Monday 7 September 2009

Kurma dan kemaafan di petang Ramadhan

Cerita benar yang bakal anda baca selepas ini bukan mahu mendedahkan identiti siapa-siapa jauh sekali menghukum siapa betul siapa salah. Ia hanya rasa terharu aku kepada arwah wan, ayah kepada mak aku. Terus kepada kisah sebenar petang semalam, ada lekaki 50-an datang dengan sebuah motosikal depan rumah memberi salam. Aku panggil ayah menemui lelaki ini. Dan ini dia dialog bersumberkan ayah aku.

“Ini saya nak cakap la sikit, tapi hal kisah lama dulu-dulu antara saya dengan arwah Haji Yaa’cob.” Kata Pak Tam (bukan nama sebenar) orang kuat UMNO suatu ketika dulu.

“Ya..ya” sahut ayah.

Pak Tam melanjutkan bicara “Dulu-dulu ni ahli parlimen YB xx (sudah bersara) amanahkan saya menyampaikan sumbangan buah kurma. Tapi ada 2 nama saya tak pi bagi termasuklah arwah Haji Yaa’cob, saya baru tau bila check diari lama”

“Saya tahu kurma ini tak senilai macam kurma dulu, tapi saya ganti balik yang dulu. Saya mohon maaf kepada seluruh keluarga Haji Yaa’cob atas perbuatan saya” sambung Pak Tam. Setakat itu sahaja yang ayah sampaikan kepadaku. Lalu kisah Pak Tam ayah sampaikan kepada keluarga kami yang lain termasuk tok, isteri wan.

Dan ini dia reaksi beberapa ahli keluarga.

“Aik? Dah 8 tahun lebih wan meninggal.” Makcik ABC mengomen pendek.

“hah dak tak tau bersalah, tak senang duduk la tu” aku yang menahan emosi.

Dan ini kata Pakcik XYZ yang memang reaktif sikit “Huh amal, dia tu aku tau la perangai dia, mujur dia bagi kat ayah hang, kalau kat aku, aku akan kata kat dia: hang pi tabur kurma tu atas kubur, baru paham”.

Manakala emakku yang sangat kenal Pak Tam sejak dulu berkata, “patut la dia kata nak jumpa dulu, ada hal penting nak cakap, Sekarang baru nak sedar, anak menantu segala PAS, dia saja UMNO, la ni zaman dah berubah baru nak nampak kebenaran, dulu tuduh macam-macam”

“ haish, sudah-sudah dia datang minta maaf mengaku salah pun dah bagus” aku memotong. Pasal kepartian pun jadi isu sejak bertahun dulu. Perpaduan ummat itu diutamakan. “bukankah Salahuddin Ayubi memberi kemaafan kepada Raja Reymond dan kuffar lain setelah Berjaya memasuki Baitul Maqdis?” aku mengingatkan emak.

“Hehe..” emak tersengih. Padahal aku juga mengaku sukarnya memberi maaf dan memecahkan sebiji ego biar hati mengaku memaafkan.

Tetapi aku pasti arwah wan seorang yang sangat pemaaf jauh sekali berdendam. Arwah wan disegani penduduk kampung, menjadi imam dan orang perantara, menjalin hubungan dengan masyarakat demi ukhuwah seakidah tanpa mengira politik kepartian. Tidak terkecuali menerima anugerah dan menimbul rasa iri yang lain, ini bukan tuduhan, tetapi beberapa kali terjadi. Dan ketika menulis ini aku menangis hiba mendoakan kesejahteraan wan yang sangat pemaaf, baik akhlaknya juga mendoakan kesatuan ummat melayu sekelilingku semoga bertemu padu di akidah yang satu.

Kisah petang ramadhan semalam benar-benar mengajar. Antara mengaku kesilapan melaksanakan amanah, menahan marah dan memberi kemaafan. Wahai Allah, ampunkan dosa kami, kami banyak salah!

“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik.” (Ali ‘Imran; 134-135)

Aku harus menjadi pemaaf!

No comments:

Post a Comment

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..