Tiada perkataan setanding untuk mengungkap rasa syukur di hati apabila Allah sampaikan di Ramadhan kali ini. Saya berjanji menggunakan masa dengan baik. Inilah pertama kali menyambut Ramadhan dalam suasana bekerja. Penuh ujian dan cabaran berbanding tempoh menjadi pelajar sebelum ini.
Ramadhan ini saya lebih jauh dari emak dan ayah. Jauh dari rumah berbanding Ramadhan sebelumnya. Tapi lebih indah. Merasa tenang mendengar lantunan ayat Allah, terhibur dengan tazkirah Ramadhan di surau, ringan mengungkap lafzul jalaalah, mengikuti rombongan bantuan kolej dan duduk bersama team Quranic Circle. Semua itu benar-benar menyentuh hati. Allah, sayalah hamba yang lemah itu.
Sungguh apabila saya dan dia duduk berkongsi tentang surah al-Fajr semasa hujan lebat, saya tidak dapat meneruskan bacaan tafsir wadhih apabila tiba penghujung surah. Sebak. Kami renung dan hayati ayat itu dengan insaf...
Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhainya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku, dan masuklah ke dalam syurgaKu. al-fajr;27-30
Saya mohon maaf kepada emak dan ayah kerana hanya emak dan ayah terlebih dahulu menghubungi saya setiap hari. Bersilih ganti keduanya bertanyakan saya, sedangkan saya sering menangguh. Itupun menjawab panggilan di tengah lena yang letih. Maafkan saya.
Ramadhan ini juga mungkin lebih bahagia apabila emak dikhabarkan akan ke tanah suci. Emak menangis ketika memberitahu saya tempoh hari. Ayah pula melaporkan kesihatan dia semakin pulih, adik-adik saya yang sibuk dengan pelajaran masing-masing, dan abang sulong, juga kakak ipar saya di Labuan dengan anak-anaknya menjadi teman saya berbuka. Cuma Muhammad Faiz Harun yang sukar dihubungi. Dia sentiasa dalam doa kami, setiap sujud emak dan ayah.
Begitu juga dengan rakan-rakan baru di Labuan, sungguh manis berukhuwah bersama anda. Saya hanya bimbangkan pasca ramadhan ini, mampukah saya sEperti di ramadhan ini, mampukah saya meramadhankan hari-hari saya...
Semoga Ramadhan ini dan hari yang berbaki mendidik kita ke arah piala TAQWA.
Ijlis bina', nukmin sa'ah
Amal Harun
W.P Labuan
No comments:
Post a Comment
nak komen? silakan. komen anda sangat berharga..