Saturday, 16 June 2012

Muliakan Walinya


Wah! Catchy kan entri kali ini? Tiba-tiba rasa nak kongsikan satu insiden ketika saya keluar makan. Mula-mula malas nak tulis, tetapi setelah difikirkan, ada baiknya ditulis di sini. Mungkin jadi kebaikan, mungkin jadi kenangan. Jadi, marilah kita ikuti insiden yang berlaku sebenarnya. Errr…kena baca sampai sampai habis, kalau tak yakin dapat baca habis baik berhenti jangan buang masa baca catatan saya yang biasa-biasa, baca quran lagi bagus.

Suatu tengah hari, saya dan kawan berhenti makan di sebuah warung, rasanya harus dirahsiakan warung tersebut, sebab kalau cerita warung tu, mesti dah tahu, maklumlah, Labuan ada berapa saja kedai makan yang sedap dan sering dikunjungi.

Saya tiba bersama seorang rakan. Kami pesan makanan dan menunggu sambil bersembang. Sudah tentu butir perbincangan berkisarkan kelas yang kami lalui sepanjang minggu pertama bersama pelajar baru. Saya berpaling ke belakang sebab nak tengok kereta saya di tepi jalan, sebab saya tidak kunci dan rasanya terdapat barang berharga. Ini contoh tawakkal buta. Kiranya di akhir kisah, kereta saya selamat dan tiada sebarang kecurian. Cuma sekejap-sekejap saya berpaling melihat kereta.

Tetapi ada sesuatu yang kurang enak hendak diperkatakan di sini. Ada 2 orang anggota tentera udara beruniform di sebelah meja. Bukanlah sebelah sangat, err…lebih tepat dikatakan selang semeja dan belakang sedikit, ya, begitulah koordinat meja saya dan anggota TUDM tersebut. Apa yang saya perasan, dia kerap memandang kawan saja, bukanlah saya nak pandang dia, tapi terpandang setiap kali nak pandang kereta saya. Gerak hati saya mengatakan pandangan beliau lain daripada pandangan antara orang-orang yang saling tidak mengenali. Wah, memanjangkan pendetailan  situasi di tempat kejadian.

Kawan saya makan macam biasa, takkan pula saya nak kata begini kepada dia “eh, orang kat sana tu asik pandang hang”. Semacam su’u dzan (sangka buruk) pula. Tak lama, setelah 2 orang anggota TUDM itu pergi, tauke kedai datang dan berkata macam ni (ayat memang original macam ni):

“ni saya nak sampaikan hajat orang, dia minta bagi ni” sambil dia menghulur secebis kertas tertera nama dan nombor telefon.

“eh, saya dah kawin dan ada anak satu” terus saja kawan saya memberitahu pembawa ‘hajat’ yang kelihatan terkejut. Dia pon berlalu pergi sambil menegaskan dia hanyalah tukang ‘sampai’.

“takkan lah dia tak perasan hang pernah bawak anak datang sini, kan hari tu kita datang?” saya bertanya.

“dia tak perasan aku kot, aku datang ja dengan laki aku hari tu, ermmmm tak perasan la tu” kawan saya membalas sambil terus makan.

Kemudian kami terus menikmati makanan kami, sambil kawan saya mula mengeluarkan pengalaman berkaitan taktik yang sama pernah berlaku pada masa lalu. Barulah saya tahu, teknik seperti itu memang benar berlaku, ingatkan dalam tv saja hehee.

Selesai makan, saya menuju kaunter bayaran, saya dimaklumkan makanan kami sudah dibayar. Aduh, tekak saya jadi sempit, bukan apa, rasa tak selesa sebab dibayar oleh orang yang tak dikenali, lepas tu macam mana nak berterima kasih? Apa pun, semoga Allah balas kemurahan hati beliau yang membelanja makan tengah hari kami di situ.

“awak mesej dia, cakap terima kasih, saya dah ada anak satu” kata tuan kedai ketika kami menuju pulang.

Itulah insiden yang terjadi. Mungkin insiden biasa bagi orang lain, tapi itu pengalaman pertama saya, bukan pula saya yang kena ‘tackle’. Apapun, Alhamdulillah bersyukur sangat saya tak terlibat. 

Secara peribadinya,saya sangat memohon doa berlindung daripada gangguan sebegitu rupa. Walaupun saya tak tahu kesucian dan keikhlasan niat lelaki itu, saya tetap tidak bersetuju dengan caranya. Mungkin dia baik, tetapi cara tak kena. Pada saya, kalau benar dia bijak, menjungjung tinggi agama dan kemuliaan seorang wanita, dia tidak akan melakukan begitu. Jumpalah wali si perempuan, atau gunakan medium yang lebih terpelihara jauh dari fitnah. Contohnya orang tengah yang amanah menjaga rahsia.

Pandangan saya kelihatan terlalu idealistik, ortodok atau melulu. Entah, tak tahu bagaimana mahu dijelaskan, tetapi hakikatnya jelas, mahu menjaga agama dan menutup ruang fitnah serta godaan syaitan.  Saya juga jelas, jika awal permulaan baik, insyaAllah prosesnya juga akan baik dan natijahnya suatu hari nanti adalah baitul muslim yang baik serta zuriat soleh lagi musleh.

Hekeleh, kecoh je saya ni, bukan dia nak kat saya pon kan? Perasan! Heheh bukan begitu, janganlah salah faham.

“Eh Amal, aku bagi nombor hang kat dia ya, hang kan single lagi?” kata kawan saya.

“Oi, jangan la, walaupun aku single tapi aku tak mau, ni bukan caranya, lagipun sedikit sebanyak kita dah boleh nilai dia” saya membalas, wah bukan main lagi manusia mahu menilai manusia lain, hehe tapi saya tidak terlepas daripada menilai manusia lain menerusi akal yang sedikit cetek. Tapi penilaian ini demi menjaga kemuliaan dan kehormatan.

Kalau dilihat saya sudah hilang peluang. “Okeh, kalau hang tak nak, aku bagi kawan kita yang single lagi”
“bagilah..” saya membalas dan fokus kepada pemanduan. Ah, tak rugi kalau kita jelas dengan matlamat.
Lagipun, jika bertukar nombor telefon, akan berlaku siri ‘sms’ yang berlarutan. Saya rasa hadith nabi ini sangat ‘familiar’, mari kita hayati;

Rasulullah berkata “Janganlah seseorang lelaki duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya, maka sesungguhnya orang ketiga bersama-sama mereka ialah syaitan kecuali bersama mereka seorang mahram.” Riwayat Ahmad.

Allah ingin menguji sejauh mana lelaki dan perempuan yang mengambil keputusan menikah, tetapi masih menjaga adab-adab sebelum halal hubungan, contohnya ketika berkawan sebelum bertunang atau menikah. Jauh atau dekat pasangan itu, tetap ada ujian dan perangkap disediakan syaitan. Paling penting jagalah batas dan kesucian perhubungan sebelum menikah.

Semasa makan, kawan saya banyak menceritakan kisahnya. Banyak pengajaran.

“Aku tak kisah aku kawin lambat, mana yang ada sekarang dah ditetapkan terbaik untuk aku setakat ini. Aku sentiasa doa, janganlah Allah uji aku dengan ujian berhubung dengan lelaki ajnabi sebelum menikah. Kalau kawan-kawan lelaki biasa tak melibatkan hati dan perasaan macam kawan-kawan sekolah kecil-kecil dulu ok la. Takla nampak geletekan syaitan. “ itu pandangan dan hasrat hati kecil aku selama ini. Allah saja yang mendengarnya.

‘Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’ Yusuf 12:53.

Banyak juga antara kawan saya yang lama berkawan untuk berkenalan sebelum menikah, tak faham saya kenapa tak jadi kawin pula. Kalau saya terima ja (pandai-pandai saja).  Macam-macam hal, perempuan dah tentu malu nak cakap lebih-lebih, nanti dikata over excited, perigi cari timba atau merendahkan ego segala bagai. Ataupun, lelaki ni ‘slow motion’ yang menampakkan dia tak bersungguh. Padahal lelaki tu ok dan perempuan tu ok. Haha..siapa suruh kamu ‘complicated’ atau kompleks.

Kepada lelaki soleh


Rasanya, kalau lelaki nak tunjukkan kesungguhan, keikhlasan serta kebijaksanaannya memuliakan agama, maka dia takkan usik anak dara dengan sms atau ayat atau email atau hadiah sebagai indicator atau medium. Mudahkan proses yakni terus istikharah dan berurusanlah dengan ibu bapanya. Itukan terjamin dan terpelihara, jika negative tidak mengapa, itukan inisiatif yang bakal Allah ganjari dengan lebih banyak kemuliaan lantaran kesabaran. Jika positif pula, haruslah disyukuri dan segerakan peminangan dan pernikahan. InsyaAllah, semoga Allah memelihara.

Inilah ‘think win-win’ yang diutarakan Stephen Covey dalam buku 7 Habits of Highly effective Person. Berjaya melamar atau ditolak adalah sebuah kejayaan, kejayaan mengatasi perangkap nafsu dan syaitan atau dan kejayaan memilih suatu yang halal. Mudah bukan? (susah la kot bagi lelaki nak convince dengan keluarga dia dan keluarga perempuan), tapi kan benda baik mestilah harus dilalui kesusahan.
Baiklah, itu sajalah yang nak saya tulis terbuku dalam kepala saya selama ini. Ia adalah berdasarkan penceritaan dari kawan-kawan tentang kisah pertemuan atau percintaan mereka, bukan saya nak ambil tahu,cuma ambil ibrah. Kuncinya fikir secara positif dan optimis.

Sesungguhnya, menangis bersedihlah para syaitan ketika lafaz sakinah itu dilafazkan. Setelah ijab kabul semua pasti halal dan berpahala. Semuanya pada sebuah ikatan perjanjian berat mitsaqan ghalizha. Kepada yang sudah kawin teruskan pelihara keluarga anda di jalan Allah, dan kepada yang belum berjaga-jaga, permulaan yang baik insyaAllah, natijah dan pengakhiran yang baik.

Jika ingin merasai kebahagiaan rumahtangga pilihlah calon kerana agamanya.  InsyaAllah akan beruntung dan ia merupakan syurga yang didekatkan.

Amal Harun
W.P Labuan




No comments:

Post a Comment

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..