Wednesday, 1 February 2012

Emak saya, Ummi Jannah


Sebelum ini, saya pernah menulis tentang ayah saya dan abah Intan. Kali ini saya mahu tuliskan kongsikan sesuatu tentang emak saya dan ummi Jannah. 

Sewaktu menghadiri jamuan akhawat sempena konvokesyen, saya disapa oleh Jannah. Ketika itu saya turut membawa emak, tok dan adik bongsu saya.

"Kak Amal, saya suka tengok mak kak Amal." katanya ketika kami di belakang (dapur). Mak ketika itu sedang menikmati soto yang dimasak akhawat.

Saya hanya terdiam seribu bahasa dan memegang bahu Jannah, junior saya. Apalah yang mampu saya katakan kepada beliau yang terlebih dahulu merasai pemergian ibunya. Adakah saya harus berkata sabarlah sedangkan saya sendiri belum tentu sesabar beliau. Dalam hati hanya mendoakan beliau.

Jannah ialah rakan, adik malah sahabat yang amat menjadi pendorong dalam diam kepada setiap individu di sekelilingnya. Dia mengambil bidang yang sama dengan 'roomate' saya. Dia akan singgah bilik saya dan kami berjalan kaki sama-sama ke masjid. Setiap butir bicara dan nasihat daripadanya bagaikan emas berlian yang memancar. Mungkin, kisah mengenai  beliau tidak akan diceritakan atau akan diceritakan pada lain masa.

Kemudian saya ceritakan kepada emak saya. Emak saya menjadi hairan. Lalu saya khabarkan, ibunya meninggal semasa minggu peperiksaan ketika beliau di tahun kedua. Kanser hati. Terkejut dan mengalir air mata mak saya mendegar kisah saya mengenai Jannah.

"mana mak tahu mak dia dah tak ada, patutla dia senyap di belakang dapur" kata mak saya. Dalam hati saya; ya Allah, terima kasih untuk kehadiran seorang emak pada setiap anak. Ya Allah, pinjamkan dia untuk ke sekian kali, lagi dan lagi, Ya Allah, kasihkan dia sehingga engkau tempatkan dia di syurgaMu. Ampunkan dosa-dosa ibu bapa kami. Ya Allah, cintalah emak aku, ummi Jannah dan ibu-ibu yang lain.

Setiap kali emak hantar saya di airport (2005 hingga kini) emak akan mengalirkan air mata. Saya kira, emak makin biasa melepaskan kami tahun ke tahun, tetapi entahlah emak tetap mengalirkan air mata. Tidak pula saya bertanya, kenapakah dia bersedih. Cuma kita sendiri yakin bahawa setiap ibu yang melepaskan anaknya, pasti diiringi doa demi doa dan doa.

Kepada Jannah jika membaca di sini, mohon maaf kerana menulis tanpa izin kamu, tapi terlalu banyak untuk dikongsikan tarbiyyah kamu. Terima Kasih Allah dan para muslimah solehah bergelar ibu. Al-fatihah kepada ummi jannah. 26.4.2008.

Amal Harun
WP Labuan.

No comments:

Post a Comment

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..