Selepas subuh, saya dan rakan serumah bergerak ke pasar. Itulah rutin kami hujung minggu. Kami juga bersarapan di kedai. Menikmati waktu hujung minggu di warung mi kari. Menu pilihan ialah mi Jawa, iaitu mi kuning bersama kuah yang sedap, entahlah, yang pasti ada campuran ubi keledek. Ada juga hirisan isi ayam dan sengkuang yang segar. Sedapkan? Penampilan mi Jawa seperti ini.
Saya ke sinki membasuh tangan. Apabila saya menuju ke meja saya, saya melalui meja sepasang suami isteri berbangsa Cina, warga emas. Saya senyum dan menyapa, kerana hampir setiap kali ke warung tersebut saya berjumpa mereka. Kali ini saya cuba menyapa.
"Aunty, tak pedas ka makan nasi lemak?" saya memulakan.
"Tak, ini sambal tidak padas. Bagus, saya suka" lebih ceria dia menjawab.
"Kami suka nasi lemak sini, tidak padas, kami suka ini nasi lemak, bagus" suaminya bersungguh meyakinkan saya akan kesedapan nasi lemak. Saya mengangguk setuju, walhal saya tidak suka sangat nasi lemak di situ kerana sambalnya yang tidak pedas, tetapi masih sedap, malah jika di Labuan, inilah nasi lemak yang paling sedap pernah saya makan.
"Saya tidak bulih makan padas, lagi ini macam sudah tua, kalau makan padas jadi sakit dada"
"oooo, ye la kan kalau tua, banyak pula tak boleh" saya menambah hehee.
"iya ba, kalau muda nda apa, semua bulih makan, sikalang tua, manyak sakit" dia menambah lagi sambil senyum menampakkan sebaris gigi. Saya pasti, itu gigi palsu. Dapat dibezakan ciptaan manusia dan yang asli daripada tuhan.
"bah, ya la aunty, jemput makan" saya menamatkan perbualan. Inilah segmen mencabar diri bermesra dengan orang lebih tua. Saya mahu belajar berbasa-basi dengan orang-orang tua di samping menggembirakan hati, mungkin dia sunyi. Tetapi pasangan suami isteri Cina ini memang ramah. Didoakan agar mereka diberi hidayah, pergi menemui tuhan dalam iman.
Saya belajar, kadang-kadang kita prejudis, atau menyangka orang yang prejudis. Apa lagi lain-lain kaum. Maka cabaran bermesra dengan bukan Muslim dimulakan Saya teringat suatu analogi, lihatlah sesuatu dengan mata hati. Juga melihat dengan mata yakni mata lebah bukan seperti mata lalat.
Mata lalat sentiasa mencari najis atau sebarang benda kotor, lalu mencari tempat lain menyebarkan kekotoran, matanya hanya menumpu kepada mencari kekotoran dan menyebarkan kekotoran.
Mata lebah pula hanya mencari bunga demi bunga untuk menghisap madu. Setiap masa lebah mencari bunga, buanga yang baik. Malah menyebarkan benih baik. Jadilah lebah yang sentiasa menggunakan matanya mencari kebaikan pada setiap bunga dan menjadi agen pendebungaan secara tidak lansung. Bukan seperti lalat, agen penyebaran penyakit.
Nabi kekasih Allah pernah berpesan melalui riwayat Tirmizi: Orang yang bijaksana ialah orang yang sentiasa melihat ke dalam dirinya sendiri.
Lihatlah pada sisi yang baik, lihatlah ke dalam diri sebelum melihat ke luar, nanti pemandangan di luar akan berkesan dan menghadiahkan seribu oengajaran.
Amal Harun
Kepulauan Labuhan