada niat memahami dan mengingati quran kerana Allah. Aku sejenis yang pemalas hafal sejak di bangku sekolah, dan banyak juga ayat hafazan wajib zaman sekolah yang aku terlupakan atau sengaja melupakan dengan tak mengulang-ulang. Ada satu hadis nabi yang menyuruh menjaga hafalan quran kerana ia mudah terlepas berbanding unta yang diikat tali. (Hadis ini aku pernah baca, tapi tak hafal).
Alhamdulillah, sehari 1 ayat selepas balik kerja dan solat asar, aku ulang baca 30 kali. Ada yang perlu lebih dari 30 kali, ada ayat yang mudah, 5 kali pon dah ingat, tapi tetap cukupkan 30kali.
Kemudian malam, akan kuulang-ulang bacaan. Kadang ingat bacaan, tapi susunan pula tunggang langgang. Maklumlah sel otak tak berhubung, sel otak orang yang berumur 30tahun, yang dah lama tak perah otak. Syukurlah, suamiku dah hafal surah tu, dialah tukang semak dan betulkan, untuk certain ayat, dia bagi tips nak ingat, lebih kurang macam memahami makna, kenapa baris bawah dan sebagainya. Kiranya revise balik basic grammar arab dulu-dulu. Ada sebab kenapa sekejap baris bawah (kasrah) sekejap baris fathah. Terima kasih jugalah suatu ketika dulu bahasa arabku diajar ustazah Nor Azah dan ustazah Zahriyah. Susah juga bahasa arab, dan boleh tahan juga garangnya mereka. Namun manfaatnya besar dalam memahami dan mempelajari al-quran.
Dan menjadi rutin menidurkan mus'ab aku mengulang-ulang ayat surah ini, mendengar Mp3 dari syeikh-syeikh yang diminati. Bila selalu ulang-ulang boleh juga tiru gaya bacaan syeikh. Tapi pastilah bacaanku tak merdu.
Dalam pada proses mengulang baca 30 kali itu dan Mp3 yang dimainkan, rupanya tanpa kami (aku dan suami) sedari, Mus'ab mengingati. Bagaimana aku boleh lupa bahawa otak bayi dalam usia begini ialah sifatnya menyerap. Lesson, dont under estimate your kids.
Kami perasan apabila dia sedang bermain, lalu dia seperti berceloteh sendirian. Apabila diamati, dia sedang melantunkan ayat pertama surah Nuh.
Tidak ada yang diharapkan oleh emak dan ayah selain melihat anak mereka membesar dengan sihat dari aspek fizikal, mental mahupun rohani. Amat besar cabaran membesarkan anak hingga mereka mampu mandiri, solat tanpa disuruh dan akhlak mulia. Lebih besar cabaran itu, bila membesarkan anak zaman teknologi, zaman fitnah dan kerosakan nilai kemanusiaan.
Semoga membesar menjadi manusia, berakhlak dan beriman.
Amal Harun
Kuala Klawang
No comments:
Post a Comment
nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..