Monday 28 November 2011

Kimia E

Banyak yang mahu saya tulis, tetapi saya padam. Kali ini saya mahu kongsikan kisah pelajar saya. Suatu ketika dulu saya pernah menulis kisah beliau sewaktu saya mengajarnya Matematik. Kali ini setelah saya mengajar Kimia. Tapi saya tidak pernah mengajar beliau Kimia pun.

Kisahnya bermula setelah beliau (Hakim) tamat tingkatan 3 dan masuk ke SM Teknik Labuan. Kebetulan saya bertugas di Labuan, beliau sudah tingkatan 5. Saya sempat melawat beliau di sekolah dan kali terakhir semasa beliau SPM.

Setelah mendapat keputusan SPM, Hakim menghubungi saya. Semua keputusannya cemerlang dan baik kecuali Kimia. Hakim sangat bercita-cita tinggi untuk masuk ke matrikulasi (Matrikulasi Labuan). Saya katakan sudah tentu beliau berjaya masuk kerana kursus yang dipohon ialah aliran Akaun.

Akhir sekali Hakim memberitahu saya dia gagl diterima masuk ke matrikulasi, rayuannya juga ditolak. Terbaru, semasa saya dan Kak Iza ke Kota Kinabalu, melalui perkampungan Hakim, saya bertanya hal beliau kepada kak Iza.

Kak Iza kata Hakim sekarang di Membakut dalam tingkatan 6. Hakim juga pernah memberitahu saya, ikhtiar terakhirnya ialah tingkatan 6.

"Cikgu, aku tetap mahu masuk ke universiti macam cikgu, aku tak akan sedih dan kecewa, terima kasih cikgu. Aku mahu jadi orang baik macam cikgu yang mahu tolong orang susah macam aku." pesanan ringkas yang dihantar kepada saya ketika dia masuk ke tingkatan 6.

Hakim adalah simbol perjuangan seorang anak muda kampung tetapi besar cita-citanya. Anak sulong kepada seorang ibu tunggal (pernah saya tulis kisah beliau malu ibunya menoreh getah), abang kepada 2 adik perempuan.

Saya ingatkan kisah perjuangan orang-orang kecil yang tinggi nilainya. Hidup penuh perjuangan, setiap hidup pasti diselitkan masalah dan ujian. Ia memerlukan kesabaran dan pengorbanan dan di hujungnya pasti Allah akan selikan sebuah kemanisan.

Berjuang demi sebuah penghijrahan.
Salam Maal Hijrah

Amal Harun
Labuan.

No comments:

Post a Comment

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..