Dengan nama Allah Yang maha pengasih lagi maha penyayang.
Saya terdesak untuk menulis hal ini disebabkan ia luahan
yang tidak mungkin sampai kepada sesiapa secara lisan. Sudah tentu untuk
tatapan saya seorang, supaya saya beringat dan tidak lupa bahawa saya sudah
membuat persediaan mental menghadapi kesukaran yang menimpa rakan pensyarah
yang lain.
Baru-baru ini diumumkan senarai pegawai yang dinaikkan
pangkat. Kolej kami antara yang paling sedikit jika dibandingkan dengan kolej
lain. Saya tidak mahu nyatakan apakah system dan prosedurnya. Saya bukan orang
yang layak.
Setelah insiden kekecewaan yang melanda rakan sekerja,
hampir beberapa hari isu ini terus meniti di bibir setiap pegawai. Kecewa
agaknya. Tidak kurang yang menyatakan ketidakpuasan hati terhadap ketua,
bertanyakan punca kegagalan, menyebut kembali setiap amanah atau sumbangan yang
telah dibuat, hilang motivasi mengajar dan berdukacita atau bermuram durja.
Normal lah kan? Sebab setiap orang (husnu dzan) telah
berusaha sehabis baik. Saya akui, kami di sini bekerja melebihi waktu kerja
kerana melayan pelajar, melatih pelajar di padang hingga petang dan malam pula
masih mengajar dan aktiviti kecemerlangan. Itu amat diakui dan disokong oleh
rakan di kolej lain. Sebab utama, kami di sini kurang akses untuk keluar dari
Labuan!
Maka disebabkan itu, ramai kecewa dan mula menuntut keadilan
dan pembelaan. Mereka pun ikut saluran yang betul seperti mengadukan kepada
pihak tertentu untuk dibincangkan dan meminta penjelasan oleh pihak yang terlibat.
Saya pun tidak tahu apakah hal sebenarnya, so far so good.
Saya cuma mahu utarakan sesuatu untuk direnungkan sejenak.
Jika kita rasa kita layak naik pangkat dan ada orang mencantas peluang rezeki
kita, maka ingatlah selalu bahawa pemberi rezeki ialah Allah bukan manusia.
Mengajarlah kerana Allah. Rezeki bukan dalam bentuk naik pangkat, meningkat
gaji dan pendapatan tetapi kebahagiaan rumah tangga, kesihatan, anak yang soleh
dan kehidupan yang tenang adalah antara rezeki yang tidak kelihatan di mata kita.
Rezeki itu luas maknanya.
Kemudian, renungkan kembali layakkah kita dibayar sebegitu
rupa dengan hasil yang kita curahkan. Amanahlah pada masa bekerja dan didiklah
pelajar dengan sabar dan ikhlas. Jika kita kerja lebih masa dan bos tak nampak
malah melabel kita curi tulang, maka bertenanglah sekali lagi. Kita buat
sesuatu bukanlah untuk penghargaan manusia. Bukan juga untuk ditunjuk-tunjuk.
Allah Maha melihat.
Kita mesti menonjol. Itu kata bos saya. Setiap apa yang
dibuat mesti ditonjolkan. Saya tidak pasti apakah mesej yang cuba dia katakan.
Mungkin pekerjaan dan prestasi kami yang tidak menonjol menyebabkan kegagalan
naik pangkat??
Jika kita rasa bos tak nampak, buatlah juga sebab Allah
nampak. Jika dia bagi markah dan menilai berdasarkan apa yang dia nampak, maka
ketahuilah penglihatannya juga terbatas. Atau sudah cuba ‘menonjol’ tetapi
tetap tak nampak malah dihukum pula dengan markah yang rendah, bertenanglah
lagi. Allah akan balas ganjaran yang baik di akhirat. Jika dia buat-buat tak
nampak, maka kamu dizalimi. Orang
dizalimi ni banyak kelebihannya dari segi doa. Usahlah menuntut keadilan yang
jitu di dunia sebab dunia memang tidak adil. Allah saja Maha Adil dan menilai
di akhirat nanti.
Tidak mengapalah jika hari ini kita dilihat gagal di mata
bos. Tetapi kita sendiri boleh bangkit dari gagal. Kalau kita tak gagal,
maksudnya mata manusia yang gagal melihat kebaikan manusia lain hehee. Tak
mengapa, Ustaz Pahrol kata, orang yang Berjaya banyak merasai kegagalan
berbanding orang gagal.
Mohon maaf jika bos atau ketua-ketua sesebuah organisasi
membaca apa yang saya tulis di sini. Ia hanya luahan yang terbuku daripada
seorang penjawat awam yang mahu berusaha dan ditunjukkan apakah jalannya.
Apalah salahnya kerja kuat, bebaskan diri kita dari penghargaan manusia. Sebaik-baik manusia ialah yang bersungguh-sungguh. Jadikan kerja sebagai medan dakwah dan ikon muslim yang bekerja penuh kecemerlangan.
Amal Harun
Labuan
No comments:
Post a Comment
nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..