Sunday 20 February 2011

Kahwin oh Kahwin


Saya cuba mencari kekuatan menulis kali ini. Ia suatu kenyataan berani yang bakal dikeluarkan sebentar lagi. Kekuatan atas dasar keyakinan kepada kekuasaan Allah yang telah mengaturkan segalanya dengan cukup sempurna.

Makcik-makcik, kaum keluarga, rakan dan segala bagai lazimnya akan bertanya, "bila nak kawin?". Biasalah, kalau sudah tamat belajar, mendapat kerja dan berpendapatan tetap, bab kahwin akan timbul. Lebih menyemarakkan suasana ialah kaum keluarga yang sebaya atau lebih muda, mahupun rakan-rakan sepengajian atau sekerja mula mendirikan rumah tangga dan ramai pula yang sudah menimang cahya mata pertama.

Inilah fenomena biasa, putaran alam, sunnatullah dan syariatullah bagi ummat manusia. Allah ciptakan manusia saling berkenalan, saling berkasih sayang dan berpasangan. Inilah fitrah yang telah Allah titipkan pada setiap hambanya. Demi kemaslahatan. Puncaknya ialah ketaatan dan keimanan kepada Allah swt.

"tahun depan insyaAllah." itulah jawapan biasa yang saya selalu ucapkan bila ditanya. Tahun depan bila tidak pasti. Jawapan jenis apakah hendak dijawab kalau yang bertanya adalah orang yang lebih tua dan sebagainya.

Jawapan yang berbentuk 'play safe' menjadi pilihan. Suka hati bagaimana yang bertanya itu ingin menginterpretasikan jawapan saya. Allahu a'lam.

InsyaAllah, antara tergopoh-gapah, atau berlengah-lengah bukanlah saya dalam mana-mana kategori tersebut. Kerana saya sendiri tidak pasti arah tujuan berkawan atau bercinta sebelum kahwin. Kahwin ibadah, tidak kahwin tetap juga kena ibadah, kerana tujuan penciptaan manusia adalah ibadah. Telah ditetapkan anak Adam itu rezeki, ajal maut dan jodohnya. Inilah antara rahsia Allah.

Kita hanya usaha, menjadi yang terbaik, menjaga perintah dan larangan Allah. Berbalik kepada yang tergopoh dan berlengah, biarlah kita tetap dalam menjaga syariat. Biarlah bertemu dengan orang yang Rasulullah cadangkan kriterianya. Semoga semakin hari semakin lama hidup dengan 'dia' akan melahirkan rasa cinta yang lebih besar kepada Allah dan Rasulnya. Menghayati isi quran, mengamalkan dan mendalami sunnah baginda nabi, menelusuri sirah perjuangan Rasulullah dan disemai rasa kasih sayang berladaskan kecintaan dan kepercayaan kepada Allah.

Allahu a'alam. Hasbunallahu wa ni'mal wakiil.

Amal Harun
Labuan

No comments:

Post a Comment

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..