Sunday, 29 December 2013

Bilakah?

Adakalanya kawan-kawan saya berkongsi kerunsingan yang mereka belum bertemu jodoh. Begitu juga dengan anak-anak didik saya yang telah melangkah ke universiti. terpapar di status facebook mereka. Pastinya, masing-masing menanti ketibaan jodoh.

Kalian, jodoh bukan untuk dinantikan meskipun Allah telah janji menetapkan jodoh buat kita. Jodoh adalah yang diusahakan. Terus semua orang tanya bagaimana berusaha mendapatkan jodoh? Ikhtiar itu pelbagai contohnya minta orang carikan atau ibu bapa pertemukan, bukan menggedik di program sosial, laman sosial atau berpacaran di kampus. Itu bukan ikhtiar, itu cari bencana.

Banyaklah kaedah, tetapi pada saya semua kaedah itu adalah wasilah pertemuan jodoh. Maksud saya, cara pertemuan itu nombor dua jika itu dikata ikhtiar. Cara nombor satu ialah memperbanyakkan ilmu, mendalami ilmu untuk diri dalam pelbagai aspek. Sebab ilmu untuk diamalkan, bila amalan kita berlandas ilmu, hidup kita akan sentiasa selaras dengan kehendak agama. Ilmu jugalah membentuk keperibadian akhlak yang memenangi hati manusia, dan dengan ilmu akan membentuk kematangan berfikir membuat keputusan. Ilmu juga menjaga mengurus emosi. Dan dengan ilmu, amal ibadah kita kepada Allah menjadi sohih.Bukankah menikah suatu ibadah? Jom cari ilmu!!

Baiklah, bagaimana mencari ilmu untuk mempersiapkan diri ke arah baitul muslim? Letakkan diri dalam tarbiyyah dan dakwah. InsyaAllah ilmu itu bukan di awal proses perkahwinan malah sepanjang usia perkahwinan. Tarbiyyah membentuk individu muslim yang bebas dari tuntutan hawa'. Individu muslim keluaran tarbiyyah ini seterusnya akan membentuk keluarga muslim dan matlamat akhirnya ialah masyarakat muslim sampailah ustaziyatul alam. Jauuuuhhnya!

Ya, impian besar itu hanya dimulai dengan tarbiyyah individu seterusnya usaha dakwah atas kefahaman yang jelas terhadap islam. Justeru saya menasihatkan pelajar yang berada di universiti, jagalah diri dan iman, Sertai tarbiyyah dan dakwah. Inilah jalan-jalan ke arah pernikahan kerana Allah.

Ia juga menyibukkan anda di usia remaja dan zaman kampus dari peluang-peluang kemaksiatan seperti 'couple' sampai membawa kepada perbuatan zina. Naudzubillah. Ingatlah, permulaan pertemuan didasari dengan dosa, payah menjemput sakinah, mawaddah dan rahmah ke dalam syurga kecil kita di dunia.

Tak dinafikan saya juga lambat, tapi pada saya usia saya berkahwin pada 27 tahun adalah 'ideal age' kerana masing-masing kami tahu membawa diri, lebih berterus-terang dan terbuka menerima keburukan dan kekurangan masing-masing. Tidaklah bermaksud tiada perselisihan, tetapi semuanya didasari dengan berlapang dada.

Pernah berlaku krisis, saya bisikkan pada diri, adakah kita hanya meminta atau berkorban memberi? Tidak kita ditakdirkan menikmati ketika memberi dan menerima. Semuanya dibalikkan kepada nawaitu menikah. Bahawa, aku menikah kerana Allah. InsyaAllah Allah pelihara hubungan ini.

Bila, di mana dan dengan siapa, tak usah gusar gundah gulana, persiapkan diri dan lihat kesediaan mahupun kemampuan diri. Akan tiba masa sebagai ketetapan Ilahi.

Amal Harun
Labuan