Friday, 26 August 2011

Catatan Ramadhan 21: Solat Malam


Siapakah yang lebih baik menjadi guru bagi seorang anak? Sudah tentu ibu bapanya. Lebih spesifik, ibunya. Entri kali ini ditulis, dikhususkan kepada emak saya. Signifikan kehadiran seorang ibu kepada seorang anak, mengajar benda yang mudah dan kecil tetapi implikasinya panjang dan besar.

Bagaimana emak saya mendidik kami berterawih?

Semasa di Kuala Penyu, ayah saya menjadi imam Masjid Kuala Penyu. Emak akan ikut serta ke masjid. Tahun pertama berterawih di sana agak pelik, tidak, ia tersangat pelik. Tidak ada wanita yang bersolat fardhu di masjid, apatah lagi solat sunat. Apabila kami ke sana, hampir seminggu kepelikan itu terjadi. Tetapi pada malam seterusnya, seoarang demi seorang datang menyertai dan pada tahun berikutnya mulai ramai dan meriah. Ia fenomena biasa kerana Kuala Penyu ketika itusangat jauh dari bandar, hanya pekan kecil, jauh dari pembangunan dan amat sedikit kesedaran agama Islam.

Namun, barakah Ramadhan, semakin lama, tahun berganti tahun Masjid Kuala Penyu kian meriah dengan para muslimat dan anak-anak muda. Ia hanya berdasarkan pengamatan kasar saya ketika berusia 8 tahun sehingga saya tingkatan 1 kemudian kembali mengamati kemeriahan masjid tersebut pada tahun 2008, latihan mengajar.

Ketika solat sebelah emak, hati hanya teringat pada rakan-rakan yang riang bermain di luar masjid.

"mak, berapa lagi mak?" setiap selesai solat saya tanya.

"jangan menjadi orang rugi, ramadhan datang sekali" itu pesanan ketika kecil.

Betul, mencorakkan minda anak-anak, mulalah dari kecil, biar ada paradigma yang jelas terhadap konsep ibadah dan ramadhan.

“Sesungguhnya bagi jasad kamu ke atas kamu ada hak dan sesungguhnya bagi anak kamu ke atas kamu ada hak” (Riwayat Muslim)

Didiklah anak-anak.

Amal Harun



No comments:

Post a Comment

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..