Monday, 1 July 2013

Kronologi...jawapan kepada semua yang bertanya.

Ujian 

Menjelang usia melepasi 25 tahun merupakan fasa kerisauan ayah dan emak tentang jodoh saya. Banyak inisiatif ayah dan emak tentang calon suami saya. Semua ini setelah saya memberi ‘mandat’ kepada mereka tentang siapa saja yang baik menurut emak dan ayah saya, pasti baik juga untuk saya, walaupun hati saya tak yakin.

Tidak sempat saya membantah tentang pencalonan ayah atau emak, pihak di sana tiba-tiba menarik diri, membatalkan niat atau memberi alasan tidak sekufu. Dari satu sisi saya sedikit gembira dan bersyukur saya tidak dijodohkan disebabkan kesediaan hati saya yang belum mantap. Tetapi dari sisi yang lain, saya kasihan dengan ayah tentang inisiatifnya yang belum berhasil, dengan kata lain; anak daranya makin berumur, tetapi masih solo.

Paling mengharukan apabila ayah selalu menyatakan tentang nazarnya mahu menyembelih kambing Jamnapari semasa pertunangan saya, walhal ketika itu tiada siapa mahukan saya. Perlahan-lahan mata saya basah mendengar kerisauan ayah yang tidak dizahirkan.

“ayah mau sembelih kambing hehee” kata ayah, nada gurauan tapi serius.

“ayah, kenapa kalau kak amal bertunang ayah nak sembelih kambing, tapi adik bertunang hari tu tak sembelih kambing pun?” tanya baby, adik bongsu kami. Serba salah ayah nak menjawab kan, sebab masa tu kami semua dalam kereta termasuk adik saya yang sudah bertunang.

“ sebab kak amal dah tua, adik muda lagi, jadi ayah nazar, supaya kak amal tak jadi anak dara tua” jelas saya direct  to the point juga. Ayah tak bagi respon juga, dia diam. Manalah tahu hati ayah selaku wali. Berat  tanggungjawab bela anak perempuan, dah 27 tahun belum lepas-lepas. Ok janji nak jadi baik supaya ayah tak share dosa yang saya buat.

Berlainan dengan emak, yang terus ‘direct to the point’ menyatakan kerisauan saya yang tak kahwin lagi kemudian bekerja jauh dari pandangan emak dan ayah. Semua itu berjaya saya jawab dengan berkali-kali mengingatkan mereka tentang jodoh kuasa Allah, jika tidak di dunia, Allah janji akan bagi juga di akhirat. Allah memberi yang terbaik kepada kita menurut pengetahuan-Nya yang Maha Luas. Tetapi di sudut hati sendiri memikirkan kebenaran impian dan harapan emak dan ayah, kemudian cepat-cepat mengingat janji Allah “Thoiyyibin lit Thoiyibaat”.

Emak pernah sms saya ketika di Tanah Suci. “Amal, mak doakan amal (jodoh) di hadapan multazam, tengah-tengah panas mak solat”. Ya Allah, antara tempat mustajab doa ialah di hadapan Multazam, apatah lagi doa ibu. Allahu Akbar, masih tidak yakinkah Allah Maha Mendengar?

“Mak doakan semuanya yang terbaik untuk Amal” kata emak ketika menghantar saya di airport. Ketika itu memang emak dan ayah tidak dapat menyembunyikan kerisauan mereka lebih-lebih lagi menjelang hari pernikahan adik yang 3 tahun lebih muda dari saya.

“Amal, adik bertunang lepas raya, kalau amal ada calon, buatlah yang amal dulu” kata mak. Itulah pertama kali saya dengar adik saya akan kahwin. Oh, cepat gila. Dia baru bergraduasi, just nice la kan.

“Mana ada mak, proceed sajala, pedulikan apa orang kata, amal tak mau apa-apa” maksudnya saya tak mahu hadiah-hadiah sebagai adat langkah bendul.

Isyarat yang mak sampaikan kepada saya sangat besar maknanya. Cukuplah selama ini emak dan ayah berusaha dan berdoa bagi urusan jodoh saya. Tetapi saya lansung tak buat apa-apa. Barulah saya tahu yang selama ini orang yang usahakan untuk saya, saya sendiri hanya berharap dari jauh dan relax-relax saja menunggu hasil.

Masuk ramadhan, saya melalui ramadhan dengan sangat menyedihkan. Sahur dan berbuka sendirian. Sebab housemate saya hindu. Terawih sendirian. Oh redhalah dan belajar jadi FA (forever alone..salah sebab Allah sentiasa ada) terutama bulan mulia begini. Saya sangat tersentuh kalau ramadhan seorang diri. Masak sendiri, sahur dan berbuka sendiri, ke masjid sendiri. Mengada-ngada jugakla saya…padahal malas masak.

Tahun lepas, kawan sekolah saya ada propose begini “amal, if I ask your hand in marriage, will you accept?”  dan ‘nanti, kalau kahwin boleh tadarus sama dengan isteri” disebabkan single saya pun kata yes, sebab dia soleh dan intelligent, memenuhi criteria. 

Selepas itu sebelum sempat dia meneruskan niat, ayahnya kembali ke rahmatullah, dia pun bagitahu saya begini: “amal, I cant proceed to the next stage, if someone asking you, then you are free to choose someone else”. 

Dengan kata lain, dia tak mahukan saya. Oh, saya bersyukur, sebab tidak jadi. Sebab saya yakin kami tak ada chemistry. Sebetulnya tiada jodoh. Kami bukan bercinta, malah nombor telefon pun tiada, hanya inbox di FB untuk perkara penting. Begitulah kisah dengan kawan sekolah saya. Semoga dia bertemu isteri solehah yang dicari.

Itu kisah Ramadhan tahun lepas, jadi kisah Ramadhan 2012 pula ialah mujahadah saya. Saya berdoa pada setiap sujud agar Allah tunjukkan jalan usaha kepada saya. InsyaAllah saya akan berusaha. Tewas berusaha lebih bagus dari duduk saja seperti sebelum ini. Ya, mesti usaha.

“bila kau nak kawin sayang? “ tanya makcik zaitun. Makcik tu memang bahasakan saya sayang, sebab dia kata saya macam anaknya. Bagusnya makcik kalau ada anak yang boleh dibuat calon suami saya, dan ada mak mertua yang sayang saya heheee. (berangan) . Dia ada anak lelaki tapi sekolah lagi hahaa.

“ah, tiap-tiap tahun makcik tanya soalan yang sama, makcik doakanlah. Belum jodoh. Tapi adik saya dah nak kahwin, baru habis belajar” kata saya.

“eh, kau muda lagi, dah jodoh dia awal. Kau relax dulu, sambung belajar ya nak” pujuk makcik zaitun heheee. Dia rasa bersalah kot hehee..kemudian dia bagi gula-gula choclairs di masjid IOFC…adoi!

Kak Pah bukan nama sebenar berjanji menemukan saya dengan seorang kakitangan PETRONAS Methanol Labuan. Tidaklah saya kenal dengan orangnya. Kata kak pah, dia baik, berilmu dan baik akhlanya berlandas agama. Ok, apa-apalah..tidaklah saya nak yakin 100%. Saya tak kata apa-apa.Neutral. Istikharah dulu.
Saya meneruskan solat sunat memohon petunjuk Allah, apakah bentuk usaha yang ada lagi. Pada suatu hari, selepas solat zohor saya terfikir untuk bertanya ustazah perihal proposal ‘beliau’ tahun-tahun dulu yang katanya terhalang.

Ah, malunya, saya perempuan. Sudahlah dulu  saya tidak rasa apa-apa, sekadar meyakini akhlaknya setakat menjadi kawan sepejabat sahaja. Wajarkah proposal lama dikorek kembali? Dulu saya rasa tak sedia dan macam tak mahu pada dia. Saya hanya email pada dia, kita kena ikut cakap mak ayah….kalau mak ayah tak izin, tak boleh paksa. Lagipun saya biasa-biasa, tak ada sesuatu yang boleh menambat hati mak dia mungkin. Saya terus lupakan dan keadaan biasa, macam tak ada apa-apa. Sebab hidup perlu terus ke hadapan.

Saya solat hajat beberapa kali, benarkah apa yang saya fikir, patutkah saya bertindak? Banyak kali saya doa dan solat. Akhirnya saya korbankan rasa malu. Buat apa malu untuk perkara yang makruf. Saya nyatakan kepada ustazah, dan dia memberi respon akan membincangkan dengan segera.

Sekembalinya dari Syawal, saya menerima panggilan dari ustaz. Di biliknya, ustaz menyatakan respon positif bahawa ‘beliau’ bersetuju tetapi khuatir dengan apa yang telah berlaku. Yakni saya telah mengetahui segala kisah beliau. Jadi beliau merasa segan. Ustaz juga menasihati saya agar meluruskan niat. Saya nyatakan saya mengambil keputusan ini bukanlah disebabkan faktor usia atau persekitaran, iaitu orang berkahwin, jadi saya berkahwin. Sejujurnya saya cuba meluruskan niat menikah untuk menjaga iman dan wasilah tarbiyyah diri yang paling dekat. Mudah-mudahan Allah memelihara saya daripada niat yang ghurur  (lalai dan penuh angan-angan). Berangan jugakla…hadooii.

Sekarang respon hanyalah daripada ustaz, tiada kenyataan rasmi dari beliau. Pada masa yang sama, saya diuji dengan dengan beberapa perkara lain. Semuanya saya kira sebagai ujian setelah saya mengambil keputusan ini. Dalam tempoh ini, hanya tawakal dan doa kepada Allah.

Sebuah Taaruf

Menjelang EidulAdha, saya menerima mesej di inbox FB. Beliau menyatakan hasrat, keserasian antara kami dan ‘keseganan’ beliau berdasarkan kisah hidupnya sebelum ini. Saya nyatakan pendirian saya bahawa segalanya adalah sejarah masing-masing. Entahlah, payah nak fikir.Sangka baik sajalah. Oh, padahal dalam hati susah juga…mampu tak ni???

Pertengahan November, setelah emak dan ayah beliau kembali dari tanah suci, beliau mengajak saya untuk sebuah taaruf disaksikan ustaz dan ustazah. Beliau dengan panjang lebar menyatakan hasrat hati. Suasana malam sangatlah sejuk dengan tiupan angin yang kencang. Ada hujan dan ombak kuat. Suasana macam tu membuatkan kosentrasi saya hilang, saya tidak focus dengan setiap kata-kata beliau, dan hanya sedikit pesanan ustaz ustazah yang saya kutip. Selebihnya, saya tidak tahan angin kuat dan sangat sejuk. 

Dipendekkan cerita, taaruf itu adalah seperti sesi kaunseling keluarga atau kaunseling suami isteri bergaduh….begitulah gambarannya. Di samping gaya saya yang buntu kerana esoknya akan terbang ke KAKOM.  Sampaikan pekerja Terumbu Warisan tersengguk-sengguk tunggu kami. Di akhir pertemuan, nampaknya beliau rasa sedikit tenang melalui riak wajah yang ceria.  Ya Allah, mudahkan urusan kami, terima kasih atas sebuah taaruf yang indah! 

2 Keluarga

Seperti yang dirancang, kami akan melansungkan pertunangan menjelang bulan Mei dan nikah pada awal Julai. Sekarang baru Januari. Tempoh yang lama jika kedua-duanya berada di tempat yang sama dan satu tempat kerja yang sama!

Beliau membatalkan niat mendaki Gunung Kinabalu pada Februari. Jadi bolehlah balik dan membawa kedua ibu bapanya bertemu keluarga saya. Pada 3 Februari, beliau dan kedua ibu bapa datang ke rumah paknjang saya di Shah Alam. Inilah kali pertama saya bertemu dengan ibu bapa beliau. Emak dan ayah saya ada. Selepas makan tengah hari, ayah menyatakan akan melansungkan pertunangan minggu hadapan iaitu 11 Februari.

Di akhir pertemuan, semasa bersalam, emak beliau memeluk saya dan menyarungkan cincin, tujuannya untuk ‘test’ jari saya. Wah, tak muat, jari saya sungguh gemuk.

11 Februari 2013

10 Februari saya balik dari Perlis. Sudah ada khemah terpasang. Saya dari Perlis menghadiri kenduri kahwin kawan-kawan. Lepas tu bawa baby shopping. Ayah bising saya belum pulang..jadi saya pandu kereta melebihi had laju sehingga disaman.

 Ayah jemput jiran-jiran untuk menikmati hidangan kambing. Adik siapkan hantaran, mak siapkan barang nak masak. Makcik-makcik dan pakcik saya juga ada. Majlis bermula dengan penetapan tarikh dan belanja. Selesai hinggalah sarung cincin. Wah macam tak percaya, dulu duk tengok orang lain disarungkan cincin oleh bakal emak mertua, sekarang jari saya. Lepas seminggu masih tak percaya lagi, sudah bertunang. Alhamdulillah. Hanya kawan terdekat yang tahu, tapi siapakah orangnya …malas nak bagitahu…..saya akan jawab dia penjawat awam…pilihan ibu bapa, betul apa kan??

19 April 2013, Jumaat

Anda bermusyawarah, beristikharah, berdoa dan bertawakkal, maka pasukan iblis takkan mengganggu. Pada tahap ini, 78 hari lagi menuju pernikahan. Saya cuba melatih diri menguruskan hal-hal rumahtangga. Kononnya mengemas dan memasak. Dan paling penting ialah bangun solat malam. Malangnya, semua tu tak jadi belaka. Bilik dan rumah jadi bersepah dan saya jarang masak. Malam saya tidur lebih dari jumlah masa yang biasa saya tidur, jarang dapat qiam. Adakah ini petanda dapat 1 nikmat lupakan nikmat yang lain.

 Ayuh, usaha keras siapkan diri membina iman menjelang hari perjanjian berat (mitsaqan ghaliza).
Seperti kata buku, berjuang menuju pernikahan indah, berjuang menjalani pernikahan juga indah! Saya harap saya dapat merasa keindahan itu, wahai hati jangan la buta….nampakkan keindahan dengan menjaga hubungan kami.

Saya juga terjumpa diari 2012, saya tuliskan 11 matlamat saya sepanjang tahun. Salah satunya ialah gagal menikah pada tahun 2012. Sebab Allah dah tetapkan masa yang lebih baik.

Noor Izzah

Noor Izzah ialah pelajar tutorial saya. Manakalu Muazzin pensyarah amali kelas mereka. Di hujung pengajian, Izzah hadiahkan Muazzin sling bag dan satu kad bertulis harapannya agar Muazzin bersama saya. Muazzin tunjukkan kad tersebut kepada saya. Saya pula mendapathadiah daripada Syafiqah. Tetapi tidak lama kemudian, barulah saya menjumpai hadiah Izzah kepada saya beserta kad sama seperti kad yang diberikannya kepada Muazzin. Pun ucapan yang sama.

Saya hantar sms terima kasih kepada Izzah dan menyatakan kenapa letak nama Muazzin, saya sudah bertunang. Izzah rasa bersalah dan hantar kad yang baru…Aduhhhh berjaya kenakan dia. Takpa satu masa Izzah akan marah kat saya hahahaaa.

Mei 2013, semua orang dah tahu…bakal suami saya Muazzin. Saya bukan nak rahsia, tapi tak selesalah, kerja tempat yang sama, asyik diusik saja. Tetapi disebabkan Muazzin yang tak mahu berselindung, dia saja membuat sesuatu yang mengkantoikan. Sangat banyak. Malah dia kata bagitau sajalah, kenapa nak rahsia. Mak saya pula asyik sependapat dengan Muazzin.
Puncak kepada kemeletusan berita kami akan berkahwin ialah terjahan daripada Encik Zul..maka kecohlah satu pejabat. Saya pun sebarkan kad dan buat invitation di FB. Izzah pun tahu juga…waahhhh apa lagi dia marah kat saya pula hahaaaa…kan dah terkena..hihiii

1 Julai 2013

Tinggal beberapa hari saja lagi menuju hari pernikahan kami 6.7.13. Perlu diingatkan bahawa ia bersamaan dengan 27 Syaaban 1434 H. Dan diingatkan sekali lagi bahawa pemilihan tarikh bukanlah atas dasar tilikan tarikh atau fengshui..tetapi berdasarkan kekosongan dewan. Ya..itulah sebabnya…menghampiri Ramadhan. Nak buat lepas raya banyak pula kekangan di ihak keluarga sana dan tetap tarikh selepas raya juga penuh. Setahun ditempah lebih awal.

Kini, malam-malam saya asyik terganggu. Bagaimanakah perjalanan majlis nanti?? Bagaimanakah kehidupan saya pasca perkahwinan? Am I married to the right person?? Semuanya datang, saya rasa jantung saya laju sedikit.

Wahai hati yang berbolak balik, tetapkan hatiku dalam urusan agama dan mentaati Allah. Saya mahu belajar menerima dia dan menjauhi wasangka.

Awak semua yang membaca…inilah kisah biasa-biasa. Takdir Allah dan jalan pertemuan Allah sangat luar biasa. Tidak pernah terfikir mahu serius dengan orang seperti dia, seperti tak ada chemistry lasung. Selama ini saya berdoa tak bersuami orang di KML, takdir Allah, bukan setakat sama tempat kerja, sama unit!
Nikmat mana yang engkau dustakan? Allah, bimbing kami untuk terus dalam mentaatiMu. Kurniakan rasa kasih sayang antara hati kami hanya kerana mencari redha Mu ya Allah.

Ada lagi. Nanti saya tulis yang lain pula. Maaf panjang benar kronologi ini. Sebab orang bertanya kisah cinta kami. Bagaimana ia bermula? Sebenarnya belum bermula, baru saja nak mula.

Allahu a’lam
Amal Harun

Labuan

1 comment:

  1. Tima ksih..akak dah baca..
    Yakin dgn ketentuan Allah, berusaha untuk menjadi yang terbaik,
    Insya Allah dipermudahkan semua urusan
    ps:jgn ckp tak ada chemistry..kita saling lengkap melengkapi

    ReplyDelete

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..