Tuesday 24 April 2012

Telitilah

Tak mampu untuk menegur kawan-kawan yang menggunakan harta di pejabat untuk tujuan peribadi. Atau apa-apa saja yang dicetak bukan sesuatu yang berkaitan dengan tugas rasmi. Atau masa kerja bukan rehat digunakan untuk berehat, waktu rehat pon rehat juga. Saya pun leka, selalu leka. Pendek kata, pandai-pandailah bayar balik masa kerja yang terkurang. Ini nasihat untuk diri, kadang lupa. Marilah bersikap jujur dan amanah.

Bos mungkin tak nampak, tapi Allah nampak. Siapalah saya yang baru setahun jagung kerja, pangkat pun rendah. Tapi setahun jagung itulah yang harus dididik agar amanah dan jujur dengan benda-benda kecil yang kelihatan mudah. Mudah-mudahan sementara masih setahun jagung inilah cepat-cepat betulkan apa yang salah. Nampak mudah dan biasa kerana mencetak benda kecil tapi tetap dinilai. (nasihat diri, jangan buat!!!!) Kisah berikut amat signifikan. Ya Allah, ingatkan kami bila kami lupa.

Pada suatu malam, ketika Khalifah Umar bin Abdul Aziz berada di dalam pejabatnya sedang memeriksa buku keluar masuk wang negara dan juga Baitulmal. Tiba-tiba khalifah terdengar ketukan. Bilik itu diterangi dengan lampu minyak yang cukup terang untuk membaca. Khalifah bertanya tanpa membuka pintu, "Siapa di luar?" "Saya ayah," terdengar suara seorang pemuda, puteranya sendiri. 

"Ada urusan apa?" Tanya khalifah. "Saya disuruh oleh ibu untuk berbicara dengan ayah tentang beberapa perkara," jawab puteranya. "Masalah apa?" tanya Khalifah. "Buka pintu dulu ayah. Izinkan saya masuk," jawab anaknya mendesak. "Terangkan dulu, masalah apa? soal keluarga, soal kemasyarakatan atau soal negara?" Tanya khalifah, tetap tidak dibuka pintu untuk anaknya masuk.
"Tentu saja urusan keluarga kita, Ayah." jawab anaknya hairan. "Kalau begitu, tunggu sebentar," sahut khalifah Umar daripada dalam. Lantas ia bangun, menghampiri satu-satunnya lampu di biliknya dan ditiup hingga padam. Barulah pintu itu dibuka dan disuruh anaknya masuk. Puteranya itu semakin hairan. Masakan mereka hendak bercakap di dalam gelap? Apakah ayahnya terlalu kuat bekerja sehingga tindakannya menjadi ganjil, di luar kebiasaan orang awam?
Lalu anaknya bertanya kepada khalifah," Ayah, di bilik ini, hanya ada satu lampu. Mengapa ayah padamkan? Apakah kita akan berbincang di tengah kegelapan?" 

"Benar, kita akan berbicara di dalam gelap, kita akan berbicara di dalam bilik ini," jawab khalifah tanpa ragu-ragu. "Mengapa, ayah?" tanya anaknya kerana inginkan kepastian. 

"Adakah kau tahu, bilik apakah ini?" tanya khalifah semula kepada anaknya. "Pejabat, ayah?" jawabnya. "Siapa ayahmu?" khalifah menyoal anaknya lagi. "Pemimpin negara, Khalifah, Amirul Mukminin," jawab anaknya semakin bertambah kehairanan. Bahkan semakin curiga, jangan-jangan ayahnya telah mabuk kuasa.

 "Itulah dia jawapannya. Kerana ayahmu seorang pemimpin, maka kita harus bercakap tanpa lampu di bilik ini," ujar khalifah kepada anaknya. "Mengapa?" soal anaknya lagi. 

Khalifah lantas memberikan penjelasan. "Yang akan kita bincangkan adalah di atas urusan keluarga, sedangkan minyak lampu itu dibeli dengan wang negara. Wang rakyat. Aku tidak mahu kerana urusan keluarga, akan merugikan harta kepunyaan rakyat dan negara. Tidakkah kau tahu bahawa kekuasaaan adalah amanat yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak?"

No comments:

Post a Comment

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..