Masa belajar dahulu, sebagai pelajar pendidikan, kami dihujani pelbagai teori. Apa beza setiap teori pon sesungguhnya saya masih tidak faham. Pensyarah akan kata, siapa audien kamu? Teori apa kamu guna? Kenapa ajar begini?
Berpegang kepada teori dan model-model pendidikan sepatutnya menjadi makanan ruji kepada para pelajar pendidikan dan para guru. Tetapi, waktu masih bergelar pelajar dahulu, memang tak pernah nak menghayati semua ini. Paling belajar yang pulun sangat pun ialah subjek-subjek yang major atau minor. Subjek-subjek pendidikan adalah amat sukar....sebab kena banyak membaca dan pada waktu itu kami masih jauh dari lapangan sebenar. Pendek kata malas membaca dan mengkaji.
Sekarang sudah 7 tahun mengajar....tiba-tiba rasa sungguh 'season'. Lemau. Ditambah dengan cabaran dan kualiti pelajar sekarang. Zaman berubah menyebabkan cara belajar pelajar kini berubah. Generasi Z. Cara mengurus pelajar juga berubah.
Hanya satu saja teori yang boleh diingat sekarang ialah VAK. Teori zaman tok kadok yang masih relevan. Secara praktikal, masih tak menghayati dan tak buat pon. Main belasah saja masuk kelas. Lebih kepada exam oriented.
Begitulah saya dicorakkan dalam sistem pendidikan arus perdana sejak bergelar pelajar sekolah kebangsaan hinggalah ke universiti awam, dan sehingga kembali berkhidmat di institusi pendidikan awam.
Namun jika mengikut arus, kecemerlangan itu diukur oleh kebolehan merangkul A. Fungsi guru pula ialah penyampai knowledge. Itulah kekhilafan saya selama ini?
Tapi musykil juga, pembelajaran abad ke-21 sendiri tidak dihayati oleh golongan pengurusan pendidikan. Guru dianggap gagal jika keputusan pelajar tidak cemerlang. Pembelajaran abad-21 yang kementerian pelajaran jelaskan dah bagus, guru-guru juga harus berjuang bersungguh-sungguh mengamalkan, namun pihak pengurusan juga mestilah seia sekata memperjuangkan hasrat ini.
Maksudnya, jika keputusan pencapaian lemah, janganlah membuat kesimpulan umum yang begitu mudah bahawa guru gagal mengajar pelajarnya. Guru itu fungsinya ialah mengajar pelajar agar bijak mendapat A dalam semua subjek...itukah yang diinginkan? Guru akan membuat apa saja, menyuap segala-galanya agar pelajar cemerlang dalam peperiksaan!
Saya suka berkongsi tulisan seorang ustaz pemikir dan pejuang pendidikan, beliau menyatakan guru seperti berikut:
"guru adalah murabbi yang memimpin learning process. Bukannya menjadi mangsa ISO, laporan demi laporan, memuaskan hati pihak atasan, dan meninggalkan core utama kepada pendidikan iaitu learning"
. - See more at: http://saifulislam.com/2015/11/sistem-pendidikan-mendepani-fitnah-dajjal/#comment-94325
Sesungguhnya, di akhir semester ini, pelajar saya sudah hilang semangatnya, mereka mahukan perkara yang seronok berbentuk hiburan dan menyenangkan lagi pantas. Hakikatnya untuk mengusai kemahiran menyelasaikan masalah dan kemahiran berfikir, ia harus didasari dengan pengetahuan asas, apatah lagi kimia organik, harus dimulakan secara asas yang mungkin.
Kerana kami mengikut arus perdana, mencapai KPI dan dan bersaing mengikut pencapaian kecemerlangan pelajar. Hatta meletakkan ranking setiap guru. Dari 1 sisi bagus, tetapi dalam banyak sisi, guru pula akan bersaing melahirkan pelajar pandai A banyak, namun natijahnya pelajar kurang kemahiran berfikir dan rendah daya usahanya. Apa jadi bagi guru di ranking terbawah? Makan gaji butakah? Kihkihkih...
Sudah tentu kami harus melahirkan pelajar cemerlang yang harus berjaya menempatkan diri di kursus hebat di universiti ternama...namun pelajar yang tidak berjaya bukan bermakna gagal, tetapi mempunyai minat dan kecenderungan yang berbeza selain faktor-faktor Gen Z.
Jika benar kecemerlangan pelajar adalah cerminan kecemerlangan sistem pendidikan, kecemerlangan pengurusan pendidikan dan kecemerlangan para pendidik, buatlah eksperimen, dengan mengeluarkan pelajar SBP dan masukkan pelajar sekolah harian biasa, adakah sekolah yang sama, guru yang sama dapat mencemerlangkan pelajar tersebut sama dengan pelajar sebenar SBP?
Usah mendabik dada pada kemerlangan peperiksaan pelajar saja. Insaflah pendidikan kita masih banyak ketempangannya di sana sini. Kita semua bertanggungjawab, sama ada guru dan bukan guru. Tanggungjawab kita ialah mendidik diri dan masyarakat.
Didikan itu haruslah berdasarkan kepada perkara tersebut:
1. Sistem kepercayaan (akidah)
2. Sistem pemerhatian dan Sistem Fikir
3. Sistem Nilai
InsyaAllah jika pendidikan kita berteraskan kepada 3 elemen di atas dengan penuh iltizam dan bersih dari campur tangan kepentingan politik, maka akan lahir generasi 'sihat'. Tak adalah kes ponteng, zina di kalangan pelajar universiti atau golongan terpelajar yang pecah amanah.
Nota: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, tanpa mendedahkan identiti mana-mana individu mahupun institusi tertentu.
Amal Harun
Labuan.