Sunday, 8 January 2017

Dua Detik

Kadang kala bila solat, aku rasa jauh dari Tuhan walau aku cuba sedaya upaya fokus solat. Itu belum kira saat solat mengejar waktu ke kelas, atau solat sebab lepas tu kau nak keluar atau solat sambil anakmu menangis menarik telekung.

Ada inisiatif diambil untuk kembali fokus dan merasa ketenangan solat. Antaranya ialah baca buku fahami bacaan solat. Ya, itu sangat membantu. Baca dan faham secara satu persatu perkataan itu. Seperti bacaan iftitah, qunut, fatihah dan lain-lain bacaan. Memang amat menggambarkan kau sedang memuji tuhan yang Maha besar, Maha terpuji. Dan amat membuatkan diri merasa kerdil amat sekaligus menginsafi bahawa kau hamba yang amat-amat lemah, sangat perlukan Allah.

Jadi lepas solat tak adalah kau akan rasa sombong apa lagi perasan bagus. Sebab sudah berikrar sebagai hambai kepada Tuhan sekalian alam.

Ya, inisiatif ini amat membantu. Namun sayang, kemahiran ini dipelajari setelah kembali dari Makkah. Tak berpeluang mencuba merasakan ketenangan solat di Masjid Nabi di Madinah mahupun di masjidil haram. Bukan tak tenang, cuma kurang fokus disebabkan gangguan luar.

Contohnya, solat di Raudhah, kepala aku disepak kerana ruang solat yg sempit di samping masa yg terhad. Ada ketika, solat dengan tanpa gangguan sampai boleh berdoa dan menangis. Terharu dapat berada di masjid Nabi, dekat dengan jasad mulia Baginda. Begitu juga tatkala solat di mataf, terganggu aku dengan orang yang lalu lalang, tidak berhenti  tawaf untuk solat fardhu bersama imam. Pendek kata sukarlah pada waktu itu untuk aku fokus dalam solat. Ada ketika aku solat asar di masjid Nabi, wanita sebelahku tak solat ikut imam, dia solat sendiri. Bila waktu 
sujud dia keluarkan batu dan sujud atas batu. Ah!! Terganggu solatku, macam mana tak nampak, saat dia nak sujud aku sedang duduk tahiyyat awal. 

Tapi 2 detik ini membuat aku terlalu dekat dengan Allah untuk merayu merintih. Pertama, saat solat subuh di hospital  ketika menunggu giliran ke dewan bedah untuk bersalin. Masa tu aku fikir, inilah solatku terakhir. Sama ada solat terakhir jika lepas ni aku mati ketika proses
 melahirkan atau jika aku hidup, kena tunggu suci dalam satu tempoh baru dapat solat. 

Kedua, saat anakku sakit di hospital. Aku solat sebelah katil, ketika dia sedang tidur. Allahu, anakku hanya muntah, tapi sedih dan bimbang bukan kepalang. 

Jadi, tiba saat aku malas atau lambat solat, aku cuba kenangkan 2 detik ini. Allah itu amat dekat melebihi urat leher. Maknanya dekat sangatlah. Aku tak pasti orang macam mana, cuma carilah titik yang dapat kau rasa kedekatan kau dengan Allah. Contohnya, solat subuh pada hari kau nak pergi exam atau temuduga. Pastilah setelah berhempas pulas berusaha, kau serah segalanya pada Allah, juga mengharap pertolongan Allah agar dimudahkan urusan pada hari itu. 

Sekian, sedikit yang dapat aku kongsi.

Amal Harun