Sunday 3 April 2011

Wan

paling kiri; wan

Petang rabu, saya pulang membawa buku laporan akademik, 3Al-Radzi, seperti biasa melaporkan pencapaian saya kepada wan. Saya masuk ke rumah dan menuju bilik wan. Sunyi.

"Amal, wan dah tak ada" sapa tok perlahan. Wajah tuanya tenang.

Saya letak beg sekolah, baru beberapa minit, wan berlalu pergi menemui cinta yang Maha Tinggi.

"Innalillahi wa inna ilaihi rajiun" saya melafaz tenang sambil menguncup dahi wan yang amat saya sayangi. Peluh berjuang sakit sakaratul maut di dahi. Wan telah pergi. Saya perhatikan wajah nenek (arwah pergi setahun kemudian) dan tok. Saya keluar. Sepi.

Setiap satu nombor saya dail. Jiran sendiri masih tidak tahu, kepada siapa saya harus sampaikan dahulu.

"assalamualaikum, ni Amal, wan baru saja meninggal" gagang diletak dan nombor lain pula saya dail. Satu demi satu.

Wan, ayah kepada emak saya. Dia menghembuskan nafasnya pada April 2001 di hadapan nenek Sabariah dan isterinya, tok. Saya duduk dengan tok, wan, cuya (arwah pada 2009) dan nenek. Anak-anak wan dan tok semuanya duduk jauh dan kerja. Masa tu, mak dan ahli keluarga saya yang lain di Sabah, pakngah di England, makngah dan maknjang di Shah Alam, makcik dan paklang di Penang.

"wan, Amal takmau balik asrama, makanan dia tak sedap, tak ada kawan, boleh tak wan belikan amal basikal" saya mengusulkan kepada wan setelah lari dari asrama SMKA Al-Irshad. Ia jauh lebih baik berbanding semasa saya SMKA Kota Kinabalu tahun sebelumnya.

"okeh, esok kita pi beli, nak yang macam mana?" wan menyokong. Sungguh saya gembira walaupun sebulan selepas itu, ketua warden memarahi saya teruk sekali di hadapan kelas 2 AF. Saya lansung tidak takut, asalkan dapat duduk dengan tok dan wan. Mak hanya tahu saya lari dari asrama sehari selepas peristiwa dimarahi. Saya peduli apa.

Tinggal di rumah wan, lebih bersistem dan berdisiplin berbanding tinggal di asrama. Wan akan kejutkan saya sebelum subuh, masa tu setelah dia dan tok selesai solat tahajjud. Maghrib dan isyak, jangan lambatkan, pesan wan sebelum dia ke surau. Balik dari sekolah, saya campak beg sekolah dan terbaring depan tv. Wan hamparkan sejadah, berdehem 2 kali, saya faham dan tutup tv, lalu sama-sama bersolat asar berjemaah dengan tok.

"wan, doakan Amal, hari ni ada exam" saya cium tangan dia sebelum ke sekolah. Duit belanja dan nasi lemak siap dihulur.

"Bagoss" dia meneliti setiap pencapaian saya,"tapi bahasa inggeris tak score, koman, tak bagus, baiki lagi".Kepada Wan, ayah dan mak saya sendiri tak pernah begitu 'detail' mendidik saya macam wan buat.

Wan nasihat saya, betulkan bacaan surah, menyemak hafalan, wan cerita kisah surah Yusof sampai mengalir air matanya. Masa tu saya akan duduk mendengar sambil potong kuku wan, picit kaki wan, urut tapak kaki dan geletek kaki wan. Ada ketika wan sangat garang, sampai saya menangis kalau wan tegur, kadang wan sangat lucu.

"sudah 2 jam depan tv, nanti tutup. Baca quran dan baca buku boleh lama macam tu ka?" wan tegas.

Selalu, kawan-kawan saya akan menelefon saya bertanyakan kerja sekolah, kadang saja-saja bersembang. Wan pandang dan saya akan berhenti.

"Wan tak suka Amal buang masa. Sapa talipon tu, duduk di mana, mak ayah dia sapa" banyak soalan wan.

Kalau saya ke kedai, orang akan tahu, itulah cucu Haji Ya'acob. "Wan tak suka orang bantah, tak tutup aurat, banyak tengok tv..."marah wan.

Kalau wan yang jawab telefon, kawan-kawan saya akan memutuskan talian bagi mengelakkan soalan siasatan wan. Segalanya dipantau oleh wan.

Saya singgah di pusaranya seminggu sekali sebelum ke sekolah.

Al-Fatihah.

Amal Harun
Labuan

No comments:

Post a Comment

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..