Monday, 18 October 2010

Si Peminta Tak Malu


Selesai solat isyak, para pelajar bersolat hajat secara berjemaah. Kemudian seorang pelajar menyampaikan tazkirah pendek. Saya pun duduk bersandar di almari buku sambil memasang telinga. Pelajar perempuan yang lain khusyuk mendengar. Dengan nada yang santai dan biasa-biasa dia menyampaikan tazkirah yang begitu masuk ke hati.


Manusia memang suka meminta. Bila manusia meminta kepada manusia berulang
kali, manusia yang meminta itu akan berasa malu. Manusia yang memberi pula lama
kelamaan akan berasa berat dan tidak selesa.





Manusia memang suka meminta. Manusia meminta kepada Allah setiap masa
menerusi doa. Bermula bangun tidur hingga memejamkan mata, dirinya penuh dengan
permintaan kepada tuhan. Tidak cukup dunia, akhirat pun diminta juga. Tidak
pernah letih untuk meminta kepada tuhannya, tidak pernah pula malu meminta
berulang kali dengan permintaan yang sungguh spesifik.



Allah yang memberi itu tidak pula terasa beban, tidak akan kurang sedikit
perbendaharaanNya, tidak pula jemu mendengar rintihan dan permintaan hambaNya.



Apabila manusia menerima apa yang dimintanya daripada manusia lain, dia
kadang terlupa menghargai manusia si pemberi. Ini membuatkan manusia pemberi
berasa kecewa dan mungkin marah atau sedih. Tetapi apabila permintaan manusia
kepada Allah dikabulkan, mendapat apa yang dihajati, manusia itu lupa segala apa
yang pernah diterimanya, Allah tidak kecewa, tidak marah dan hukum, sebaliknya
Allah bagi masa untuk manusia itu sedar, menginsafi silap dan dosanya. Juga
mensyukuri segala nikmat yang dikecapi.



Di mana malu manusia kepada Tuhannya?


Tiba-tiba, duduk seorang pelajar perempuan di hadapan saya, menangis semahu-mahunya. Ah, terkesan barangkali, maklumlah mendekati hari-hari peperangan peperiksaan akhir matrikulasi. Saya kembali memasang telinga, memfokuskan akal kepada butir bicara si pelajar yang tak dikenali rupa dan nama.


Sedarlah kita ialah peminta yang hina. Kita lupa kita pendosa, penuh dengan
takabbur dan ego. Tukaran terhadap segala nikmat kurniaan Allah adalah rasa
syukur seorang hamba. Beriman kepada Allah!



Sujudlah memohon ampun, kita memang hina, asal kejadian kita juga dari air
yang hina.


Saya tarik nafas dalam-dalam. Terlalu bagus isi tazkirah malam ini. Cepat mengesat air mata, melipat kain sembahyang, menyalami pelajar sambil memberi kata semangat menempuhi hari peperiksaan.


Semoga Allah bersama kamu pelajar-pelajar KML. Kita ummat terbaik, ummat pertengahan.


Amal Harun
W.P Labuan.

No comments:

Post a Comment

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..