Monday, 10 May 2010

Toyota Alphard dan Basikal Tua



"Awak seronok jadi cikgu, i meant mengajar?" Dr.Sabariah bertanya saya sambil menatap komputer menyiapkan slide bengkel bersama guru cemerlang di Labuan.

"Emmm" saya angguk, khusyuk menonton Greys Anatomy.

"Awak memang minta? Memang minat nak jadi cikgu?" dia tanya lagi.

"Minta sebab mak suruh. Tak minat, tak suka cakap dengan public, tak pandai membuat
penerangan apa lagi mengajar." Terus terang pada pensyarah saya. Dia memang tidak terkejut, mungkin ramai lagi yang seperti saya, iaitu keterpaksaan dalam bidang pendidikan.

Tetapi 5 minit kemudian saya sambung begini; "saya suka dengan apa yang saya buat sekarang", dan dia pun senyum membalas.

Nature dan nurture

Saya bukanlah 'bond to be a teacher', tidak pasti sama ada kesukaan saya itu adalah faktor nature atau nurture. Ia hanyalah rasa tangungjawab, kasihan dan gembira membantu mereka, menjadi kawan kepada pelajar, berkongsi suka dan sedih sesama manusia. Maafkan diri saya suatu ketika dulu yang sukar menerima diri di arena pendidikan.

Kita lazim mendengar mendidik tugas mulia dan kemuliaan mendidik memang tidak dinafikan. Tetapi kemuliaan itu juga ditentukan oleh keperibadian pendidik sendiri. Syukur, berada di arena pendidikan mengajar kita mendidik diri sebelum dan sambil mendidik orang lain. Pendidik itu sendiri menjadi qudwah!

Alphard dan Gerek (baca:basikal)
Dulu......

Seorang ayah sebagai pesawah berkata kepada anak sambil menuntun basikal tuanya: "Ali, kau belajar baik-baik ye nak, nanti besar jadi macam cikgu tu".

Sekarang.....

Seorang ayah yang bergegas ke pejabat memberhentikan Toyota Alphard putih di hadapan sekolah sambil bersalam dengan anaknya; "Papa nak Ally belajar bersungguh-sungguh ye, kalau tak nanti jadi macam cikgu tu la".

Pendidikan yang mengajar saya

Saya mula menerima bahawa Allah memang melorongkan hidup saya di bidang ini. Pertama; menerima tawaran dengan mudah. Kedua: tawaran yang positif hanyalah pendidikan belaka. Ketiga: menerima biasiswa penuh walaupun memohon sambil lewa dan lansung tidak berharap. Keempat; segala urusan dimudahkan.

Pengajaran besar

Saya hanya melihat semua itu sebagai kebetulan. Benarlah Allah kata jangan benci, mungkin itu baik bagi kamu. Semuanya ada hikmah, setiap kesusahan ada kesenangan dan banyak lagi Allah ingatkan hambanya.

Sayyid Qutub dalam tafsir Di bawah naungan al-Qur’an juga aku dapat mempelajari bahawa di dalam alam al-wujud ini tiada ruang bagi kebetulan yang membuta tuli dan bagi kejadian-kejadian luar dugaan yang mendadak.“
إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ (49)
49. “Sesungguhnya Kami ciptakan segala sesuatu itu dengan ukuran yang rapi”
(Surah al-Qamar)

Tidaklah setiap perkara yang berlaku di atas muka bumi ini berlaku secara kebetulan mahupun di luar dugaan melainkan untuk setiapnya telah ditentukan secara teliti oleh Allah dan setiap yang berlaku dengan izin Allah terkandung di dalamnya sebab yang hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui akan kejadiannya.

Segala-gala yang berlaku pada masa sekarang telah ditentukan beribu-ribu tahun dahulu dan ditulis di Luh Mahfuz. Kita tidak sedar apa yang wujud di dunia sekarang sebenarnya telah tercatat dan ditentukan akan berlaku.

Orang yang beriman menggunakan sebab-sebab kerana ia diperintah berbuat begitu, tetapi Allahlah yang menentukan kesan-kesan dan natijah-natijahnya. Keyakinan kepada rahmat Allah dan keadilan-Nya, kepada hikmat kebijaksanaan Allah dan ilmu-Nya itulah satu satunya tempat perlindungan yang aman dan tempat yang selamat dari bisikan-bisikan dan godaan-godaan syaitan.

Kesimpulannya, al-Qur’an membentuk kefahaman terhadap alam, Islam, dan semua dan merupakan sumber bagi kunci-kunci Allah supaya kita beriman, lebih kenal hidup dan supaya hidup tidak sia-sia. Selain itu, kita perlu kembali kepada tujuan asal penciptaan manusia di muka bumi ini, iaitu: sebagai hamba yang taat dan patuh pada Allah dan sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Anda yang membaca hingga ke baris ini saya ucapkan terima kasih. Mungkin kesimpulan dan isinya pincang, tetapi jawapan kepada kecelaruan saya itu dan proses melihat kehidupan diperolehi setelah saya mula mempelajari sedikit demi sedikit Quran itu.

Amal Harun
W.P Labuan

No comments:

Post a Comment

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..