Tuesday, 14 November 2017

Catatan untuk Mus'ab 3 tahun

Ada masa hilang sabar dan tak rasional, sebab marahkan anak. Macamlah dahulu masa kau kecil kau tak pernah beperngai kurang asam. 

Sejak ada Afaf, Mus'ab merasa dia mendapat layanan yang kurang. Betullah, kalau dulu dia sajalah yang dipeluk dan diriba. Dia sajalah yang dilayan.



Sekarang ada adik, sekelip mata berubah. Mus'ab kena tunggu mama susukan adik, tidurkan adik barulah mama boleh riba Mus'ab dan bacakan buku.



Memang Mus'ab manja, menerima layanan sebagai anak tunggal lebih dari 3 tahun, dan tiba-tiba perhatian mama dan baba harus dibahagikan kepada Afaf. Cabaran buat Mus'ab. Tak bermaksud mama dan baba tidak sayang Mus'ab atau kasih sayang yang makin berkurang. Tidak sama sekali.  

3 tahun bersama Mus'ab ialah usia emas, yakni tempoh keemasan. Sepenuh perhatian dan layanan hanya kepada Mus'ab, dengan harapan Mus'ab akan lebih sayang kepada adiknya, lebih berkepimpinan dan bertanggungjawab. Mus'ab adalah tonggak keluarga selepas baba. Mus'ab akan memimpin diri, membuat pilihan dan keputusan, menjadi imam solat hatta menentukan ke mana arah tuju hidup selepas ini.



Mama ajarkan Mus'ab perkara asas setakat ini mengikut keupayaan, kesempatan masa dan keterbatasan ilmu mendidik anak walau mama seorang cikgu kimia. Alhamdulillah banyak Mus'ab belajar. Mama tak letakkan target mahupun result expectation terhadap Mus'ab. Namun selalu dan menjadi harapan nombor 1 mama terhadap Mus'ab ialah menjadi seorang lelaki yang hatinya ada Allah. Sentiasa mendahului perintah Allah. Agar Mus'ab menjadi pejuang agama, mengambil semangat dan meneladani sahabat nabi Mus'ab bin Umair. Agar Mus'ab menjadi pemuda yang hatinya terikat pada masjid. Jika Allah nombor 1 di hati Mus'ab, pastilah cita-cita dan impian di dunia akan mengiringimu selepas itu. Berbunga sangatkah??


Maksudnya jika Mus'ab menjadikan Allah sebagai urusan nombor 1, pastilah apa saja urusan harian Allah bantu uruskan.Allah selamatkan setiap langkah dan tindakan Mus'ab.


Bila mama dan baba marah, Mus'ab fikir dan kata mama dan baba tidak sayang Mus'ab lagi. Mus'ab pon menangis sambil peluk mama dan kata "kesianlah, kesianlah"... maksudnya Mus'ab sedang minta simpati selepas dimarahi. 

Mama tak berniat mahu marah atau pukul, tapi mama harap teguran dan sedikit pukulan kecil itu dapat sampaikan mesej yang Mus'ab harus baiki akhlak dan jangan buat lagi. 



Mama yakin, tak patut mama pukul atau marah. Tapi mama geram. Oh, mama kena banyak sabar lagi.huhuuuu!!!

Sebenarnya banyak lagi silap-silap lain, yang mungkin mama terlepas pandang. Tapi, mama doakan semoga Mus'ab tabah sepanjang mama mendidik Mus'ab dalam masa yang sama mama mendidik diri sendiri. Selalu mama insafi dan muhasabah diri, mama perlu banyak sabar lagi.



Maafkan mama

Amal Harun
72000 Kuala Pilah.

Monday, 13 November 2017

Pasca Pantang

       Seronok main ni!

Ada lagi 3 minggu baki cuti sebelum kembali kepada rutin kerja. Kebanyakan masa selain menguruskan Afaf dan Mus'ab, aku hanya pegang telefon dan makan. Tiada senaman mengeluarkan peluh mahupun tabata apatah lagi cardio workout.

Yang rutin lagi kerap ialah makan. Ya, makan. Banyak makanan dan tempat makan sedap kalau di Penang. Akibatnya berat kekal 60kg, masih kekal berat mengandung! 

   Main archery di Permatang Haji Hasan.

Semua baju, jubah dan seluar sendat. Perut berlipat, lemak sana sini. 

       Gemoknya!!

Katanya sebab aku tak pantang. Tak tahulah pantang itu apa, yang penting aku makan semuanya, cuba sikit-sikit takut tak sesuai dan sakitkan badan. Syukur semua ok.

      Medan Suri

Makan makanan biasa saja, ada ayam, ikan dan lain-lain. Sayur pula macam-macam pilihan mak sediakan. Pendek kata, macam raja layanan makan selepas melahirkan Afaf.



Muazzin bawa kami jalan-jalan. Ini paling digemari. Kami duduk 2 malam di Golden Sand Penang. Aku boleh relax dan makan tidur, manakala Mus'ab boleh main air. 

Lain kali, bawalah lagi anak dan bini.


Amal Harun
13200 Kepala Batas.

Wednesday, 11 October 2017

Afaf 1 bulan

         Ini Afaf semasa hari ke 17

2 minggu selepas Afaf lahir, umat islam menyambut iduladha. Kita pon balik ke Jelebu, sebab nak tunjuk pada wan dan atok. Baba pon dah kena mula kerja.

  Ini baju jiran bagi. Afaf selepas 3 minggu


Alhamdulillah, karekter Afaf lain dari Mus'ab. Dia mudah tidur, siang dan malam tidur. Dia sudah dilatih minum di botol juga. Setakat ini, dia sungguh baik. Malam, dia tidur. Hanya jaga bila nak tukar diaper dan nak susu.

Ok, genap sebulan. Lepas vaksin. Baju dihadiahkan oleh tokcik Yam. Girlish kan!


Afaf juga kena jaundice, tapi bacaan rendah dam cepat turun. Mama tak la menangis macam Mus'ab kena prolonged jaundice dulu. Mama dah bersedia andai kena tahan wad. Tiada drama air mata. Alhamdulillah mudah di situ.

19 September 2017, Afaf kena pergi cucuk dan timbang. Berat Afaf sudah mencapai 3.9kg, peningkatan sejak lahir sebanyak 1.2kg. 

Mus'ab hanya behave tak kacau Afaf hanya bagi tempoh 2 minggu. Selepas tu dia kacau, sebab mama asyik jaga Afaf. Sejak hari itu Mus'ab selalu memangsakan Afaf demi meraih perhatian mama kepada Mus'ab. Pernah sekali mama dan baba solat berjemaah, tapi mama berhenti solat, sebab Mus'ab sedang tekan muka Afaf dengan bantal. Memang selalu mama naikkan suara pada Mus'ab, kemudian mama menyesal sebab tak sabar.

Afaf dan Mus'ab ialah kesayangan mama. Tapi Allah lebih besar kasih dan sayang pada hambaNya.

Semoga kalian membesar dalam iman.

Mama,
Amal Harun,
13200 Kepala Batas.



Kelahiran Adik Baby Part 2

Jumaat, 18 Ogos 2017

Mama sudah diperiksa oleh doktor, kedudukan kepala adik baby sonsang. Jadi kena jalani Cesarean section. Mama kena masuk wad di HTAN malam tu. Tapi malam tu ramai orang nak bersalin, labour room dibanjiri orang, dalam 4 jam mama di situ macam-macam jeritan, suara nurse dan tangisan bayi baru lahir. Nampak stres pula di situ. Ada 3 kes kecemasan yang sedang menunggu untuk masuk ke dewan bedah.

 Orang kata tak berapa busy HTAN, tapi takdir malam tu ramai pula, diakui oleh HO dan MO. Keletihan nampaknya mereka tu.

Mama minta untuk balik ke Penang malam tu, doktor tak bagi, tapi mama minta juga, dan doktor kena boncang dengan pakar. Pakar dalam OT tak boleh bincang lagi sebab sedang menguruskan kes kecemasan. Mama lapar, Mus'ab dan baba yang masih dengan baju kerja datang bawa roti bom. Lepas tu balik rumah, tinggal mama di hospital. 

Sampai pukul 10 malam baru dapat pengesahan dari pakar, kena balik malam ni juga dan terus pergi ke hospital segera. Don't wait!! Itu kata pakar. Padahal MO yang scan tadi kata, janganlah balik malam, tunggu saja esok. Kemudian, baru tahu kenapa pakar buat keputusan macam tu. Mama kena sign AOR form. Tawakkal kepada Allah, semuanya minta Allah pelihara.

Mama pon balik rumah, mandi, solat isyak dan packing barang nak balik penang. Dah pukul 11 malam. Lepas tu baba bawa moto untuk tinggalkan di kolej, sebab kawan baba dari Labuan nak datang untuk KAKOM, dia nak pinjam. Kiranya, semua urusan selesai pada jam 12 tengah malam dan kereta bergerak menyusuri malam gelap dari Kuala Pilah menuju Kepala Batas. 

Sabtu, 19 Ogos 2017

Sunyi dalam kereta. Baba nampak letih, Mus'ab diam dalam baby seat di belakang. Entahlah, masa tu berserah saja dengan apa yang bakal terjadi. Mohon perlindungan dan kenudahan hanya kepada Allah. Semua letih!

Dalam perjalanan, ada 3 kali baba berhenti, beli makanan, tidur di Sungai Perak dan Bukit Gantang. Baba sangat letih. Mama pon letih dan sesekali curi tidur, memang tak dapat tidur sangat sebab tak selesa perut asyik mengeras, tapi bukan sakit contraction.

Akhir sekali kami tiba di rumah Kampung Aman itu menjelang subuh, selepas azan subuh. Solat subuh dan tidur. Tak mampu nak pergi hospital terus sebab mengantuk.

Sepatutnya, pagi sabtu itu mama ada temujanji dengan Dr.Intan di Columbia Asia. Tapi haruslah tak pergi.

Mama dan mus'ab bangun dalam jam 10 sebab haus. Mama buat kari telur, dan tok ayah buat sambal untuk makan tengah hari. Jam 12 makan. Kemudian siap-siap nak pergi jumpa Dr.Rohayu di Sungai Petani. Masa tu belum masuk zohor. Hampir nak azan zohor, tapi kami putuskan solat dalam perjalanan. Pergi cepat sebab pukul 12 tutup, kemudian pukul 2 petang buka semula. Jadi boleh dapat giliran awal.

Sampai di Wisma Perbidanan, mama terus kena naik atas dan dipasang alat CTG tu. Baba pergi solat dengan Mus'ab.

Lepas 30minit, turun bawah dan jumpa Dr.Rohayu. Dia pon dah siap study buku pink dan review doktor di AOR form tu. Doktor scan dan dia kata kena buat pembedahan segera.

Kenapa? Ingat boleh pilih tarikh, esok sajalah datang, eaok kan ahad, waktu bekerja bagi Kedah. CTG menunjukkan sleeping pattern dan tiada contraction. Bila scan, ada cord di pintu servik. Doktor periksa bukaan, hmmmm...part ni paling tak suka. Doktor kata 1 cm dah buka. Kena buat hari ni juga, nanti kalau tali pusat keluar dulu, lagi bahaya, oksigen tak sampai kepada adik baby. Itu sangat bahaya!!

Mama pon setuju, dah dapat penerangan dan taklimat, tanda tangan surat-surat dan naik ke atas untuk dibedah.

Ops, mama belum solat zohor. Kemudian solatlah mama, dijamakkan sekali kot dah masuk asar mama belum dibedah, tapi dah tak boleh solat, so mama solat jamak siap-siap.

Mama sempat solat taubat, berdoa andai inilah solat terakhir. Mohon agar Allah mudahkan pembedahan dan selamat mama juga adik baby. Selepas solat, mama serah semua barang kepada baba, dan mana pon tukar baju nak masuk OT. Baba bawa mus'ab pergi makan. Bayangkan, dengan drip dan branula di tangan, dan berbaju putih, mama berjalan kaki masuk ke dewan pembedahan. Nervous juga tapi taklah menakutkan macam di hospital dulu. Mungkin sebab kena jalan kaki,  macam santai agaknya. Mama baring. Nurse dan doktor sedang bersiap sedia. Jam masa tu pukul 3.30 petang. Nurse tak henti-henti menyapa mama, memberi semangat, agar tenang dan sabar. Semuanya InsyaAllah akan okay. Ya masa tu mama nampak tenang, tapi gemutuh juga. Dr.Rohayu pula asyik nak bersembang dengan mama.

Lepas mama baring dalam jam 4, doktor bius datang. Selepas dibius, pembedahan pon berjalan. Banyak betul Dr.Rohayu sembang dengan mama. Lepas tu dia diam, dia tak dapat keluarkan adik baby. Bergoncang-goncang badan mama masa tu, doktor bius dan nurse pon tengok apa yang terjadi. Doktor bius tenangkan mama, dia kata sabar ya, susah sikit nak keluarkan sebab breech. Suasana masa tu tegang pula rasa. Lagi banyak mama baca surah, tapi tak dpat fokus, lalu mama baca syahadah dan istigfar banyak-banyak. Nurse tu aayik kata sabar puan, zikir banyak-banyak. Ok mama pon senyum dan teruskan zikir agar terus tenang.

Tempoh nak keluarkan adik baby lebih lama berbanding Mus'ab semasa di HSJ dulu. Lepas tu bunyi nangis, adik baby keluar, lebih kurang jam 4.45 petang. Mama dengar nurse jerit 2.7... itulah berat adik baby.

Dr.Rohayu dan nurse lain meneruskan prosedur seterusnya. Nurse yang yadi datang lagi dan berkata: Alhamdulillah anak puan selamat, Alhamdulillah, puan. Ya, mama pon terus mengucap hamdalah. Nurse lain kemudian datang bawa adik baby yang dah dibersihkan, puan, ni anak puan, lelaki ke perempuan.  Camtulah pertama kali mama lihat adik baby. 

Kemudian, baru dengan balik suara ceria Dr.Rohayu, dia bersembang balik dengan doktor bius tentang lanskap rumah, kolam dan tanaman. Dan mama terus lali dan tidur.


Dalam jam 5.30 mama tersedar dan berada bilik lain. Mama mula menggigil. Nurse senior datang lagi dan periksa mama dan terus dipindah masuk ke bilik.

Di bilik, mama dah jumpa baba dan mus'ab. Lepas tu tok ayah datang. Lepas tu mama sambung tido. Sebenarnya, baba dan mus'ab dah jumpa adik baby awal tadi lagi, baba dah azankan adik baby. 

Seronok Mus'ab tengok adik dia.

Bila jaga, mama makan sebiji roti dan air sekotak. Sebenarnya tak boleh lagi... bius mama masih ada lagi, memang tak boleh gerak lagi. Tok lang boy dan toklang girl datang melawat lepas magrib tu. Mama tidur dengan tenang, baba temankan, mus'ab pula balik tidur dengan tok ayah.


Begitulah berakhirnya hari Sabtu 19 Ogos 2017. Syukur, semuanya selamat.


3 malam mama di hospital, baba temankan, nurse layan dengan baik, makanan yang dihantar dari rumah semua sedap. Mama hanya baring, sebab sakit sangat di bahagian luka Cesarean section tu. Berpeluang susukan adik baby juga. 


Rsokynya,Dr.rohayu datang melawat. Dia terangkan masa pembedahan, sukar nak keluarkan adik baby sebab rahim mama bentuk love. Adik baby selesa duduk di kawasan sempit. Jadi kandungan selepas ini akan sonsang lagi dan akan Cesarean lagi. 



Abang Mus'ab hari-hati datang lawat mama, ada satu petang tu dia nak tidur di katil mama, dia rindu mama lah tu, dia nak hug mama katanya, mama pon rindu mus'ab juga.

22 Ogos 2017, Selasa baru boleh balik. Mama dapat bunga dari doktor, adik baby dapat hadiah set baju. Mana juga dapat bil, kena bayar RM 5970. Biarlah duit mama berkurang, asalkan mama tenang melahirkan adik baby. Trauma menjaga anak dalam semdirian macam waktu di HSJ dulu. 

Adik baby lahir di Kedah! Sama tempat lahir dan hospital yang sama mama dilahirkan dulu-dulu.

Amal Harun
13200 Kepala Batas

Wednesday, 30 August 2017

Kelahiran Adik Baby Part 1

Tulisan panjang dan meleret-leret. 

AWAS!!

Fasa mengandungkan adik baby sedikit mencabar berbanding Mus'ab. Bermula dari bleeding di trimester pertama, cabaran meningkatkan berat dan Hb di trimester kedua dan trimester ketiga lebih pelbagai. Kadang 'reduce fetal movement', segera ke labour room. Diuji dengan MGTT kedua kantoi GDM. Kena buat BSP dan pergi ke klinik desa selepas terawih. Malam-malam tak dapat tidur dengan baik dan esoknya amat meletihkan sehingga meminta baba yang masuk ke kelas bila dah terpaksa sangat. Semuanya baru dan berbeza dengan pengalaman mengandungkan Mus'ab. 

Mus'ab ambil gambar ni suruh pose! Tak tau berapa bulan pregnant masa ni.

27 Ogos 2017, (minggu 36). Selepas prosedur mendengar taklimat tentang VBAC, mama pon telefon Hospital Columbia Asia untuk booking appointment dengan Dr.Intan. Dapat tarikh pada 14 ogos. Masa dah suntuk, tetapi itu sajalah tarikh yang ada untuk mama. Bila doktor di HTAN kata bole bersalin normal yakni tak sonsang lagi, maka plan nak bersalin di Columbia Asia.

Pada 14 ogos 2017 (minggu 38), mama kerja dan minta pelepasan keluar awal. Mama, baba dan Mus'ab ke Hospital Columbia Asia di seremban. Dalam perjalanan, mama call balik hospital untuk tanya tentang appointment itu. Malang sekali, nama mama tercicir dan nurse Dr.Intan hanya dapat berikan tarikh pada 24 ogos. Mama sangat kecewa dan amat marah, lalu mama katakan EDD adik baby ialah 25 ogos. Setelah berunding, nurse tu kata dia akan siasat dan cuba dapatkan temujanji. Syukur dia telefon balik dan kata boleh datang pada petang itu.

Kami tiba di hospital, terus makan dan solat. Ini ialah hari ketiga cirit birit. Kiranya kalau makan, kemudian nak buang air besar, tapi akan memulas dan cirit. Tapi lepas tu akan lega dan cepat-cepat minum air banyak-banyak. ORS pon minum juga! Selepas solat terus ke bilik doktor. Jam 3 adalah panggilan pesakit pertama dan mama adalah yang ke-4. Pada jam 3.30 petang selepas pesakit ketiga, Dr.Intan tiba-tiba keluar. Barangkali ada orang bersalin. Kami setia menunggu di depan bilik beliau dan mengharap kedatangan beliau detik demi detik. Sampaikan Mus'ab tudur di situ. Pesakit ketiga ialah seorang makcik yang datang untuk perundingan selepas pap smear. 

Penantian itu berakhir 2 jam kemudian pada jam 5.30 petang, barulah mama dipanggil masuk. Mujurlah pesakit ketiga itu tak lama.

Dr.Intan kelihatan letih dan termengah-mengah. Dah kusut masai, rambut pon terkeluar dari tudung, mungkin baru keluar dari labour room. Dia segera baca history mama dan scan.

Daripada scan, adik baby kelihatan kecil, doktor kata SGA, tak tahu apa benda tu. Doktor tulis surat untuk doktor hospital kerajaan. Didapati berat adik baby dianggarkan 2.3kg sahaja. Doktor kata kena banyak makan protein. Benarlah mama kurang makan protein. Walaupun kepala adik baby sudah berada di bawah tetapi hanya 20% sahaja di laluan. Doktor kata, tak perlu minum minyak kelapa dara bagai, sebab tak boleh buat apa pon. Melainkan tunggu.

Dari scan, Dr Intan kata cord di leher, agak bahaya. Selain itu, perlu bersedia untuk bersalin secara emergency Cesarean, kos akan berganda. Dan akan lebih mahal jika emergency Cesarean pada hari ahad kerana bayaran doktor bius lebih mahal. Mendengar segala penerangan itu ada yang melegakan dan ada yang merunsingkan terutama kos bersalin.

 Malam tu sakit badan dan stres memikirkan cord di leher dengan gerakan adik baby yang sedikit. Bangun solat hajat dan tahajjud, dekat-dekat subuh baru dapat tidur.

Surat dari Dr.Intan tu mama tak tunjuk pon semasa check up pada hari selasa di klinik kesihatan. 

18 Ogos 2017 (jumaat)

Bangun sangat awal sebelum subuh lagi, lepas subuh buat nasi goreng dengan banyak nak bawa ke opis untuk kawan-kawan. Bawa juga kuah durian atau serawa durian cicah dengan roti gardenia. Masuk kelas macam biasa buat kali terakhir, sebab plan ambil cuti awal seminggu. 

Tengah hari, balik rumah masak, sebab nak habiskan barang dapur. Cadangnya malam ni nak balik Penang. 

Last decision made, balik dan bersalin di Penang.

Lepas zohor kembali ke opis dan key in semua markah. Hooray dah siap. Alhamdulillah, sekarang boleh cuti dan bersalin dengan tenang.

Amal Harun
13200 Kepala Batas

Minggu 36

Setelah mengharungi ramadhan dan syawal, barulah mama hampir berkesempatan menulis untuk adik baby 'A'. Adik baby semakin hari semakin rancak. Terbaru adik baby dah pusing, ingatkan masih breech.

Jadi mama pon diberi kaunseling untuk VBAC. Mula-mula ok, tapi selepas tu banyak pula risiko-risikonya, oh sungguh menakutkan. Tapi tak mengapa, tetap kena berjuang.

Adik baby sangat aktif menjelang malam, malah gerakannya lebih agresif berbanding abang Mus'ab. Abang Mus'ab akan sapukan moisturiser di perut mama, dia sedang berlagak sebagai seorang doktor perbidanan, dia scan sambil beri penerangan ini jantung, ini kepala dan kaki, lihat di skrin katanya. 

Kadang sambil dia sapu, sambil baca surah kegemaran dia iaitu surah al-maa'un. Sekali lagi adik baby akan bergerak aktif. Adik baby dengar?

Di pejabat, mama sangat sibuk, kerana hampir setiap hari ada orang cuti sakit. Mama pon kena sediakan penggantian kelas. Bila diberi borang, sedikit sekali yang berlapang dada. Majoriti akan mengeluh, menarik muka masam dan ada yang komplen. Ada juga pensyarah kanan kata: kalau you bagi i relief, i taknak masuk. Oh, 1 jam pon terbeban.

Solusi menghadapi situasi itu amat perit, seolah mama sengaja membebankan mereka. Mama luahkan juga pada baba tapi selepas 2 minggu, mama pon biasa dan pekakkan saja telinga. 

Patutnya, anggaplah sejam yg terpaksa ajar kelas orang tu sebagai cover keculasan dan kecuaian kita berborak kosong. Tak dinafikan ada yang sangat professional dan tak kisah diberi relief. 

Adik baby sangatlah memberi kerjasama padu, ketika mama mengajar, mama dapat rasa gerak adik baby juga. Cuma mama tak kira secara tepat dan spesifik, yang mama tahu kamu ada dan sentiasa gerak pada waktu-waktu tertentu, terutama selepas mama makan. 

Semoga adik baby menjadi manusia yang sabar, bersungguh dalam melakukan pekerjaan dan merasa sentiasa diawasi Allah. 

Mama dan baba sentiasa doakan adik baby sihat dan selamat dilahirkan. Mama sedang berjuang menyudahkan kerja sebelum bercuti panjang menjelang kelahiran adik baby.

Amal Harun
72000 Kuala Pilah



Tuesday, 4 July 2017

M

M ialah rakan sepejabat. Telah aku lupakan perilaku M suatu ketika dulu. Masa di tempat kerja lama, ada M juga.

Sudah tentu M itu bukanlah Muazzin suamiku atau anakku Mus'ab. 

Masa di Labuan, aku tengah tangkap gambar MPPB, M jantan ini datang dan kata aku sedang nak tunjuk pro. Aku diam. Pada waktu petang, M jantan ini terserempak dengan aku lagi. Dah tentu aku diam dan abaikan dia. Tapi M jantan ialah orang yang aku tak pasti spesies mana, dia kata kat aku, jalan macam samseng dengan nada serius. 

Aku balik rumah dan menangis memaki hamun M jantan. Aku lansung tak ada urusan dengan dia malah kenal pon tidak.

Sejak itu, aku tak hairan lagi, aku anggap M jantan seorang yg sakit jiwanya kerana M jantan rupanya tidak disukai sesiapapon kecuali bininya. Dah ramai menjadi mangsa akibat penyakit M jantan.

Akhirnya, M jantan pindah ke Sarawak. Labuan kembali aman.

Semasa aku memarut kelapa, aku kabarkan pada mak aku M jantan dah pindah ke opis sebelah rumah kami. Tiba-tiba, malamnya kami ke masjid untuk sembahyang terawih, M jantan ada di pintu masjid. Masjid tu banyak pintu, beratus manusia pada malam tu, M jantan juga yang muncul. Aku lalu memberitahu suamiku...malah aku mengelak lalu masuknke masjid. Tak perlulah tanya kabar.

Bila pergi ke Negeri Sembilan, aku jumpa M betina. Teruk aku kena dengan M betina. Menangis lagi aku di sini. Tapi menurut kata orang lain, tak usah dilayan M betina itu. 

M baru-baru ni buat hal lagi. Tepi jalan dia tanya aku pasal kerja. Bila aku bagitau aku akan cuti bersalin, dia pon kata, tak mengaplah, aku buat kerja lillahi taala lah. 

Aku diam dan berlalu. Patutlah selama ni bukan main berkira lagi. Demi kesejahteraan aku di sini, aku diam. M betina juga mungkin sakit jiwanya.

Aku dapat 2 pengajaran:

1. Janganlah aku ini berlari dari orang yang aku benci, jadi janganlah aku membenci orang. Sebab, semakin aku elak, banyak pula urusan kerja yang kebetulan sekumpulan dengannya. Anggaplah, Allah hantar sebagai refleksi pada diri. 

2. Usahlah berkira bila buat kerja. Malah kena rasa perlu bagi lebih lagi bila bekerja, buat menampung kecuaian kita. Apalagi kalau kita bergred  44,48 sudah tentu kita perlu bagi lebih dari orang 41. Hal remeh pon pening kepala kau kira, sampaikan kau sendiri tak menikmati keseronokan bekerja mencari rezeki. 

Sekian, 
Good bye Mj & Mb

Coretanku di pejabat sewaktu lunch hour selepas serangan M.

Wednesday, 14 June 2017

Adik Baby Bahagian 2

5 hari mama diberi cuti, sebab abang Mus'ab kena kuarantin akibat HFMD. Minggu 29 mama kena buat MGTT kali kedua (prosedur negeri sembilan, penang sekali saja) dan jumpa pakar O&G. 

Kelas mama orang lain gantikan. Cuma kuliah saja mama masuk. Pada hari selasa mama ke kuliah macam biasa dan masak lauk berbuka. Masa lain ialah baca quran dan main dengan abang Mus'ab saja.

So tak busy, cuma mama dapat kesan gerakan adik baby sikit. Lepas teraweh, baba kata jom pi hospital. Bila ke hospital kena pergi labour room. Pukul 11.30 malam baru dapat jumpa doktor dan kena masuk wad untuk 1 malam pemantauan.

Alhamdulillah bila doktor scan, masa tu jugalah kamu bergerak agresif. Kamu memang sejenis nak perhatian eksklusif.

Doktor kata, reduce fetal movement, common la bagi ibu yang berpuasa. Tapi sebaik sahaja malam terutama tgh malam, lepas mama makan makin aktif. Kepala kamu berada di rusuk kanan mama, breech juga seperti abang Mus'ab cuma kepala dia di rusuk kiri. Menurut doktor kamu memang selesa dalam keadaan breech. Tapi tak mengapa masih ada masa jika kamu nak pusing. Berat kamu pon dah cecah 1kg.


Hari 19 ramadhan, mama tak puasa. Mama breakfast, dan sejak selepas subuh hingga jam 10 pagi, sangat banyak kamu bergerak. Tak mengapalah, insyaAllah mama ganti nanti, gunakan rukhsah puasa kali ni. 

Ini Dr. Zainol, pakar perbidanan. Sitti lahirkan mama dengan Dr.Zainol ni dulu. 

Bermalamlah mama di hospital dan keesokannya setelah pakar periksa, mama pon tak perlu jumpa pakar lagi next day. Pakar aturkan perjumpaan lagi nanti dan kena hadir bersama baba. 

Mama kena fikir, di mana nak bersalin, bila nak cuti dan mode of delivery (takut sebenarnya nak normal). Apa pon semoga Allah permudah segala urusan, beri kita kekuatan dan keselamatan. 

Sunday, 4 June 2017

Adik baby

Assalamualaikum adik baby.


Tanpa tidak disangka, dan segala pengharapan, pergantungan kepada Allah, sehingga hari ini kamu telah berusia 28 minggu dalam kandungan. 

Mengandung kali ketiga selepas 6 bulan episod keguguran. Inilah pertama kali hendak ditulis bagaimana mana pengalaman mengandungkan kamu. Rupanya setiap pengalaman mengandung tu tak sama. Cabarannya lain-lain pula. Kalau dulu semasa abang Mus'ab, trimester pertama hanya lemah-lemah. Selebihnya agak cergas ke sana sini.

Jadi masa trimester pertama, mama tak masak lansung. Kasihan baba dan abang Mus'ab. Kami hanya makan di kedai. Apa saja yang mama makan, semuanya tawar di lidah mama. Jadi mama yang kuat makan sebelum ini, berubah menjadi tidak pemakan. Akibatnya, 5kg susut. Doktor pon kata itu tak bagus. Mama sedaya upaya menelan makanan.

Kandungan kali ini cabarannya bukan sahaja letih-letih, tapi diuji dengan sedikit pendarahan. Lebih kerap jumpa doktor. Sampaikan pakar pon periksa perut mama juga semasa minggu 17 (lebih kurang). Hampir saja perlu dirujuk pakar untuk makan ubat nak kuatkan rahim tu. Tapi doktor kata, percayalah bukan mudah melahirkan seorang dai'e, landungan itu diletakkan di ruang yang kukuh iaitu rahim. Seperti doktor tau, mama goyah, tak yakin untuk meneruskan kandungan.

Kisahnya selepas habis lab, tiba-tiba rasa panas, ada darah keluar dan basah. Takut sangat, memandu sendiri ke klinik swasta, berjumpa Dr. Hayati yang telah beri ceramah free kepada mama, bukan mudah melahirkan dai'e. Waktu itu sangat risau dan pasrah. Adakah episod keguguran berulang.

Dr.Hayati scan dan lihat jantung kamu yang aktif. Perkembangan yang baik. Tapi doktor dapati ada fibroid. Tapi setelah jumpa pakar, fibroid tu dah tak dapat dikesan. Keseluruhannya, doktor kata on track, sihat dan baik. Alhamdulillah, selalu mama doa agar adik baby sentiasa sihat.

Minggu lain cabarannya lain pula, ada yang fundal height lebih, kemudian kembali normal. Apabila sudah 4 bulan, deria rasa kembali muncul, mama dah kembali suka makan. Naik pula berat melebihi sepatutnya. Jadi selang 2 hari, kena periksa urine dan tekanan darah. Syukur semuanya normal belaka.

Selepas 6 bulan, kegemukan mama kian ketara. Perut pon sangat sudah ke depan. Cepat pula mama dapat rasa gerakan kamu.

Tak lama kemudian, cabaran meningkat Hb pula. Cepat pula Hb drop kali ini. Mama pon mengambil inisiatif meninum air rebusan kurma merah. Setakat ini dalam tempoh eksperimen lagi.




Selepas suntikan tetanus, mama demam 3 hari. Masa tu mama hadiro dairah, kemudian pergi bercuti ke Langkawi. Walaupun demam, mama bertahan untuk jalan dan shopping. Mama makan paracetamol sahaja. Sekali lagi, syukur Alhamdulillah demam pon kebah.


Masa tu mama demam, panas terik pon kita naik bot. Itu dah masuk laut andaman. (Life jacket saja tak pakai huhuhu)

Dan saat ini, kamu aktif melakukan gerakan. Kalau pergi daurah, mama sakit pinggang jika duduk bersila di lantai. Nak bangun susah. Solat pon sukar bila sujud dan nak bangun dari sujud. Tapi mama kuat!! Sekarang 9ramadhan, syukur kerana Allah izinkan mama sihat untuk berpuasa, baca dan tadabbur quran dan berterawih. Tapi mama masak simple saja. Abang Mus'ab juga lasak sangat kerana sentiasa nak berdamping dengan mama. Mungkin dia bimbang, perhatian dan kasih sayang mama pada dia berkurang setelah ada kamu. Hihihi.

Baiklah, sempena Ramadhan mulia ini, sambil mengandungkan kamu, mama terus kuatkan azam melakukan amal soleh. Segalanya dengan izin Allah. 

Amal Harun
Kuala Pilah


Monday, 6 March 2017

DiGi

Aku ini ingin meluahkan rasa kecewaku. Agar menjadi tauladan dan sempadan agar diriku tak begitu.

Alkisah, semasa semester lalu, pembahagian chapter kuliah, aku dapat part tengah, chapter yang banyak penerangan. Aku pon suka kerana dah lama tinggalkan part pengiraan.

Tapi bagi semester 2, aku minta untuk ajar part tengah, maklumlah bila part hujung ada chapter amines, bila amines ja aku mengantuk dan lemah semangat, kerana chapter tu susah nak ajar. Kalau itu takdirku, aku pon terima dengan harapan aku boleh belajar dari seniorku macam mana nak ajar chapter yang susah.

Tapi permohonanku tak berjaya. Kerana beliau nak part tengah. Alasannya, beliau ajar laju, bila laju cepat siap kuliah dan kena plan revision. Bila revision beliau kata beliau akan stress. WTH????

You already plan and set up your mind to get stress before it happen??? You are higher grade teacher whatt??

Alasan itu amat menjatuhkan kredibiliti beliau selaku pegawai gred tinggi, tetapi sikap professionalisme dah dibuang ke tangki kumbahan.

Banyak lagi insiden yang hari demi hari mengusik jiwaku selaku Pegawai gred DG41. Gred rendah di kalangan pensyarah. 

Aku mengambil pengajaran dari sikap beliau, lantang mengkomplen pelajar dan pensyarah lain. Tapi keberhasilan beliau nyata diketahui umum amatlah tak memberansangkan. Sebelum ini amatlah kusanjungi kewibawaannya, namun segalanya hancur.

Aku yakin pertemuan dengan beliau adalah aturan Allah yang nak aku belajar dari orang sekeliling. Sifirnya mudah, tiru yang baik, yang jahat tengok diri sendiri ada buat atau tak, dan kalau ada ciri sebegitu, cepat-cepatlah tinggalkan.

Jangan sombong atau bangga diri, sebab semua kita asalnya hina dari air mani. Jika jatuh ke tanah, tak ada nilai, tak jadi emas pon.

Jika kamu gred tinggi, pikul tanggungjawab lebih besar dan sambutlah dengan lapang dada sesuai dengan bayaran yang tinggi. Jika beri lebih, kerajaan tak bayar lebih, tapi Allah bayar dalam pelbagai bentuk lain? Pangkat juga ujian!

Semoga aku terus tabah dan sabar menghadapi pelbagai kerenah rakan sekerja dan pelajar. 

Saturday, 11 February 2017

Mus'ab ke waterpark

Sejak pindah ke negeri 9 ini, dah lama aku tak nampak laut. Mindaku sempit sebab nampak hutan dan bukit bukau. Teruk betul bunyi, bukan apa, sebab aku tak tahan jalan bengkang bengkok di sini. 

Suamiku kata, mari kita ke Port Dickson. Kawasan pantai di negeri ini hanya di daerah itu. Tapi, kerana mengejar masa, kami tak sempat ke pantai. Sedih hatiku. Kerana perancangan suamiku hendak ke waterpark, menghiburkan dirinya dan Mus'ab.

Aku amat geli akan air di waterpark. Yalah, nanti ada orang kencing, kita duk menyelam di situ. Bagaimana jernih dan bersih aku tetap tidak suka. Lagipon, semua permainan tu tak sesuai dimainkan oleh seorang emak seperti aku. Tinggallah aku di tepi kolam, menjaga beg dan merakam gambar. 

Mus'ab nampak teruja, tapi semua benda dia takut dan taknak cuba. Ada juga yang dia fobia. Yang paling gembira mestilah baba. Hmmm...

Tengoklah foto sebagai bukti siapa paling enjoy!





Bila ajak mus'ab balik, dia taknak. Maaflah, tak mampu mama nak beli apartment di waterpark itu. 

Amal Harun

Sunday, 8 January 2017

Dua Detik

Kadang kala bila solat, aku rasa jauh dari Tuhan walau aku cuba sedaya upaya fokus solat. Itu belum kira saat solat mengejar waktu ke kelas, atau solat sebab lepas tu kau nak keluar atau solat sambil anakmu menangis menarik telekung.

Ada inisiatif diambil untuk kembali fokus dan merasa ketenangan solat. Antaranya ialah baca buku fahami bacaan solat. Ya, itu sangat membantu. Baca dan faham secara satu persatu perkataan itu. Seperti bacaan iftitah, qunut, fatihah dan lain-lain bacaan. Memang amat menggambarkan kau sedang memuji tuhan yang Maha besar, Maha terpuji. Dan amat membuatkan diri merasa kerdil amat sekaligus menginsafi bahawa kau hamba yang amat-amat lemah, sangat perlukan Allah.

Jadi lepas solat tak adalah kau akan rasa sombong apa lagi perasan bagus. Sebab sudah berikrar sebagai hambai kepada Tuhan sekalian alam.

Ya, inisiatif ini amat membantu. Namun sayang, kemahiran ini dipelajari setelah kembali dari Makkah. Tak berpeluang mencuba merasakan ketenangan solat di Masjid Nabi di Madinah mahupun di masjidil haram. Bukan tak tenang, cuma kurang fokus disebabkan gangguan luar.

Contohnya, solat di Raudhah, kepala aku disepak kerana ruang solat yg sempit di samping masa yg terhad. Ada ketika, solat dengan tanpa gangguan sampai boleh berdoa dan menangis. Terharu dapat berada di masjid Nabi, dekat dengan jasad mulia Baginda. Begitu juga tatkala solat di mataf, terganggu aku dengan orang yang lalu lalang, tidak berhenti  tawaf untuk solat fardhu bersama imam. Pendek kata sukarlah pada waktu itu untuk aku fokus dalam solat. Ada ketika aku solat asar di masjid Nabi, wanita sebelahku tak solat ikut imam, dia solat sendiri. Bila waktu 
sujud dia keluarkan batu dan sujud atas batu. Ah!! Terganggu solatku, macam mana tak nampak, saat dia nak sujud aku sedang duduk tahiyyat awal. 

Tapi 2 detik ini membuat aku terlalu dekat dengan Allah untuk merayu merintih. Pertama, saat solat subuh di hospital  ketika menunggu giliran ke dewan bedah untuk bersalin. Masa tu aku fikir, inilah solatku terakhir. Sama ada solat terakhir jika lepas ni aku mati ketika proses
 melahirkan atau jika aku hidup, kena tunggu suci dalam satu tempoh baru dapat solat. 

Kedua, saat anakku sakit di hospital. Aku solat sebelah katil, ketika dia sedang tidur. Allahu, anakku hanya muntah, tapi sedih dan bimbang bukan kepalang. 

Jadi, tiba saat aku malas atau lambat solat, aku cuba kenangkan 2 detik ini. Allah itu amat dekat melebihi urat leher. Maknanya dekat sangatlah. Aku tak pasti orang macam mana, cuma carilah titik yang dapat kau rasa kedekatan kau dengan Allah. Contohnya, solat subuh pada hari kau nak pergi exam atau temuduga. Pastilah setelah berhempas pulas berusaha, kau serah segalanya pada Allah, juga mengharap pertolongan Allah agar dimudahkan urusan pada hari itu. 

Sekian, sedikit yang dapat aku kongsi.

Amal Harun