Ketika melalui perjalanan ke Kota Kinabalu melalui Menumbok, tiada apa yang menarik melainkan hanyalah hutan, semak-samun, sesekali rumah orang dan kuburan. Jelas anda pasti bosan, dan pasti jelik bila saya sering memuji keunikan dan keindahan Kuala Penyu.
1993, pertama kali menjejaki bumi di bawah bayu dan tiba di kawasan ceruk jauh dari Kota Kinabalu. Apa yang dapat disaksikan hanyalah batu-batu kerikil dan jalan berdebu. Anak-anak babi, kerbau dan bangau ataupun paya bakau setelah lautan membiru. Kuala Penyu 150 km dari Kota Kinabalu tanpa jalan berturap sangat jauh umpama Kuala Lumpur ke Sudan atau New Zealand.
Setelah meninggalkan Sabah pada tahun 2002, saya kembali semula ke Kota Kinabalu. Sesekali saya melawat Kuala Penyu. Pemandangan tetap sama kecuali jalan sudah berturap menjelang 2005. Warganya masih sama. Sangat nostalgia. Hanya melalui jalan berdebu, hutan belukar, paya bakau dan jalan luas, panjang di tepi laut. Tepat sekali, ia dapat mengingatkan saya ketika kami sekekuarga tinggal di Kuala Penyu.
2009, mungkin ini kali terakhir saya pergi ke Kuala Penyu. Itu yang saya fikir. Tetapi, setelah ditugaskan di Labuan saya tidak dapat lari dari melihat benda yang sama. Memori berulang memori.
Dahulu semasa saya lalu, saya hanya fikirkan cepatlah sampai. Saya hanya lihat ladang tembikai sebagai ladang tembikai. Pantai, hanyalah pantai dan kemudiannya tetap pantai yang sama walaupun 200 kali melalui pantai itu.
Bila dewasa, pantai itu dilalui lagi kemudian ia bukan setakat pantai, tetapi dapat dilihat emak menyediakan kami bekal nasi lemak untuk berkelah, saya berlumba basikal dengan Nik Nur Fadhilah, dikejar anjing, dan kaki adik terluka akibat basikal saya.
Itulah pemandangan biasa yang mula signifikan. Apabila sedang melalui ia dilihat kosong dan hambar. Setelah berjauhan atau tiada lagi dari rutin, saya mula sedar yang menghargai masa ketika melalui perjalanan itu penting.
Samalah dengan hidup bersama manusia. Ketika ada bersama, ‘moment’ itu biasa saja, tak terlihat lansung istimewanya. Ditakdirkan Tuhan, dia’ tiada lagi’ dalam erti kata yang lebih luas (mati, hilang, jauh atau memiliki atau dimiliki), maka barulah nampak signifikasi kehadiran manusia itu dalam hidup kita. Barulah belajar nak menghargai, dan ketika itu mungkin kita sudah terlambat. Betulkan?
Apa yang kita lihat, tak semestinya benar, penglihatan kita terbatas, penafsiran jadi salah. Lihat dengan mata hati sesudah terlambat. Tapi itu lebih baik dari terus buta mata hati. Sebab itulah kata bijak pandai; anda ialah apa yang anda lihat.
Bagi saya, nikmatilah sepanjang perjalanan itu, biar sakit atau pahit, manis dan gembira, ia tetap bahagia kerana sepanjang perjalanan itulah penentu akhiran. We are enjoying the journey, and Allah is our final destination.
Allah berpesan; "Wahai manusia, Sesungguhnya kamu telah bekerja keras, sekuat-kuat kerja, menuju Rab (Tuhan)mu, maka kamu akan menemui-Nya (menemui Allah)."
Amal Harun
W.P Labuan
2 Dec 2010
No comments:
Post a Comment
nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..