mereka mencalonkan dirimu untuk suatu perkara, seandainya kau memahaminya, maka jagalah dirimu dari hal-hal yang hina...hassan al-banna
Monday, 1 August 2011
Catatan Ramadhan 1: Kasihnya Allah
Ketika mengangkat takbir rakaat pertama tarawih, jatuh air mata. Tanpa disangka, tiba di Ramadhan yang baru. Kasihnya Allah, masih memberikan kesempatan bertemu di tahun ini. Debar menantikan detiknya Ramadhan, seolah jangan tiba lagi, saya masih belum bersedia, kerana saya tidak mahu rugi lagi.
Maha Suci Allah yang menjadikan pelbagai sudut tarbiyyah kepada manusia, pelbagai sisi hidup sebagai tanda kasihnya pada hamba. Saya memohon ampun, seandainya apa yang bakal dikongsi seterusnya menyumbang rasa kurang selesa, mudah-mudahan jauh dari prasangka. Mohon dijauhkan sifat riak, ujub atau sum'ah, biar Allah menilai, namun izinkan ia menjadi bahan kongsi, dengan harapan buat muhasabah diri.
Hari ini saya diasak bertubi-tubi soalan, kerana esoknya peperiksaan Kimia. Ada seorang pelajar masih setia belajar Kimia, sedang pelajar lain datang dan pergi. Terasa bosan, saya bertanya perihal Ramadhan pertama di kolej. Adakah mereka menyertai program tadarus dan lain-lain.
"Miss, saya mahu ikut tetapi tidak tahu, lambat saya baca, saya takut salah" sedih sekali nada suara.
Saya katakan bahawa tadarus itu belajar, bukan hanya baca. Jadikan Ramadhan ini 'turning point' kita mencintai dan mempelajari Quran.
Saya tidak menyangka, nasihat pendek itu membawa kami bertemu dalam Quranic Circle.
"Biar saya ajarkan, saya tidak arif, tetapi, kita sama-sama belajar"
"Tapi kami sepatah sepatah baca, bagaimana, lambat dan terlalu lambat" dia menegaskan.
Setelah asar, kami bertemu seperti yang dijanjikan.
"ini bulan Ramadhan, ia istimewa, bulan kehebatan ummat Islam, bulan diturunkan al-Quran, bulan memohon ampunan tuhan"
"mari kita mulakan"
Seorang membaca 5 ayat, dan seorang lagi saya minta beliau menyemak. Bacaan yang ok dan harus banyak latihan. Kemudian saya suruh seorang lagi sambung.........hati saya mula berdebar, bacaan yang sungguh merangkak. Maafkan saya.
Akhir sekali saya bertanya latar belakangnya.
"Saya belajar separuh-separuh dan ini kali pertama membaca quran di sini. Saya mahu belajar, tetapi tidak pernah ada peluang...."basah pipinya.
Maafkan saya, saya terharu dengan ketulusan hatinya. Saya minta dia baca terjemahan ayat. Kali ini, saya sendiri sebak. Saya minta beliau membaca terjemahan ayat 3;110.
"Ayat ini Allah tujukan kepada kita. Esok kita belajar lagi. Kita berhenti di sini"
Amal Harun
Labuan
Labels:
tarbiyyah,
travelog amal:satu pencarian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Terharunya baca entri ni . . . semoga Allah beri peluang menjadi mudarris yang membantuNya mengajarkan ilmu-ilmuNya dalam Madrasah Ramadhan milikNya kali ini. Ameen.
ReplyDelete