Friday, 1 October 2010

Duit salam


Sudah masuk tahun kelima rutin ini berterusan, emak dan ayah menghantar saya di lapangan terbang. Sudah takdir jarak memisahkan kami.

Dulu, saya hulurkan salam memeluk emak dan ayah sebelum berlepas, kemudian emak hulurkan beberapa keping not, saya tolak tapi mak tetap bagi. Saya ambil.

Dulu saya sering lihat emak dan bapa saudara bersalam tok dan wan kemudian ada duit dalam salaman. Saya mengimpikan suatu hari nanti saya mahu memberi seperti itu. Sudah tentu merasa tangan yang memberi lebih gembira daripada yang menerima.

Kini, setelah salam, emak memeluk saya, saya cuba sertakan bersama sejumlah wang yang tak seberapa. Emak tolak tetapi saya kata saya mahu bagi juga. Rupanya seronok memberi. Kemudian ayah, ayah kata; banyak ni...

Ayah dan emak, ia hanya sejumlah wang yang sangat kecil. Lansung tidak signifikan untuk membayar kasih sayang emak dan ayah selama membesarkan dan mendidik saya. Tiada nilai kalau mahu dibanding dengan masa dan perhatian yang diberi emak dan ayah kepada saya ketika sakit. Maka tak mungkinlah mampu saya balas.

Allah yang Maha Mengetahui segala isi hati, saya mahu menjadi anak yang baik, hamba yang bersyukur . Terima kasih dengan al-Rahman dan al-RahimMu saya dikurniakan kasih sayangMu menerusi emak dan ayah. Banyak sangat nikmatMu yang saya lupa dan jauh dari rasa syukur.
Ketika emak, ayah dan adik-adik menghantar saya.


Jauh sekali mahu menyatakan kebaikan diri, hanya mahu pulang ke laman ayah bonda.
Amal Harun
W.P Labuan

No comments:

Post a Comment

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..