Thursday 17 November 2011

Ada susah, Ada senang

Saya dan mak pusing kampung untuk mengedar daging korban. Kampung lama zaman rumah wan masih menumpang di tanah orang. Kami melalui beberapa rumah yang sudah usang. Dulu rumah itu paling besar dalam kampung. Sebelahnya kedai runcit yang diusahakan keluarga. Anaknya ada yang sebaya dengan saya.

Kedai runcit (harus dirahsiakan milik siapa) dulunya penuh dengan barang-barang, kalau jam 8-9 pagi, penuh dengan pelanggan, tak menang tangan tuannya melayan pelanggan. Pendek kata, perniagaan mereka maju dan mereka kaya. Waktu itu, saya darjah 2, sempat menumpang 1 semester di sekolah kampung tersebut sebab mak kursus di Bangi. Anak tuan kedai runcit ini satu kelas dengan saya. Akademiknya lemah. Kami ditempatkan dalam kumpulan-kumpulan kecil. Campuran murid cerdas, sederhana dan lemah. Saya sekumpulan lagi dengan anak tuan kedai runcit. Kami diajar oleh ustaz muda, beliau selalu mengusik kawan saya, selalu sampai menangis. Sebab ustaz 'curi' duit kawan saya. Dia bawa banyak duit syiling, berat poket.

Beberapa tahun kemudian, perniagaan mula merosot, kedai runcit kosong. Tiada lagi yang berkunjung. Ayahnya sakit dan akhirnya meninggal. Sewaktu saya di sekolah menengah, saya terjumpa ibunya, tua dan dhaif. Bekerja sebagai konduktor bas. Dulu banyak barang kemas menghiasi badan sekarang sudah tiada. Dan tidak lama selepas itu, ibunya pula yang pergi.

Sebelum saya masuk tahun 1 di universiti, saya nampak kawan saya. Kami bertegur sapa.

"Macam ni lah aku" katanya. Dia uruskan anak saudaranya. Abang dan kakaknya kerja kilang.

*******************************************************************************

Ada satu kemalangan depan rumah tok saya 3 hari lepas. Seorang remaja tingkatan 3 mati apabila motosikal Kawasaki Ninja merempuh kereta yang sedang membelok, lalu melambung dan terkena tiang elektrik. Semasa kemalangan emaknya telefon, orang lain jawabkan, dan mengkhabarkan anak beliau kemalangan.

Sebelum tiba, mangsa dikatakan laju melalui jalan raya, depan sawah padi. Paklong Id dalam sawah kata moto besar hijau tu laju.

Keluarga dia kaya, adik-beradik 2 orang saja. Tingkatan 3, dan masih tiada lesen, mempunyai Kawasaki Ninja berkuasa tinggi, dibawa ke sekolah. Zaman sekarang.
**********************************************************************************

Ada sebuah kereta kancil membelok jalan sawah dekat rumah tok. Ayah kata itu milik Pak Chen (bukan nama sebenar, dan sebenarnya saya lupa nama sebanarnya). Keretanya kotor dan penuh dengan minyak hitam, ada tertampal sticker, KERETA INI DIPANDU OLEH OKU.  Dia seorang bekas muallaf, kini muslim.

Ayah kata dia lumpuh sebelah tangan. Jalannya tempang. Saya juga sering nampak dia memakai stokin sebelum keluar masjid. Kata ayah lagi, dia kerja menukar penapis minyak kereta, dan pakai pekerja lagi. Wah,  Cina memang bisnes minded.

Ayah kata lagi, Pak Chen ni tak pernah tinggal solat berjemaah di masjid Subuh, Maghrib dan Isyak. Lihat ciri mukmin profesional pada manusia kecil yang membesarkan Allah. Pada perkara-perkara biasa yang menjadi amalannya tetapi disukai Allah dan Rasul.
**********************************************************************************

Inilah kehidupan, ada jatuh bangun. Kadang di atas dan kadang di bawah. Saya selalu katakan pada diri saya, saya berterima kasih pada masa silam, saya dibesarkan secara sederhana dan sedikit susah. Sewaktu saya mengayuh basikal ke sekolah, melawan arah angin di bawah terik panas matahari.Waktu itu, saya selalu bertanya dalam hati, kenapakah Allah bagi kesusahan dan kesenangan. Sepanjang kayuhan basikal, saya akan dilintasi oleh rakan yang dihantar oleh ibu bapa mereka dengan kereta. Kemudian melalui rumah besar dan rumah kecil. Orang kaya dan miskin (telahan berdasarkan saiz rumah mengikut pemikiran pelajar sekolah menengah).

Apapun, terima kasih untuk sedikit kesusahan yang mengajar nilai sabar dan syukur. Rasulullah berpesan, untuk urusan dunia, pandanglah orang di bawahmu dan untuk urusan akhirat pandang orang di atasmu.

Dalam hidup, kita dihidangkan dengan pelbagai peristiwa dan ujian. Sama ada ia terjadi kepada kita atau orang sekeliling kita. Kisah-kisah yang saya tampilkan adalah peringatan untuk diri sendiri. Banyak lagi peristiwa detail yang tak mahu saya tuliskan. Kesimpulannya, dulu susah, sekarang senang. Dulu senang, mewah tetapi sekelip mata atau perlahan-lahan tuhan uji dan tarik nikmat tersebut.

Pandanglah dengan mata hati, jadikan panduan buat diri.

Ada orang, dia masih nak cuba melakukan sesuatu yang pada dasarnya sudah tahu akibat buruk yang bakal melanda, tetapi masih mencuba kerana rasa ego dan sombong. Akibatnya menerima musibah atau mengaibkan diri sendiri sahaja. Saya selalu ingat, orang macam ni kata Dr.Sabariah, pensyarah saya di UMS, "learn from the hard way".

********************************************************************************
Kita selalu dikatakan setiap musibah atau ujian pasti ada hikmahnya. Walaupun saya tak tahu dapat melihat atau tidak akan hikmah itu. Tetap dan teruslah berpegang dengan suruhan Allah. Kerana:

1.Kita milik Allah

"iaitu orang-orang yang ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali" al-baqarah; 156.

2. Kita ada tuhan

"janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita" Taubah:40.

3. Ini semua qada' dan qadar Allah. Ini rukun iman keenam.

Mudah-mudahan, Allah celikkan mata hati kita ketika menerima ujian dan syukur sepanjang masa.


Amal Harun
Kepala Batas

No comments:

Post a Comment

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..