Sunday, 21 December 2008

Salah Laku Aku Di Sekolah

Ini adalah panduan kepada rakan-rakan dan para junior yang belum pergi menjalankan latihan mengajar. Yang baik dicontohi, yang mazmumah ditinggalkan.

Salah laku ini aku utarakan bukan untuk mendedahkan aib sendiri, tetapi sebagai pengajaran. Bagi aku ia tiada salahnya, sekadar melanggar protokol dan jelek di mata profesional barangkali. Ah, menegakkan benang yang basah pula. Mari ke mauduk utama, berikut adalah perbuatan yang patut dielakkan.


Duduk di atas meja dalam kelas. Masa pelajar tengah buat worksheet, aku duduk atas meja. Kadang-kadang, masa bersembang dengan pelajar. Take five sambil bersembang hal di luar pelajaran, jadi aku duduk atas meja sambil goyang kaki. Dr. Sabariah, pensyarahku yang berhati mulia itu berpesan kepada kami jangan buat macam ni, setelah itu baru aku tahu kesalahan aku.


Berdiri di atas kerusi. Ini cara aku menarik perhatian pelajar yang asyik tak berhenti bercakap. Nampak macam aku pula didenda berdiri atas kerusi. Masa tu aku berdiri, untuk menyelesaikan masalah matematik yang panjang, jadi perlu ruang yang banyak untuk menulis, sesuai dengan ketinggianku yang tak seberapa. Bila berdiri, semua terdiam dan fokus semula. Tapi nampak tak sopan sangat.


"wah, cikgu menakjubkan" seorang pelajar tingkatan 3 mengomel.

"saya terpaksa mendenda diri saya berdiri atas kerusi sebab saya tak dapat ajar kamu dengan baik" aku sekadar mengusik.

Menggunakan besi kaki retort sebagai senjata dan objek penunjuk slaid. Aku guna besi tu bukan untuk mencederakan pelajar, tapi sebagai ugutan terhadap kebisingan pelajar apabila mereka memasuki makmal. Pelajar jarang masuk makmal, dan tiba-tiba kehadiranku membawa mereka ke makmal. Macam beruk kena belacan. Ditambah pulak pelajar ni kelas akhir, lemah pencapaian sampai membaca menulis pun merangkak-rangkak.


Paling teruk kali kedua aku guna besi kaki retort tu semasa pensyarah datang menyelia. Tiada sebarang komplen atau teguran menghalang tindakan aku menggunakan besi tu. Ok la tu.


Menggunakan kaki meja yang patah. Aku pura-pura mengamuk menggunakan objek ini sebab pelajar tak siapkan kerja rumah dan tak nak buat latihan lansung. Tahap kemalasan maksima. Setelah amuk, semua siapkan. Tapi perlukah diamuk baru nak membuat latihan..itu bukan mendidik. Amuk ini adalah pada tahap external sahaja, tidak melibatkan hati agar tidak menjadi dendam. Anggap masalah itu seindah sentuhan mata.


Membaling marker pen. Disebabkan geram dengan seorang pelajar, aku pun baling marker pen. Malangnya, aku memegang 'tutup/tudung' marker yang tidak ditutup rapat semasa membuat balingan ke arah pelajar tersebut. Balingan tersebut tersasar menyebabkan pen terpelanting ke tingkat bawah. Aku tergelak, maka muka aku yang nak buat garang tidak menjadi. Lalu aku arahkan pelajar yang buat aku sakit hati ni turun kutip marker pen tersebut.


Kelas sains ditukar menjadi kelas bahasa arab. Pihak sekolah membuat jadual anjal. Aku ditugaskan masuk kelas mengajar macam biasa. Jadual anjal benda yang aku paling benci. Aku tak kisah kena masuk kelas tapi kesian dengan pelajar. Bayangkan setelah waktu rehat, mereka memulakan kelas kembali pada jam 10 pagi sehingga jam 1.30 petang, kemudian disambung dengan kelas anjal sehingga 2.30 petang. Aduh, kasihan belajar. Aku pula disuruh masuk mengajar Sains. Suasana kelas pula sangat panas, kipas syiling yang sudah uzur hanya 1 sahaja yang berfungsi. Bangunan kayu beratapkan zink, ia sungguh panas.

Jadi, aku percaya pelajar tidak akan dapat belajar, ditambah dengan keadaan kelas yang berdekatan semuanya huru-hara bising. Lalu, tertarik untuk meminta pelajar berkomunikasi bahasa arab, kebetulan mereka satu-satunya kelas yang mengambil bahasa arab. Kemudian aku ajarkan satu lagu kaedah ganti nama (dhomir) dan tasrif 14, lebih kurang qawaid atau grammar arab.


Irama lagu bukan berentak padang pasir tetapi ala lagu tamil. Lagu ini diajar oleh seorang ustaz jemputan di sekolah sewaktu aku tingkatan tiga. Seronok tak terhingga diorang menyanyi. Makin lama, makin kuat, makin galak melantunkan lagu ber'slang' tamil. Kebisingan kelas jiran sudah tidak kedengaran. Pelajar kelas jiran dan blok sebelah sibuk memandang apa yang kami lakukan dengan lagu berirama merdu. Guru di kelas sebelah buat-buat lalu di koridor kelas aku. Oh, maaflah. Mereka terlalu asyik.


Menghalau pelajar keluar dari makmal. Tidak sanggup untuk aku huraikan apa yang berlaku, jelas perbuatan mereka sekelas sudah melampau. Pengajaran paling berkesan pernah aku beri tetapi bersalahan dengan etika.

"Semua orang boleh keluar" aku berkata selamba membiarkan mereka terpinga.


Memberi jawapan semasa menjaga ujian. Perbuatan tidak beromoral ini aku sengaja lakukan, bukan niat membantu pelajar, tetapi membuat sedikit teguran kepada guru mata pelajaran tersebut yang bilangannya segelintir cuma. Melalui pemerhatian dan sembang-sembang dengan pelajar, aku tanyakan bagaimana mereka belajar. Ada yang kata cikgu hanya bawa mereka ke perpustakaan dan menonton cd sahaja, sejauh mana kebenaran aku tidak pasti. Tapi ia seolah-olah mengajar di atas angin sahaja, kesannya pelajar hilang haluan pembelajaran.


Semasa menjaga ujian sejarah, aku tengok seorang demi seorang pelajar, semuanya termenung tanpa menulis satu huruf pun pada kertas jawapan. Musykil aku.

"Kamu tak baca buku ka?"

"Tak!" Bangga pelajar ni.

"dah la tak baca buku budak-budak ni, mai sekolah pun tak belajar" aku merungut-rungut.

"meh sini aku kasi tau korang jawapannya, lepas ni semua orang dapat markah kesian" aku mencadangkan idea menyalahi etika.

"bagus cigu, bagus, cepat cigu, nanti habis masa" bersorak-sorai pelajar tingkatan empat ni, lalu aku pun mereka-reka jawapan berdasarkan buku teks.

Padahal aku sendiri sudah lupa.

Bukan setakat kelas sejarah, kelas bahasa arab tingkatan satu pun aku buat benda yang sama.
Bila aku tengok apa yang mereka tulis, jelas bercanggah. Bukan salah memilih jawapan, tapi salah menjawab soalan. Lalu aku terjemahkan sikit-sikit arahan, kemudian barulah aku bagi 'klu'.

Selepas mengutip soalan, aku serah kembali kepada guru berkenaan. Setelah beberapa hari soalan disemak lalu barulah aku khabarkan kepada guru-guru tersebut yang aku kesian melihat pelajar tidak dapat menjawab, oleh itu aku bagi sedikit jawapan panduan kepada pelajar. Cuak juga kalau dimarahi, mujurlah respon guru-guru ini bersahaja, melegakan hatiku.

2 comments:

  1. tererr la kaka angkat afa ni..besalh tu budak2 zmn skrg..kalo boleh bgtaulh ckit cmna cr2 akak bljr??/tringin nk tau..doakn wafa utk exam pmr yg bkln mnjlg tiba..

    ReplyDelete
  2. owh lupa plak wafa' ngan syifa' akan amik exam beso thn ni hehee, caranya mudah. ikut nasihat cikgu kat sekolah tu, belajar...cikgu2 tu mesti kasi tips kan

    ReplyDelete

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..