Monday 18 June 2012

Jaga-jaga


Sebelum saya menulis selanjutnya, saya ingin memohon maaf kepada yang berkenaan. Saya juga memohon ampun seandainya apa yang akan anda baca membuka keaiban. Saya mohon keampunan Allah.

Tetapi inilah yang sering kita takut dan naudzubillah, kita mohon perlindungan  dari Allah agar kita dipelihara, tenang dan kuat ketika diuji. Tujuan ditulis agar kita syukur dengan nikmat hidayah, tidak berbangga sebab melakukan kebaikan malah sentiasa ingat bahawa inilah tanda kasih Allah pada kita. 

Apa yang bakal saya katakan di sini ialah kuasa hidayah Allah. Allah sahajalah yang berkuasa memberi hidayah dan paling kita takut ialah hidayah yang ditarik. Itulah kuasa hati yang diberi petunjuk, doalah agar hati yang satu ini sentiasa dalam hidayah Allah. Tak mahu saya ulas lagi, sebab saya tak tahu, ilmu pon sedikit sangat. 

Kesimpulannya, ada orang dulu jahat, sekarang dapat hidayah punya main baik. Ada yang diuji dulu punya main baik, tapi kemudian sebaliknya. Okay, keep on doa ya! Bukan untuk diri sahaja, malah doakanlah untuk keluarga, sahabat dan orang lain.

Saya menghadiri satu kelas kecergasan. Antara guru kecergasan di situ ialah seorang lelaki. Pertama kali jumpa dan hari seterusnya saya tak pernah syak bahawa itu ialah dia. Tapi saya macam pernah rasa ada instinct mengenali beliau. Maklumlah Labuan, potensi berjumpa dengan pelbagai orang mungkin tinggi. Jangan salah sangka.

Beliau yang saya maksudkan merupakan senior sekolah saya dulu semasa saya di tingkatan 1. Dia ialah ketua pelajar. Menjadi imam dan membimbing adik-adik. Ketokohan memang miliknya. Suatu malam, saya buka facebook guru kecergasan yang berada dalam senarai rakan saya, beliau ialah wanita. Dia menge’tag’ nama rakan-rakannya di dinding muka buku. Antaranya ialah nama seorang lelaki. Dan nama itu sangat tidak asing bagi saya.

Nama itu ialah nama senior saya, saya yang sangat nak tahu pun klik nama dia dan keluar gambar muka buku, iaitu gambar guru kecergasan yang lelaki tu! Saya pasti kerana itu gambar orang yang sama dengan nama penuh, instinct saya terbukti dengan gambar beliau dan saya memang kenal setiap senior-senior kami hatta tempat asal mereka. Sah dia, dan memang dia dari Labuan.

Selama 3 tahun saya tak pernah yakin, apa yang terdetik di hati saya, saya nafikan. Rupanya betul! Transisi hidup dan transformasi imej jelas mengubah manusia. Saya yakin, naluri beliau tidak senang dengan apa yang dilakukannya, suatu hari insyaAllah dia pasti berubah.

Ini bukanlah tulisan yang memandang hina sesiapa atau bersifat prejudis. Saya ingat Prof. Dr Zainal pernah menerangkan tentang inqilab dalam daurah manhaj hidup muslim. Inqilab ni lebih kurang macam transformasi 180 darjah. Saya tak mengklasifikasi kes senior saya sebagai inqilab. 

Saya teringat. Inqilab, muqallibal, dan qulub berasal dari kata dasar (masdar) yang sama. Sebab tu kita selalu doa, ya muqallibal qulub (wahai hati yang berbolak-balik), thabbit qulubana ‘ala diinika wa tho’atika.

Hati memang berbolak-balik, sentiasa doa, sentiasa jaga hati.

Kita sekarang, kalau berada dalam kondisi ‘baik’, kelihatan baik, soleh atau terpelihara, jangan pernah sombong dengan hidayah dan iman yang ada sekarang. Kita tak tahu satu hari nanti bagaimana akhiran kita. Berimankah atau sebaliknya.

Jagalah diri, jaga dengan siapa kawan kita dan apa aktiviti seharian kita. Mohonlah doa selalu agar Allah pelihara kita dan teruslah melakukan kebaikan. Saya berhenti di sini, ini ialah peringatan untuk saya yang paling utama, yang lain-lain jika bermanfaat sama-sama kongsi dan buat kebaikan.

Mohon keampunan
Amal Harun
Labuan

No comments:

Post a Comment

nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..